Kuih bingka letak kerisik bikin sajian minum petang ini lagi manis berlemak. Memang wajib cuba
KUIH bingka letak kerisik? Sedikit pelik kerana lazimnya bahan itu digunakan untuk melazatkan lagi rendang atau kerabu.
Namun, itu bukan sesuatu yang ganjil bagi Junaida Jamil. Kata beliau, pertama kali menikmati sajian berkenaan dan kemudian cuba membuatnya, rasa kulinari orang lama itu sangat berbeza dengan kuih bingka asli.
“Tekstur kuih Bingka Pulut Kerisik sedikit liat seakan dodol, tapi memang sedap. Ia manis berlemak dan boleh membuatkan siapa sahaja akan rasa ketagih untuk makan lagi,” katanya sambil tertawa ketika dihubungi baru-baru ini.
Anak kelahiran Arau, Perlis itu berkata, berbanding resipi asal, beliau akan menambah kuantiti kerisik dan mengurangkan sukatan minyak masak yang digunakan.
“Saya suka rasa kelapa parut dalam kuih ini. Jadi, saya tambah kerisik kepada 220 gram (g). Sebelum ini, hanya 150g. Pada masa sama, saya kurangkan sedikit minyak agar tekstur kuih jadi lebih cantik,” ujarnya.
Junaida mengakui, bahan-bahan untuk sajian tersebut saling tidak tumpah dengan ramuan membuat dodol.
"Namun, kuih Bingka Pulut Kerisik ini saya letak telur, tak seperti dodol," ujarnya.
Berbicara lanjut, wanita berusia 43 tahun itu berkata, dalam penyediaan juadah minum petang atau pagi tersebut, penggunaan santan adalah aspek terpenting.
"Guna santan asli supaya kuih akan pecah minyak dan nampak menarik. Boleh ganti dengan santan kotak, tapi hasil akhir kuih tak begitu menarik,” katanya sambil menambah, tiada masalah untuk menukar gula merah kepada gula gerek atau gula melaka.
Tidak perlu ditanya lanjut, peniaga kuih tradisional Melayu di sekitar negeri Perlis itu memberi tip.
Ujarnya, bahan-bahan kuih Bingka Pulut Kerisik yang sudah diadun perlu direhatkan selama sejam supaya sebati dan mendapatkan hasil yang lebih cantik.
Baca juga: Resipi spageti goreng ringkas, mudah & sedap tak terkata confirm anak suka
Seperkara, membikin kuih tradisional memang memerlukan kesabaran. Ini kerana hidangan berkenaan memerlukan masa yang agak lama untuk dibakar iaitu selama sejam tiga puluh minit.
“Untuk periksa teksturnya sama ada dah masak sempurna ke belum, cucuk guna lidi, jangan guna garfu. Kalau tak melekat, itu bermakna kuih dah masak," terangnya.
Dari segi potongan, ibu kepada seorang cahaya mata berpesan agar kuih disejukkan seketika.
"Lepas itu baru potong, gerenti nampak kemas dan menarik," katanya.
Baca juga: Buat roti krim instant sendiri guna resipi paling mudah sekali, memang mengundang nostalgia!
RESIPI BINGKA PULUT KERISEK
Bahan A
300 gram (g) gula merah atau gula melaka
220g gula pasir halus
650 mililiter (ml) air
5 helai daun pandan
Bahan B
350g tepung pulut
130g tepung gandum
5 biji telur saiz A
600ml santan pekat
1 1/2 sudu teh garam halus
50ml susu cair
50ml minyak masak
Pewarna coklat
Bahan C
220g kelapa parut
Bijan putih (untuk hiasan)
Cara penyediaan:
1. Masak kesemua bahan A hingga gula hancur. Sejukkan selama sejam.
2. Satukan bahan B dan masukkan bahan A. Tapis dan rehatkan adunan selama 30 minit.
3. Campurkan kelapa parut dan tuang ke dalam loyang bersaiz 10 x 10 inci.
4. Taburkan bijan untuk hiasan dan bakar pada suhu 160 hingga 170 darjah Celsius selama satu jam 30 minit atau sehingga kuih masak.
5. Sapukan marjerin di atas kuih sebaik dibawa keluar dari ketukar.
6. Biarkan bingka betul-betul sejuk sebelum dipotong.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang