Nahas bas UPSI: Impian jadi ustazah, adik bongsu sambung cita-cita Sufea Adela. 'Dulu arwah isikan UPU'

No Image Caption
A
A
A

MASIH segar dalam ingatan kemalangan ngeri melibatkan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam tragedi 9 Jun lalu. 15 bakal pendidik gugur tanpa sempat berbakti kepada anak bangsa dan keluarga.

Sepatutnya bergelar ustazah selepas menamatkan pengajian, salah seorang mangsa Sufea Adila Maslihaizan, 21, penuntut semester kedua, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Pendidikan Islam, Fakulti Sains Kemanusian UPSI turut terkorban dalam kemalangan tragis itu.

Kini, impian Allahyarham menjadi murabbi yang tidak kesampaian bakal disambung adiknya, Alia Hanani, 18 yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian dalam program Diploma Al-Quran dan As- Sunnah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

No Image Caption

Alia menyatakan hasrat menyempurnakan cita-cita kakaknya itu. Lebih menyentuh hati,  rupa-rupanya semua urusan permohonan Alia untuk memasuki universiti itu dilakukan sendiri oleh Allahyarham.

"Arwah isi permohonan UPU (Unit Pusat Universiti) ketika dia berada di UPSI. 

"Kakak pilih UniSZA sebagai pilihan pertama kerana mahu saya berada dekat dengan ibu dan ayah memandangkan dia dan dua lagi kakak saya berada jauh," katanya kepada  Bernama. 

No Image Caption

Alia yang menerima surat tawaran melanjutkan pengajian berkenaan, yang disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UniSZA Prof Datuk Dr Fadzli Adam di rumahnya di Kampung Air Terjun pada Ahad mahu menjadi guru Pendidikan Islam bercadang untuk meneruskan pengajian di peringkat ijazah Sarjana Muda dalam bidang pendidikan selepas tamat diploma kelak.

Dalam pada itu, Fadzli berkata, pihak universiti akan menghulurkan bantuan sewajarnya kepada Alia Hanani yang bakal memulakan pengajian pada 15 Julai depan.

"Pada peringkat awal, kita bagi bantuan awal untuk mendaftar diri iaitu wang tunai RM500 dan sebuah komputer riba selain dalam pertimbangan untuk mendapatkan bantuan biasiswa bagi yuran pengajian dan sara hidup," katanya.

Foto: Ihsan Pendaftar UniSZA
Foto: Ihsan Pendaftar UniSZA

Imbas kembali, kemalangan bas yang disewa khas dari Jerteh, Terengganu untuk pulang ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim, Perak terbalik dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah kereta pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik, Perak .

Selain 15 nyawa terkorban, 33 lagi individu cedera termasuk pemandu dan kelindan bas selain pemandu serta tiga penumpang Perodua Alza.

Allahyarham yang juga Exco Dakwah dan Pembangunan Insan Rakan Siswa Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Penaga, Jertih, Besut, Terengganu pada pukul 4.30 pagi, 10 Jun lalu selepas disembahyangkan di Masjid Hadhari, Jerteh. - Bernama

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang