Lebih ramai lelaki berbanding wanita berhadapan radang tulang belakang

No Image Caption
A
A
A

ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB       

Soalan 1: DOKTOR, baru-baru ini saya ada mendengar tentang penyakit spondilitis kejur yang berkaitan masalah tulang. Saya risau ia 'terkena' pada diri. Apakah sebenarnya penyakit yang jarang didengari itu?

- INGIN TAHU, RODZIAH ILHAM, 39, KUALA LUMPUR

Jawapan :

PUAN, spondilitis kejur atau AS adalah penyakit berkaitan artritis yang boleh menjejaskan terutamanya tulang belakang, walaupun sendi-sendi lain boleh terlibat.

Ia menyebabkan keradangan sendi tulang belakang (vertebra) hingga menimbulkan kesakitan yang kronik dan ketidakselesaan.

SEBENARNYA, ia penyakit yang pernah dianggap jarang berlaku.

Bagaimanapun, kini spondilitis kejur dilihat lazim melebihi daripada apa yang difikirkan oleh semua orang. Ia bukanlah penyakit baharu, malah pernah direkodkan dalam sejarah awal Mesir. Apa yang ketara, penyakit itu  menjejaskan lebih ramai lelaki berbanding wanita di seluruh dunia. Ia penyakit orang dewasa dalam kalangan orang muda sehingga 0.5 peratus daripada penduduk dunia.

Dianggarkan kira-kira 100,000 rakyat Malaysia mengalami penyakit tersebut.

Malangnya, spondilitis kejur kekal sebagai penyakit yang tidak dimudah dikesan. Ia sering tidak disedari terutama disebabkan oleh simptomnya yang akan hilang dengan pengambilan ubat-ubat antiradang.

Walaupun ubat berkesan untuk mengurangkan gejala sakit, tetapi ia tidak membantutkan perkembangan penyakit tersebut.

Keupayaan terhad

Berlaku ketidakupayaan untuk menggerakkan leher untuk melihat kiri dan kanan, sukar untuk membengkok badan ke hadapan dan belakang serta akhirnya tulang belakang kaku sepenuhnya.

Masalah itu menyebabkan mereka yang menghidap spondilitis kejur tidak mampu bergerak, sehinggalah akhirnya akan menjadi orang kurang upaya.

Kerosakan anggota dihadapi juga boleh menjejaskan kedua-dua sendi pinggul. Ia akan menyebabkan seseorang itu bongkok ke hadapan hingga mereka berisiko tinggi untuk jatuh tersungkur.

Ada kaitan dengan genetik

Soalan 2: Doktor, apakah penyakit  spondilitis kejur berkait dengan genetik keluarga? Benarkah ia boleh menjejaskan keseluruhan tulang belakang? Mohon penjelasan doktor akan kaedah terbaik bagi mengesannya.

- INSAN CAKNA, FAKHRUL IDHAM, 31, KLANG

SPONDILITIS kejur hanya boleh dikesan oleh doktor yang peka dan pakar reumatologi.

Jawapan :

Ya, penyakit berkenaan mempunyai perkaitan yang kuat dengan genetik. Penandanya dikenali sebagai antigen leukosit manusia (HLA).

Keadaan tidak normal tersebut menyebabkan sel-sel imun badan menyerang pada tepi tulang vertebra, ligamen dan tendon yang melekat rapat dengan tulang belakang.

Terdapat dua sendi dipanggil sendi sakroiliak yang terdapat satu pada kedua-dua belah tulang belakang yang lebih rendah (sakrum).

Keradangan sendi itu adalah cirinya. Ia dikenali sebagai punca sakit pinggang pada peringkat awal penyakit.

Untuk kebanyakan pesakit di seluruh dunia, penemuan tentang penyakit melibatkan keseluruhan tulang belakang itu telah berkembang.

Gambaran radiologi klasik yang dikenali sebagai tulang belakang buluh (bamboo spine) juga dapat dikenal pasti.

Bercakap tentang tulang belakang buluh, ia menjadikan setiap pergerakan biasa begitu sukar. Pergerakan yang mudah akan menjadi perlahan dan menyakitkan. Rasa sakit akan menjadi kelaziman yang bakal dihadapi sehari-hari.

Mereka berisiko berdepan masalah kerosakan tisu seperti uvea, injap aorta, paru-paru dan buah pinggang.

Selepas itu, baharulah pakar reumatologi dapat menjalankan pemeriksaan penuh dan terperinci serta segera memulakan pelan rawatan.

Proses tersebut akan melibatkan fisioterapi, terapi melegakan kesakitan dan terapi untuk mencegah penyakit daripada terus berkembang.

PROFIL

Dr Anwar Samhari Arshad

Pakar Sendi Urat & Tulang

Pusat Pakar Dr Anwar Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca