PERASAN tak, perbezaan sajian laksa mengikut negeri tular di media sosial sejak akhir-akhir ini. Ia terjadi susulan perbalahan sebilangan netizen mengenai cara pembuatan kuah laksa yang dikatakan jatuh standard sekiranya menggunakan jenis ikan tertentu.

Segenap penjuru Malaysia termasuk negeri di Pantai Timur, Utara ‘dipetik’ menggunakan ikan murah sebagai ramuan masakan laksa.

Isu itu disifatkan sensitif dan tidak seharusnya berlaku kerana rakyat digalakkan meraikan perbezaan sajian antara satu sama lain.

Nampaknya, topik hangat perbezaan laksa turut menjadi menjadi perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda bertitah agar pergaduhan perihal laksa di media sosial harus dihentikan.

Baginda merupakan puteri dari Johor Darul Takzim yang terkenal dengan kelazatan laksa Johor.

Iklan

Baca juga Masak Nasi Telur Goreng Pun Sedap. Air Tangan Permaisuri Kesayangan Rakyat Ini Memang Sempoi

Puteri ketiga kepada pasangan Sultan Iskandar ibni Sultan Ismail bersama isterinya, Enche’ Besar Hajah Kalsom ini juga adinda kepada Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim Ismail ibni Sultan Mahmud Iskandar.

Sebagai anak jati Johor, baginda turut berkongsi tip memasak kuah laksa Johor menerusi laman sosial Instagram @airtangan_tunkuazizah.

Iklan

"Kita jangan bergaduh pasal laksa ok. Tepuk dada tanya selera.

"Ikan apa pun boleh, udang hidup, udang kering atau ikan masin yang penting, tumis betul-betul dan cukup rempah, main api sehingga naik minyak," titah Tunku Azizah.

Selain itu, bonda kepada enam cahaya mata tersebut turut bereksperimen menggabungkan laksa Pahang dan Laksa Johor. Walaupun unik, ia sedap.

“Laksa Pahang pun sedap, saya gabungkan kuah Johor dan Pahang! Saya hidangkan bersama laksa beras, laksa tepung dan laksa spageti.”

Dalam pada itu, Permaisuri turut berkongsi cara memasak laksa Pahang dan mi laksa yang disukai.

“Laksa Pahang juga sedap sangat, tidak ditumis. Cara masaknya berbeza, tapi rasanya agak sama dengan kuah Laksa Johor!

“Saya suka laksa beras dan laksa tepung, dimasak atas kayu api. Baunya sedap.”

Raja Permaisuri Agong yang sangat pakar dalam perihal masakan sering berkongsi resipi di Instagram.

Baginda gemar menyediakan sajian air tangan sendiri untuk santapan keluarga dan melatih anakanda puteri-puterinya, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah memasak.

Sumber: @airtangan_tunkuazizah