Pak cik Petai rupanya sedang kumpul duit, mahu biayai kos pembedahan mata isteri. 'Tak nak susahkan anak-anak. '

No Image Caption
A
A
A

KISAH peniaga petai ini meraih perhatian ramai selepas videonya tular baru-baru ini.

Memetik laporan Sinar Harian, Mohd Noor Saad, bukan sekadar menjual petai untuk mencari rezeki menampung kehidupan seharian, rupa-rupanya ada sebab yang lebih besar.

Beliau mahu mengumpul wang bagi membiayai pembedahan mata isterinya yang menghidap katarak.

No Image Caption

"Selain petai, ada kalanya saya jual pucuk ubi kerana nak kumpul duit untuk kos pembedahan mata isteri yang tak nampak disebabkan masalah katarak," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang.

Berkongsi lanjut mengenai kehidupannya, lelaki berusia 67 tahun itu mengakui hanya turun berniaga bila ada bekalan petai.

Bekalan petai yang dijualnya diperoleh daripada Orang Asli di Kuala Pilah. Kadangkala, jika tiada petai, beliau menjual pucuk ubi pula.

No Image Caption

Setiap sen yang dikumpulnya amat berharga, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan keadaan isteri tersayang.

Walaupun sudah berusia, Mohd Noor tetap berusaha sendiri tanpa mahu membebankan anak-anaknya.

"Anak lelaki saya kerja biasa, anak kedua pula suri rumah. Mereka pun ada tanggungan sendiri, jadi saya tak mahu menyusahkan mereka," katanya lagi.

Walaupun sudah menerima bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun baginya, itu bukan alasan untuk hanya duduk diam tanpa berusaha.

Selagi ada tulang empat kerat, beliau mahu terus bekerja dan mencari rezeki halal. Sekadar makluman, kisahnya menjadi viral selepas ada pihak memuat naik video beliau ditegur pihak penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) ketika berniaga petai di tempat letak motosikal.

No Image Caption

Isu yang mengundang pelbagai reaksi orang ramai itu bagaimanapun telah berakhir dengan baik.

Menurutnya, pihak MPPD telah datang ke rumahnya untuk menjernihkan keadaan dan bahkan menawarkan permit perniagaan sementara kepadanya.

Tidak hanya itu, Menteri Besar Negeri Sembilan juga turut menghulurkan bantuan kewangan.

Pelbagai pihak tidak ketinggalan bertanya khabar, memberikan sumbangan, malah ada wakil rakyat yang turun sendiri bagi memastikan keadaannya.

"Masa kejadian itu memanglah saya dalam keadaan marah, tapi apabila pulang ke rumah hati saya dah tenang.

"Saya pun tak sangka ada orang rekod kejadian berlaku dan tularkan. Jadi saya berharap orang ramai bertenang kerana kes telah pun selesai dan saya pun telah terima apa berlaku," katanya.

No Image Caption

Dalam setiap ujian, pasti ada hikmah yang tersembunyi. Dari hanya seorang peniaga kecil yang berjuang untuk isteri tercinta, Pak Cik Mohd Noor kini mendapat sokongan dari pelbagai pihak.

Namun, satu perkara yang tetap tidak berubah, semangatnya yang kuat dan hatinya yang besar.

Demi isteri, demi cinta, beliau tetap gagah mencari rezeki dengan menjual petai.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang