BEBERAPA hari selepas sambutan Aidilfitri, majlis perkahwinan nampaknya semakin rancak dan bertitik tolak daripada itu Delilah By Siti Shukri mahu penuhi impian raja sehari.

DALAM sedar tidak sedar, jenama busana pengantin berkenaan sudah menjangkau lebih sedekad dalam industri fesyen. Berawal dengan menjual kain, cabang usaha mereka dikembangkan kepada penghasilan pakaian pengantin.

Reaksi positif terhadap rekaan membuatkan pengasasnya, Siti Norhayati Shukri atau lebih dikenali sebagai Siti Shukri optimis dalam menampilkan idea baharu, sekali gus merealisasikan impian raja sehari.

“Sebelum memberi fokus kepada desain baju pengantin, saya menerima tempahan baju kurung biasa.

“Namun, disebabkan kadangkala pelanggan lewat mengambil tempahan sehinggakan ada yang membiarkannya untuk tempoh yang lama membuatkan saya sukar mengawal sumber pendapatan.

“Seterusnya, saya cuba untuk membuat rekaan baju pengantin sekadar cuba-cuba sehinggalah jatuh cinta. Delilah beroperasi sejak 2011, tetapi ketika tahun 2015 saya mula serius memberi fokus kepada penghasilan busana perkahwinan sahaja,” terang beliau ketika ditemui pada acara pertunjukan fesyen di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Delilah kata Siti Shukri, terus mengukuhkan jenamanya apabila terpilih menyertai pertunjukan fesyen The Wedding Kuala Lumpur 2022 pada Februari lalu.

Acara yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-20 majalah Pesona Pengantin itu antara lain mengetengahkan koleksi Mimpi dengan 19 pilihan desain menarik.

Bercerita mengenai himpunan tersebut, Siti Shukri tidak menjangkakan bilangan busana bertambah berbanding perancangan awal.

“Perasaan teruja membuatkan kami ‘terlajak’ sehingga tidak sedar yang sepatutnya 17 sudah menjadi 19 helai. Semestinya ini satu pencapaian membanggakan apabila pertama kali kami berpeluang menyertai pertunjukkan fesyen yang gah seperti ini. Rata-rata kakitangan bersengkang mata sehingga ada yang tidur di kedai demi memastikan segalanya berjalan lancar,” ujarnya.

Menggabungkan budaya tradisional Melayu dan Barat, setiap satu rekaan memiliki nama tersendiri seperti Tulip, Sophie, Kathy, Hazel dan Stella.

Diilhamkan daripada rekaan baju kebarung dan kurung moden, di samping mengetengahkan keindahan kain songket yang pastinya menyerlahkan lagi ciri-ciri keaslian Melayu, menjadi taruhan koleksi Mimpi.

Tidak hanya memenuhi permintaan warga tempatan, jenama tersebut turut menarik minat pelanggan dari negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Singapura.

Seiring dengan kejayaan itu, Siti Shukri menanam impian untuk meluaskan pengaruh Delilah By Siti Shukri dengan membuka sebuah cawangan di New York, Amerika Syarikat.

“Saya berazam untuk menghantar anak sulung menyambung pelajarannya di luar negara. Jadi, alang-alang, saya juga ingin menyambung pengajian dalam bidang fesyen.

“Meskipun merancang untuk membuka sebuah cawangan di sana, namun saya tetap akan mengekalkan pengurusan di sini (Malaysia) kerana semua kakitangan sudah bersama dengan saya sejak 10 tahun lalu,” kongsi beliau.

Cabaran

Siti Shukri juga mengakui bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti sekarang. Pelbagai cabaran perlu ditempuh dengan kesabaran dan kreatif. Antaranya kekangan mendapatkan bahan mentah.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih kurang dua tahun lamanya telah mengehadkan perjalanan ke luar negara.

Iklan

Impaknya, beliau dan para pereka perlu menghasilkan rekaan berdasarkan kain sedia ada.

“Selalunya kain akan dibeli dari negara luar setiap kali dua atau tiga bulan sekali. Mujur sebelum PKP saya sudah membeli kain dengan jumlah yang banyak.
“Situasi itu lebih mencabar apabila pereka tempatan lain juga mendapatkan kain dari tempat yang sama. Jadi masing-masing saling bersaing untuk mendapatkan material sama,” ujarnya.

Usaha untuk mendapatkan ukuran bakal pengantin juga menjadi salah satu tantangan memandangkan keterbatasan penjarakan sosial. Biarpun terpisah jauh, komunikasi dalam talian menjadi alternatif terbaik.

Pengukuran badan perlu dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan kesilapan lebih-lebih apabila menjelang majlis perkahwinan.

Iklan

“Kebiasaan mereka ingin menyentuh jenis kain yang bakal digunakan, jadi kami akan mengirim beberapa contoh kain agar memudahkan mereka membuat pilihan. Berbeza sebelum ini mereka boleh mencuba sendiri dan cara itu agak mudah dan menjimatkan masa,” terang Siti Shukri.

Kepada bakal raja sehari yang akan melangsungkan perkahwinan dan mengimpikan busana yang elegan, boleh hadir ke butik Delilah By Siti Shukri yang terletak di Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.

Tempahan slot janji temu boleh dibuat menerusi laman Instagram dan Facebook, Delilah By Siti Shukri. -NURUL FADILA AWALUDIN

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI