Masalah obesiti ada kaitan dengan telinga tersumbat? Berikut kata pakar

A
A
A

SOALAN

DOKTOR, saya merupakan wanita yang mengalami masalah obesiti. Pada setiap malam, saya rasa tidak selesa kerana telinga saya seakan-akan seperti tersumbat.

Adakah ia dipengaruhi oleh faktor berat badan? Untuk pengetahuan doktor, saya juga tidak menjaga waktu makan saya dengan betul. Mohon penjelasan doktor.

- INGIN TAHU, MIRI, SARAWAK

JAWAPAN:

TERIMA kasih di atas soalan yang diajukan. Sebenarnya, ada beberapa faktor yang perlu kita tahu jika simptom itu hadir.

Namun, amat jarang pakar menemui kes-kes pesakit yang menghidap masalah obesiti atau berlebihan berat badan dan kemudiannya berdepan komplikasi telinga tersumbat.

Jika diamati secara lebih mendalam, simptom tersebut lebih cenderung berlaku pada bahagian tengah atau bahagian luar telinga pesakit.

Lazimnya, pesakit yang datang dengan masalah yang disebabkan oleh telinga luar, ia seringkali dikaitkan dengan pengumpulan lilin telinga.

Keadaan berkenaan akan menjadi bertambah teruk apabila pesakit kerap mengamalkan tabiat mengorek telinga dengan menggunakan putik kapas atau pengorek telinga jenis besi.

Sebenarnya, tindakan itu akan menolak lebih dalam lagi lilin itu ke dalam telinga pesakit sehingga boleh menghimpit gegendang telinga.

Selain itu, masalah telinga tersumbat juga berlaku disebabkan oleh struktur pada gegendang telinga atau terdapat kecederaan sehingga tercetusnya jangkitan.

Oleh itu, pengumpulan cecair di dalam telinga boleh menyebabkan telinga rasa seakan seperti tersumbat dan akhirnya mengganggu kondisi pesakit.

Pada pandangan saya, jika masalah yang dialami berterusan, segera dapatkan nasihat pakar dalam kadar segera.

Suka untuk saya ingatkan sekali lagi, agak sukar untuk memberi gambaran tanpa berhubung dengan pakar. Sekali kali ingin saya katakan, masalah berat badan jarang dikaitkan dengan komplikasi telinga tersumbat.

Sukar bernafas, tekak jadi sempit ketika tidur. Ini penjelasan pakar

SOALAN

SAYA lelaki berusia 19 tahun yang sering mengalami kesukaran bernafas. Pada masa sama, tekak saya berasa sempit sehingga menyukarkan saya untuk bernafas. Hal itu biasanya berlaku jika saya tidur lewat sekitar jam 2 pagi dan ke atas, tetapi kadangkala pada waktu siang, masalah sama juga berlaku.

Adakah mungkin kerana otak saya berkerja 'lebih keras' ataupun sebab saya tidak bersukan? Untuk makluman doktor, kemelut tersebut saya sudah alami sejak empat hingga lima bulan yang lalu.

- KAMAL AHMAD, KOTA BHARU, KELANTAN

JAWAPAN:

TUAN, masalah tersebut lazimnya boleh dipengaruhi oleh beberapa faktor. Pertama sekali, kita perlu tahu keadaan pesakit itu sendiri seperti umur dan bacaan Indeks Jisim Tubuh, sama ada mempunyai berat badan berlebihan ataupun tidak. Ia termasuklah rutin harian pesakit itu sendiri.

Dalam pada itu, jika diamati, gejala yang dikongsikan oleh tuan berkemungkinan besar adalah simptom kepada masalah apnea tidur obstruktif (OSA).

Apa itu OSA? OSA merupakan satu keadaan yang akan menyebabkan pesakit mengalami masalah dengkur semasa tidur. Pada masa sama, turut menanggung kesukaran untuk bernafas (nafas berhenti).

Menurut rekod, berdasarkan kebanyakan kes, pesakit tidak akan sedar hal yang dihadapinya itu kerana mereka sedang nyenyak tidur.

Bahayanya masalah tersebut akan melibatkan komplikasi dalam jangka panjang.

Lebih serius, situasi itu akan menyebabkan gejala kerosakan pada buah pinggang, darah tinggi, jantung dan sebagainya.

Jadi, kita juga perlu sedar bahawa OSA akan berlaku disebabkan oleh sekatan pada saluran pernafasan. Lazimnya, ia terjadi dalam kalangan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.

Nasihat saya, jika situasi itu berlarutan sehingga mengganggu rutin harian, dinasihatkan agar segeralah berjumpa dengan doktor.

Dengan itu, pelan rawatan yang terbaik akan diberikan kepada pesakit termasuklah meminta pesakit untuk menurunkan berat badan, mengamalkan gaya hidup sihat termasuk menikmati makanan bernutrisi.

Baca juga Microsleep boleh sebabkan kemalangan. Ini penjelasan pakar

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca