5 tahun diuji, Syed Saddiq bebas 4 pertuduhan & terlepas denda RM10 juta. Hasrat bersih nama, maruah termakbul

AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini dilepas dan dibebaskan atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Ia membabitkan satu kes subahat pecah amanah dana berjumlah RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta (RM120,000) dan dua pengubahan wang haram (AMLA) masing-masing (RM50,000).
Memetik Sinar Harian, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan bekas menteri Beliau dan Sukan itu tidak bersalah sekali gus menerima rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.
Turut bersidang Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Noorin ketika membacakan alasan penghakiman lebih satu jam berkata, pertuduhan dihadapi Syed Saddiq tidak berasas dan pendakwaan gagal membuktikan kesalahan bersubahat walaupun pada peringkat kes prima facie.
"Tindakan menyuruh, mengarahkan, atau memerintahkan seseorang untuk mengeluarkan wang tidak boleh dianggap sebagai pelupusan wang.
"Perbuatan mengeluarkan wang itu sendiri tidak memenuhi elemen actus reus (perlakuan fizikal jenayah)," katanya.
Menurutnya, justeru panel mendapati sabitan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq oleh Mahkamah Tinggi terhadap keempat-empat pertuduhan tidak selamat selain mahkamah terdahulu tersalah arah dalam menjatuhkan hukuman itu.
Mendengar keputusan itu, Syed Saddiq yang hadir dengan memakai kot berwarna hitam, meraup muka apabila beliau terlepas daripada hukuman bagi kes terbabit.
Anak kelahiran Johor Bahru itu juga dilihat memeluk ibu bapanya sambil diperhatikan penyanyi, Bella Astillah.
Ketika membaca keputusan sebulat suara yang memakan masa lebih satu jam, Hakim, Noorin berkata, pertuduhan dihadapi ahli politik itu tidak berasas.

Menurutnya, tindakan memerintah atau mengarahkan seseorang untuk mengeluarkan wang, tidak boleh dikatakan melupuskan dana.
“Pendakwaan gagal membuktikan niat tidak jujur Syed Saddiq ketika memberikan arahan supaya wang RM1 juta itu dikeluarkan daripada dana Armada.
Susulan itu, perayu iaitu Syed Saddiq Syed Saddiq dilepaskan dan dibebaskan daripada sabitan bersalah dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta,” katanya.
Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada.
Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat pertuduhan itu serta mengetepikan hukuman terbabit.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan masing-masing RM50,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.
LIMA TAHUN DIUJI
Syed Saddiq sebelum itu dilihat berkongsi harapan yang besar untuk membersihkan nama dan mempertahankan maruah.

"Lima tahun diuji. Esok, Mahkamah Rayuan akan tentukan nasib saya. Semoga keadilan menyebelahi yang jujur.
"Saya sedang lawan, lawan untuk membersihkan nama dan mempertahankan maruah.
"Lebih lima tahun saya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia. Bukan satu, dua. Semua datang siasat saya.
"Tapi saya tidak tunduk dan tidak lari. Saya jual diri demi kuasa dan kekayaan kerana cintakan Malaysia lebih daripada nyawa sendiri.

"Dan saya sanggup lakukan apa sahaja demi masa depan negara ini.
"Saya sanggup gadaikan dua biasiswa penuh dengan kos RM1 juta ke Universiti Oxford untuk berkhidmat kepada Malaysia.
"Bila ditawarkan jalan selamat pada tahun 2020 untuk kekal sebagai menteri, saya tolak demi prinsip yang lebih besar.
"Bila diugut bawa ke mahkamah, saya pilih lawan demi kebenaran dan kini walaupun Parlimen Muar ditarik peruntukan kerajaan, dalam tempoh enam bulan saya berjaya sumbangkan lebih RM2 juta daripada hasil kerja saya sebagai duta, model, berlakon, menari, hos live dan lain-lain untuk membantu orang susah di Muar.
"Walaupun ditertawakan, I will do whatever it takes for Muar and my beloved country, Malaysia. Kalau ingn tunjukkan sokongan, cukup berdoa untuk kebenaran dan keadilan buat kami. Tiada senjata yang lebih kuat daripada doa,
"Tolong doakan," katanya.
Sumber: Sinar Harian, Instagram
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang