SANTAI dan selesa. Itu dua perkataan yang boleh dirumuskan sebaik kaki penulis melangkah ke Pusat Perubatan Estetik Radiant Clinique yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor.

Apa itu perubatan estetik? Ia sebenarnya merupakan satu cabang perubatan yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembaikan rupa bentuk wajah, kulit dan badan.

Mudah kata, ia merupakan salah satu alternatif membantu individu untuk mendapatkan rupa wajah yang terbaik atau bentuk badan ideal demi untuk meningkatkan keyakinan diri dan semangat.

Pengarah Perubatan Radiant Clinique dan Menara Group, Dr Rasool Shaik Mohamed terlebih dulu menjelaskan, peranan pengamal perubatan estetik sangat jauh beza jika dibandingkan dengan ejen kecantikan atau spa.

“Dalam hal ini, ramai orang berfikir bahawa doktor yang mempraktis perubatan estetik merupakan ejen kecantikan. Hakikatnya, tidak. Ia sangat berbeza seperti langit dengan bumi.

Hanya pengamal perubatan berdaftar sahaja yang dibenarkan untuk melaksanakan apa-apa prosedur estetik di Malaysia dan jangan mudah terpengaruh dengan pusat-pusat kecantikan di luar sana.

“Semua perkhidmatan yang ditawarkan (di pusat perubatan estetik) seperti masalah jerawat, jeragat, keguguran rambut, antipenuaan dan menurunkan berat badan adalah berdasarkan dan disokong dengan bukti saintifik perubatan terkini,” katanya ketika ditemui SinarPlus di Radiant Clinique baru-baru ini.

Selain elemen kecantikan, Dr Rasool memberitahu, pihaknya turut menawarkan perkhidmatan merawat semua penyakit kulit seperti ekzema, alahan dan psoriasis tanpa mengira peringkat umur pesakit.

Ujar beliau, matlamat utama rawatan tersebut sememangnya untuk mengubah penampilan kulit yang biasa atau normal agar bebas daripada sebarang penyakit.

Keberkesanan

Menurut Dr Rasool, disebabkan permintaan prosedur estetik yang semakin meningkat ditambah terdapatnya laporan dan aduan mengenai kesan buruk prosedur estetik yang dilakukan oleh pengamal perubatan yang tidak berdaftar, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewujudkan satu garis panduan yang merangkumi panduan khas dan petunjuk dalam bidang berkenaan.

“Di Radiant Clinique, perkhidmatan yang ditawarkan adalah berdasarkan saranan daripada pihak KKM. Buktinya, pihak kami telah menerima Letter of Credentialing and Privileging yang membenarkan doktor di sini mempraktikkan amalan dalam perubatan estetik,” katanya.

Berdasarkan rekod, sejak dibuka empat tahun lalu, lebih 3,000 pelanggan (75 peratus adalah dalam kalangan wanita) menaruh keyakinan dengan khidmat pusat estetiknya.

Iklan

“Alhamdulillah, kebanyakan mereka berpuas hati dan sudah menerima manfaat daripada rawatan (estetik) kami.

“Pun demikian, ramai beranggapan, masalah mereka akan hilang selepas satu kali rawatan sahaja, hakikatnya, pelanggan sepatutnya bersabar. Rawatan yang diberikan oleh kami juga adalah mengikut jenis kulit masing-masing,” ujarnya.

Menutup bicara, Dr Rasool berkata, selari dengan perkembangan semasa, orang ramai tidak perlu lagi berasa malu untuk menjalani prosedur estetik untuk tampil cantik, sempurna dan menawan.

Iklan

“Tidak salah untuk nampak jelita atau nampak lebih muda dan menarik selagi kita tidak menggadaikan kesihatan diri,” katanya lagi.

ANEKDOT

PANDUAN asas buat mereka yang mempunyai masalah kulit:

  1. Fahami masalah kulit yang dihadapi dan jangan sesekali dapatkan rawatan yang tidak sesuai.
  2. Jangan terlalu mengikut trend. Elak cuba semua jenis produk yang didakwa ‘bagus’. Sebaiknya lakukan sedikit penyelidikan mengenai produk tersebut sebelum membeli.
  3. Kenali bahan aktif dalam produk yang digunakan dan kesesuian dalam merawat masalah kulit yang dihadapi.
  4. Dapatkan nasihat doktor pakar dalam kadar segera.

Sumber: Pengamal Perubatan Estetik dan Kulit, Radiant Clinique, Dr Syairah Nadia Mohamad.