Minyak bawang putih pelbagai guna homemade untuk batuk, berkahak dan selesema pun boleh

Untitled design - 2020-07-09T134919.509
Untitled design - 2020-07-09T134919.509
A
A
A

KADANG kita suka membeli minyak sapu tertentu berdasarkan jenis-jenis masalah sakit biasa seperti batuk, gatal dan selesema yang dihadapi.

Pasti rumah pun sudah berbotol-botol minyak sapu dibuat 'koleksi'. Kadang dah sampai tarikh luput terpaksa dibuang begitu saja.

Tentu menarik jika kita dapat menghasilkan minyak sapu sendiri untuk masalah sakit-sakit biasa itu. Mana tahu jika sesuai bolehlah terus digunakan. 'Resipi' minyak bawang putih pelbagai guna dikongsikan pengguna laman sosial bernama Yatie Eimra ini barangkali boleh dimanfaatkan.

Minyak bawang putih pelbagai guna:

Saya nak share cara saya buat minyak bawang putih. Cara saya berbeza sikit sebab bawang putih digoreng dalam minyak. Arwah nenek saya dulu bidan kampung dan buat minyak urut sendiri.

Herba atau akar kayu semuanya digoreng dalam minyak dan dibiarkan mereneh lama supaya khasiatnya larut ke dalam minyak dan tahan lebih lama. Saya adaptasi cara arwah untuk buat minyak bawang putih ni lak ☺ semoga dengan perkongsian ni, dikurniakan pahala buat arwah.. Aamiin..

Bahan-bahan:

1 cawan (250 ml) minyak zaitun (saya guna extra virgin olive oil)

1 labu bawang putih

1-2 helai daun salam (segar/kering)

Cara-cara:

1. Bawang putih dikupas kulit, dihiris nipis dan dibiarkan seketika (5-10 minit).

2. Goreng daun salam & bawang putih dalam sedikit sahaja minyak zaitun (agak-agak tenggelam je) dengan api yang sangat perlahan hingga garing.

3. Masukkan bahan-bahan tadi ke dalam bekas kaca dan tambah minyak zaitun selebihnya (minyak zaitun akan hilang khasiat dalam suhu terlalu tinggi, sebab tu guna sikit je untuk goreng). Kacau agar sebati dan biarkan suam.

4. Masukkan dalam botol kecil (travel bottle) untuk kegunaan harian.

KEGUNAAN

- Untuk ditambah ke dalam masakan

Mommies yang mempunyai masalah anak kurang berat badan, tambahkan sesudu minyak ni ke dalam masakan (selepas selesai memasak) untuk menambah kalori. Daun salam bukan sahaja memberikan aroma yang enak tetapi meningkatkan selera makan si manja.

- Pengganti tumisan bawang putih dalam masakan

Mommies yang kesuntukan masa, gunakan je sedikit minyak ni/bawang putih goreng untuk menumis. Dapat jimat masa — tak perlu lagi tambah bawang putih.

- Mengurangkan demam/ sakit tekak, batuk dan mencairkan kahak

Bawang putih membantu menguatkan antibodi badan dan melawan penyakit. Sapukan minyak pada bahagian dada, belakang badan dan paling penting tapak kaki. Lakukan sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Untuk sakit tekak dan batuk, boleh juga sapukan minyak ni di bahagian bawah dagu dan sekitar leher untuk kesan yang lebih cepat.

- Mengurangkan selesema

Rebus air dan masukkan beberapa sudu minyak bawang putih. Hidu wap selama 15-20 minit. Bagi anak kecil, tiarapkan di atas riba. Mommies perlu pastikan hidung anak menghidu wap. Bawang putih adalah antibiotik terbaik, daun salam pula membantu mengurangkan masalah berkaitan pernafasan.

- Menghentikan bersin

Sapukan minyak pada hidung dan batang hidung. Bersin akan beransur-ansur kurang. Bagi yang mengalami gatal dalam hidung/resdung, titiskan sedikit minyak bawang putih ke dalam hidung (bahagian tepi) untuk kurangkan gatal.

- Sebagai mosquito repellent

Bawang putih sangat efektif digunakan sebagai repellent kerana baunya yang kuat tidak digemari oleh nyamuk.

- Mengurangkan gatal-gatal akibat gigitan nyamuk/alahan/ekzema

Kedua-dua bawang putih dan daun salam mempunyai efek anti inflamasi dan boleh mengurangkan gatal.

Sapukan di tempat gatal dan urut agar minyak meresap ke dalam kulit. Lakukan beberapa kali hingga gatal hilang.

❇Nota:

Anak saya ada ekzema dan saya sapukan minyak ni setiap hari dan setiap kali ekzema die flare. Alhamdulillah, ekzema dia cepat surut bila sapu dengan konsisten.

- Mengelakkan & mengurangkan ruam lampin

Bayi yang mempunyai kulit sensitif mudah terkena ruam lampin. Pastikan kerap menukar lampin kerana air kencing bayi menyebabkan ruam semakin gatal. Bersihkan punggung bayi (sebaik-baiknya guna air) dan sapukan minyak sebelum dipakaikan lampin baru.

- Mempercepatkan proses penyembuhan luka

Bersihkan luka dan sapu minyak sebelum balut luka. Khasiat bawang putih sebagai antibakteria mengurangkan risiko jangkitan dan daun salam mempercepatkan luka sembuh.

❇Nota: Pentingnya goreng bawang putih hingga garing adalah untuk kurangkan 'pedas' atau 'pijarnya'. Bawang putih yang tak digoreng garing akan membuatkan rasa pedih apabila disapu tempat luka/berdarah.

- Mengatasi bibir kering dan merawat ulser mulut/mata ikan/sariawan

Kerap sapukan minyak pada bibir yang kering/bahagian yang terkena ulser.

❇Nota: anak sy pernah terjatuh & bibir belah dalam luka akibat terkena gigi. Si kecik ni langsung tak nak makan/minum susu sebab luka bibirnya dah jadi ulser. Dalam 3-4 hari je ulser dia dah kering dengan penggunaan sekurang-kurangnya 2x sehari.

- Melebatkan rambut/mengurangkan rambut gugur

Mommies yang ingin anak rambut lebat, rajin-rajinlah lumurkan minyak ini pada rambut. Minyak zaitun sendiri terbukti mempunyai pelbagai khasiat untuk rambut, ditambah pula dengan kandungan gizi yang tinggi dalam bawang putih mampu menguatkan dan melebatkan rambut. Gabungan daun salam — digunakan dalam perubatan ayurvedic untuk menguatkan rambut/mengurangkan rambut gugur. Mommies pun boleh guna sendiri untuk kurangkan rambut gugur lepas bersalin tu.. Lumur pada rambut dan biarkan sekurang-kurangnya 15 minit sebelum cuci rambut.

- Merawat cradle cap (kulit kepala berkerak)

Untuk merawat bayi yang mempunyai masalah cradle cap (kulit kepala berkerak seakan-akan kelemumur, bertompok kecoklatan dan berminyak), sapu minyak dan urut lembut kepala bayi. Biarkan sekurang-kurangnya 15min-30min untuk melembutkan kerak. Sikat kepala bayi dengan sikat untuk menanggalkan kerak. Syampu rambut bayi seperti biasa. Lakukan beberapa kali sehingga cradle cap benar-benar hilang.

❇Nota: Cradle cap kerap berulang & selalunya akan hilang sendiri apabila bayi mengjangkau usia setahun tapi ada juga yang lebih lama. Si kecik ni sendiri dah nak masuk 2 tahun pun, masih ada cradle cap. Sebelum ni guna santan/ minyak baby biasa. Lepas beberapa lama jadi balik walaupun kerap syampu. Semenjak amalkan sapu minyak bawang putih ni kat kepala, nampak perubahan ketara. Cradle cap makin berkurang dan alhamdulillah sekarang dah tak ada.

Bonus untuk mommies - sebagai homemade make up remover. Untuk buat make up remover, campurkan 1 bahagian minyak + 3 bahagian air dalam bekas/botol. Bukan sahaja berfungsi tanggalkan mekap, tapi mengecutkan jerawat dan memudarkan parut juga. Pastikan goncang bekas sebelum digunakan ye..

Untuk jenis kulit berminyak, boleh campurkan sebatang kayu manis ke dalam botol.

TIP UNTUK ANAK EKZEMA

✔Selain minyak bawang putih, mommies juga boleh gunakan air rebusan daun sirih+daun kunyit+daun salam+daun bidara+daun semambu (gabungkan mana-mana daun yg ada je) sebagai bilasan terakhir mandian anak. Semua daun ni berfungsi sebagai anti inflamasi, antiseptik & boleh kurangkan gatal. (elok juga utk anak yg kena chicken pox)

✔Kalau anak ekzema jenis berair/basah, better letak kunyit hidup yg dibuat pes (tumbuk lumat) tak pun guna aloe vera utk keringkan dulu ekzema. Bila dah kering baru letak minyak bawang putih.. Kalau setakat berair sikit² boleh je sapu terus minyak ni.

✔Bagi ekzema jenis basah atau anak yg tak serasi sapuan oil based — boleh cairkan minyak bawang putih ni dengan air/air rebusan daun tadi (2 bahagian minyak + 1 bhgian air). Campurkan juga sebatang kulit kayu manis utk cepatkan ekzema kering (utk kegunaan luaran sahaja). Goncang setiap kali sebelum guna. Saya selalu standby 2-2 jenis pekat dan cair. Bahagian yang selalu berpeluh (leher, pelipat dll) lebih sesuai gunakan minyak yang cair untuk sejukkan badan sekali. Kalau nak tambah kayu manis, pastikan mommies buat patch test dulu ye untuk uji keserasian.

*Menurut Dr Zubaidi bawang putih perlu dipotong & dibiarkan seketika kerana bawang yang telah dipotong/ dilenyekkan akan mengalami proses enzimatik yang akan menukar bahan alliin kepada allicin, yang sangat bermanfaat pada tubuh.

*Penggunaan minyak ni hanya sebagai alternatif. Dapatkan khidmat doktor sekiranya gejala berterusan

*Tindak balas tubuh tidak sama bagi setiap individu. Mungkin ada yang cepat/ lambat nampak kesan

*Anak yang tak serasi dengan minyak zaitun, boleh ganti minyak kelapa dara (evco)

*Untuk simpan lama, pastikan bawang putih terendam dalam minyak sepenuhnya untuk elakkan bawang berkulat. Jika minyak tinggal sikit, boleh keluarkan je bawang putih.

*Sebaik-baiknya gunakan minyak bawang putih yang direndam semalaman bersama hirisan bawang putih untuk lebih efektif.

Moga bermanfaat!

Kredit: Yatie Eimra

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca