JIKA dicongak kembali, Malaysia sebenarnya mempunyai variasi kuih-muih yang masih banyak tidak dipopularkan.

Antaranya ialah kuih ropa yang sangat terkenal dalam kalangan penduduk Terengganu.

Salah seorang pembuat kuih tradisional berkenaan, Wan Normiza Suhana Wan Yusoff atau lebih mesra dipanggil Mak Chor berkata, ropa merupakan jenis kuih yang berinti.

WAN Normiza Suhana Wan Yusoff.

“Kalau mahu diikutkan, kebanyakan kuih-kuih yang berasal dari Terengganu biasanya jenis berinti dan salah satunya ialah ropa,“ katanya yang tidak dapat memperincikan secara lanjut asal usul dan sejarah sajian tradisi berkenaan.

Anak jati Terengganu berkata, beliau mempelajari membuat kuih ropa daripada kakak iparnya, Suhaili Salleh.

Tidak seperti yang difikirkan oleh sesetengah pihak, Mak Chor berkata, lapisan kulit ropa biasanya dibuat sendiri.

“Saya cakap macam ini kerana ramai orang menganggap kulit luar kuih ropa menggunakan lapisan yang siap sedia dijual di kedai seperti kulit popia, tetapi tidak benar sama sekali,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Bagaimana untuk membuat lapisan luar kuih dan adakah prosesnya rumit?

Menjawab soalan itu, Mak Chor berkata, antara bahan-bahan yang diperlukan adalah mudah untuk diperolehi seperti tepung gandum, air, telur dan garam.

“Kalau kata susah buat kuih ropa, tidak juga cuma kuih ini perlu dibalut satu persatu selepas adunan kulit dilenggang-lenggangkan.

“Bagi memudahkan proses balutan, selepas kulit diangkat (masih panas), kita perlu segera letakkan inti dan terus lakukan proses lipatan, jangan berlengah lagi.

“Selepas itu, barulah kuih digoreng sehingga garing dengan menggunakan minyak yang sedikit bagi mengelak kuih ropa melekat pada permukaan kuali,“ kata Mak Chor memberi panduan.

Sebelum menutup tirai perbualan, wanita itu berkata, kuih ropa yang telah diperkenalkan kepadanya sejak kecil sesuai dinikmati sebagai hidangan minum petang. Menu ini juga sering ditemui dijual di bazar Ramadan.

“Anak-anak dan adik-beradik Mak Chor penggemar nombor satu kuih ini, kalau makan sekeping memang tak cukup satu. Lagi satu, ia bertambah enak jika dinikmati bersama teh atau kopi O panas,“ katanya.

PROFIL

  • Nama penuh: Wan Normiza Suhana Wan Yusoff
  • Umur: 44 tahun
  • Asal: Kuala Terengganu, Terengganu
  • Menetap: Kuala Kangsar, Perak

RESIPI KUIH ROPA

Bahan-bahan inti

  • 500 gram daging atau ayam (dipotong kecil)
  • 3 atau 4 biji ubi kentang (dipotong dadu)
  • 4 biji bawang besar atau bawang belanda (dipotong dadu)
  • 1 bungkus rempah kari daging atau ayam
  • 5 biji bawang kecil
  • Sedikit nisan
  • Sedikit gula
  • Sedikit garam
  • 2 helai daun pandan

Bahan-bahan kulit

Iklan
  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 1/2 cawan air
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 biji telur

Cara penyediaan inti:

  1. Panaskan minyak masak secukupnya.
  2. Tumiskan bahan yang dikisar iaitu bawang kecil sehingga keluar bau.
  3. Masukkan rempah serbuk kari daging atau ayam bersama dua helai daun pandan dan sedikit air. Masak sehingga naik minyak.
  4. Masukkan isi daging atau yang dipotong kecil. Apabila ayam atau daging empuk, masukkan ubi kentang.
  5. Kemudian, masukkan nisan, gula dan sedikit garam.
  6. Akhir sekali masukkan bawang besar yang dipotong dadu. Masak sehingga adunan menjadi separa kering dan sedikit lembab.
  7. Tutup api dan angkat adunan.

Cara penyediaan kulit kuih ropa:

  • Masukkan kesemua bahan ke dalam pengisar. Kisar sehingga sebati.
  • Masukkan satu senduk adunan tadi ke dalam kuali (letakkan sedikit minyak). Lenggang-lenggangkan.
  • Apabila kulit sudah nampak gelembung, angkat dan ketepikan. Ulang sehingga habis adunan.

(Nota: Adunan yang dicadangkan di atas boleh menghasilkan 13 biji kuih ropa)

Cara penyediaan balutan kuih ropa:

  • Ambil sekeping kulit tadi, masukkan inti secukupnya, lipat kiri dan kanan lalu digulung.
  • Kemudian, ia digoreng sehingga garing dan warna kulit luarnya menjadi keperangan

ANEKDOT

Iklan

RESIPI KUIH KETEWOL

Bahan-bahan

  • 300 gram tepung gaplek

(Cara membuat tepung gaplek adalah merendamkan ubi kayu selama beberapa hari dan kemudian dikeringkan. Selepas kering, ia ditumbuk sehingga halus dan diayak)

  • 100 gram kelapa parut
  • 10 gram garam
  • Sedikit gula

Cara-cara penyediaan:

  1. Masukkan tepung gaplek ke dalam sebuah mangkuk.
  2. Masukkan sedikit air panas dan gaul sehingga tepung menjadi seperti ketulan.
  3. Masukkan adunan tadi ke dalam pengukus dan kukus selama 15 minit.
  4. Keluarkan adunan dari tempat pengukus dan biarkan sejuk.
  5. Masukkan pula kelapa parut ke dalam tempat pengukus dan kukus selama 10 minit (supaya kelapa parut tahan lebih lama)
  6. Setelah adunan tepung gaplek dan kelapa parut sejuk, campurkan kedua-duanya ke dalam mangkuk. Pastikan kelapa parut tadi telah dicampur dengan sedikit gula. Masukkan sedikit garam dan gaul sehingga sebati.
  7. Ketewol sedia untuk dihidangkan.

Sumber: Facebook Faizal Husni