Musim PKPB: Jom riadah ringan bersama si manja anda di rumah

A
A
A

PADA hari ini, kita masih melalui fasa pergerakan terhad yang memerlukan masyarakat menghabiskan lebih banyak masa di rumah.

Akan tetapi, itu tidak bermakna perlu 'duduk diam' di rumah sahaja. Aktiviti riadah amat penting untuk kesihatan tubuh badan dan mengisi masa terluang bersama keluarga.

Pakar Pediatrik dan Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhammad Yusoff Mohd Ramdzan atau Dr Yusoff juga tidak menafikan kepentingan aspek berkenaan dalam kalangan kanak-kanak.

Kongsi Dr Yusoff, aktiviti beriadah seringkali dikaitkan dengan dua pecahan utama iaitu riadah fizikal dan mental.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ibu bapa masih boleh menarik perhatian anak-anak untuk beriadah dan kekal sihat meskipun berada di rumah.

Tidak dapat dinafikan, aktiviti beriadah bersama anak-anak  memerlukan kerjasama kedua-dua pihak. Paling penting penglibatan ibu bapa dalam aktiviti yang dilakukan bersama mereka.

“Ibu bapa tidak boleh memberi arahan sahaja, sebaliknya ajak anak-anak beriadah bersama bergantung kepada kematangan umur dan perkembangan mereka,” jelas Dr Yusoff.

Kongsi beliau lagi, biasanya kanak-kanak yang berumur empat hingga lima tahun cenderung melakukan riadah fizikal yang mengeluarkan peluh seperti berlari, melompat dan menendang.

Sebaliknya, riadah mental lebih melibatkan anak-anak remaja. Justeru ibu bapa perlulah arif memilih aktiviti yang sesuai untuk menarik minat mereka.

Beberapa cadangan riadah fizikal yang disyorkan untuk dilakukan bersama anak-anak di rumah:

1. Menari

Aktiviti yang dimaksudkan bukanlah melibatkan gerakan yang spesifik, sebaliknya sekadar tarian ringkas.

Perlu diketahui bahawa anak kecil sukakan muzik dan lagu. Aktiviti tersebut amat sesuai untuk kanak-kanak yang berumur antara dua hingga lima tahun.

Lagu bertemakan kanak-kanak boleh digunakan untuk menarik perhatian si kecil melakukan aktiviti menggerakkan tangan dan kaki.

2. Bermain sembunyi-sembunyi

Berjalan, berlari dan bermain mencari tempat sembunyi adalah antara aktiviti riadah yang senang dilakukan di kawasan tertutup di dalam rumah.

Memadai beriadah dalam masa yang tidak terlalu lama iaitu sekitar 15 minit atau 20 minit sahaja.

Jadi, ambillah sedikit masa. Lakukan aktiviti riadah di dalam rumah bagi membantu perkembangan mereka menerusi pergerakan asas fizikal.

3. Lompat tali

Aktiviti ini sesuai untuk anak yang berumur antara tujuh hingga lapan tahun dan mempunyai kemahiran fizikal yang lebih tinggi.

Lompat tali boleh melatih fizikal dan stamina anak-anak. Lebih menarik, aktiviti menceriakan itu tidak memerlukan kawasan yang luas dan memadai dengan melompat di satu tempat sahaja.

4. Aktiviti air

Ibu bapa juga boleh mengajak anak-anak beriadah dengan melakukan aktiviti berunsurkan air seperti mandi di dalam kolam plastik dan bermain pistol air.

Aktiviti itu memerlukan halaman dan ruang yang besar serta berpagar, jadi ia sesuai dilakukan di halaman rumah.

Elakkan kawasan yang panas. Pasti menyeronokkan apabila ia boleh dilakukan bersama adik-beradik yang lain.

5. Solat berjemaah

Orang ramai kurang sedar akan kepentingan amalan ini kepada kesihatan. Solat berjemaah secara tidak langsung dikaitkan  sebagai aktiviti riadah kerana seseorang perlu menggerakkan badan seperti bersenam.

Sebaik-baiknya, aktiviti itu didedahkan kepada anak-anak sejak kecil lagi meskipun mereka belum wajib solat. Biasanya, si kecil yang baru diperkenalkan kepada pergerakan dalam solat seperti sujud dan rukuk, mereka akan melakukannya secara bermain-main.

Selain lima aktiviti tadi, Dr Yusoff berpendapat tidak salah untuk membenarkan anak-anak bermain gajet sebagai sebahagian aktiviti masa lapang sepanjang PKPB.

Namun, katanya, hadkan penggunaannya kepada satu ke dua jam sahaja sehari untuk mengelakkan masalah perangai dan interaksi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca