Kisah kuih kura-kura merah, signifikan dengan masyarakat Cina, Baba Nyonya
KUIH angku merupakan salah satu kuih-muih tradisional masyarakat Tionghua dan Baba Nyonya di negara ini.
Pada zaman dahulu kala, ia dikenali sebagai kuih kura-kura merah atau red tortoise cake lantaran rupa bentuknya seakan-akan menyerupai haiwan berkenaan yang sedang berehat.
Seorang peniaga kuih berkenaan, Siti Nabilah Mahmud yang berasal dari Bintulu, Sarawak berkata, kuih berkenaan diwarnakan dengan warna merah kerana ia melambangkan kebahagiaan dan kegembiraan, manakala kura-kura pula melambangkan ketabahan, panjang umur dan kuasa bagi kaum Cina.
"Warna yang dibubuh pada kuih pun menggunakan warna yang diekstrak daripada buah-buahan, tumbuh-tumbuhan atau sayur-sayuran.
"Sebagai contoh, warna oren atau ungu diambil daripada ubi keledek, warna hijau pula daun pandan dan warna biru daripada bunga telang,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.
"Namun, pada zaman sekarang, sudah ada bermacam-macam warna seperti kuning, hijau, ungu dan hitam," kata suri rumah sepenuh masa itu.
Kepada mereka yang berjinak-jinak mahu membuat kuih tersebut, ia tidak semudah yang disangka.
Pertama sekali, ujar Siti Nabilah, seseorang perlu membeli acuan kuih sama ada jenis plastik atau kayu yang banyak dijual di kedai perkakasan kek dengan harga bawah RM10.
Mengenai tip menghasilkan kuih angku yang enak dan tahan lama, pastikan nisbah tepung pulut dan kentang itu sama dan wajib mengawal api semasa proses mengukus.
“Pastikan setiap 3 minit sekali penutup periuk pengukus dibuka seketika agar bentuknya tidak menjadi leper. Bukan itu sahaja, tekapkan kain kering pada bahagian dalam penutup periuk pengukus agar wap panas tidak menitik di atas kuih angku semasa dalam proses memasak,” beritahunya.
Menariknya, kuih angku boleh bertahan sehingga tiga hari jika disimpan di dalam peti sejuk.
“Cuma, ia perlu dikukus semula (sekejap sahaja) sebelum dijamah ketika sarapan pagi atau minum petang,” pesan Siti Nabilah.
Selain masyarakat Cina dan Baba Nyonya, kuih angku juga digemari sesetengah masyarakat Melayu kerana rasanya yang manis dan tekstur yang lembut.
"Struktur dan intinya sedikit lebih kurang sama seperti kuih koci, tetapi dari segi bentuk, ia berbeza," katanya sambil memberitahu biasanya, kuih berkenaan menggunakan inti kacang merah, kacang hijau atau labu.
PROFIL
- Nama: Siti Nabilah Mahmud
- Umur: 29 tahun
- Asal: Bintulu, Sarawak
- Menetap: Seri Alam, Johor Bahru
- Facebook: Cik Nana Nabilah
RESIPI KUIH ANGKU
Bahan-bahan
- 200 gram tepung pulut
- 200 gram kentang
- 40 gram gula pasir
- 80 gram air panas
- 50 gram minyak masak
- Pewarna
- Daun pisang
- Inti kacang
Cara penyediaan:
- Kukus kentang sehingga lembut, kemudian dilenyek sehingga lumat.
- Seterusnya, masukkan tepung bersama kentang ke dalam mangkuk dan gaul sehingga sebati sambil dimasukkan sedikit demi sedikit air panas.
- Masukkan gula dan pewarna ke dalam adunan.
- Uli sehingga adunan tidak melekat pada tangan.
- Ambil adunan dan leperkan lalu diletakkan inti ditengah-tengahnya (digentel sehingga menjadi bulat).
- Seterusnya, tekan ke dalam acuan angku lalu sisipkan bahagian tepi untuk memudahkannya keluar dari acuan.
- Alaskan dengan daun pisang dan susun di dalam pengukus.
- Tunggu air mendidih, kemudian letakkannya di dalam periuk pengukus.
- Kuih angku dikukus selama 10 minit dengan menggunakan api sederhana kecil sebelum dihidangkan.
Sumber: Siti Nabilah Mahmud
ANEKDOT
RESIPI KUIH GEDUNG CAK
Bahan-bahan
- 3 cawan tepung pulut
- 5 cawan kelapa parut
- 2 cawan gula pasir atau gula merah
- 3 cawan air
- Daun nipah
Cara penyediaan:
- Gula pasir atau gula merah dimasak bersama air sehingga menjadi air gula. Ketepikan seketika.
- Kemudian, tepung pulut digaul dengan kelapa parut dan masukkan air gula yang telah sejuk.
- Daun nipah dibuang tulangnya dan dipotong serta dibentuk secara memanjang (seperti dalam gambar).
- Seterusnya, adunan disendukkan ke atas daun nipah dan dilipat lalu hujung daun nipah disisipkan dengan bilah lidi yang telah dipotong.
- Kiuh dibakar di atas api yang sederhana selama 5 ke 10 minit.
Sumber: Facebook Aneka Kuih Muih
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang