NASOM, TikTok lancar kempen #KasihiAutism. Guna medium popular ini untuk beri sokongan, picu kesedaran

AUTISME adalah satu keadaan yang menyaksikan interaksi sosial seseorang terganggu akibat masalah kemahiran berkomunikasi, tingkah laku tidak wajar yang berulangan, pemencilan diri dan mempunyai keinginan terhad terhadap sesuatu benda.

Menurut MyHealth, autisme dalam kalangan kanak-kanak boleh dikesan seawal usia 18 bulan.

Berdasarkan satu kajian yang diterbitkan menerusi Autism Research, 100 dalam 10,000 kanak-kanak di seluruh dunia didiagnos dengan gangguan spektrum autisme.

Dapatan itu sekali gus menyaksikan berlaku peningkatan daripada laporan global 2012 yang menyaksikan hanya 62 daripada 10,000 kanak-kanak berdepan dengan sindrom autistik.

SUMBER Caleb Woods daripada UNSPLASH.

Menurut Ketua Pegawai Sains, Autism Speaks yang juga penyelidik bersama penyelidikan tersebut, penambahan statistik itu mencerminkan betapa peri pentingnya tentang usaha mencambahkan tahap kesedaran orang ramai tentang permasalahan itu.

Bagaimana pula situasinya di Malaysia? Terkini, kira-kira 9,000 kanak-kanak di Malaysia dilahirkan dengan autisme setiap tahun, lapor Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Ujar NASOM, gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan di negara telah mengendalikan lebih daripada 1,500 kanak-kanak yang berdepan dengan kondisi berkenaan.

Ya, membesarkan anak autisme bukanlah suatu yang mudah dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

Bercerita tentang perihal itu, SinarPlus baru sahaja menonton satu video yang meruntun jiwa di media sosial.

Dalam rakaman tersebut, seorang bapa dilihat menyuap makanan ke mulut anaknya ketika makan di tempat awam.

SUMBER Nicola Barts daripada PIXELS.

Disebabkan dibanjiri banyak pertanyaan, lelaki itu memberitahu bahawa anaknya memiliki sindrom autistik.

Katanya, anaknya boleh makan sendiri, tetapi akan mengambil masa yang agak lama.

Kelambatan itu dikhuatiri boleh menyusahkan pekerja restoran untuk membersihkan ruang makan, sementelah anak beliau juga akan makan bersepah.

Pencerahan yang dilakukan bapa tabah itu menerusi video pendek berkenaan telah menerima lebih 183,000 tanda suka.

Rata-rata komen warganet bersetuju dengan tindakannya yang rasional.

Bagi SinarPlus, rakaman berkenaan sedikit sebanyak boleh ‘mencelikkan’ masyarakat agar lebih peka dengan situasi keluarga yang mempunyai anak istimewa.

Sempena sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut pada bulan April setiap tahun, NASOM meraikannya menerusi pelbagai aktiviti dan kempen baik secara fizikal mahupun secara online.

Baca lagi:Bawa anak kecil, anak saudara autisme naik flight , Fazura luah kecewa diherdik penumpang wanita

Baca lagi: Kanak-kanak normal pun boleh ada ciri autisme, ini mak-mak perlu perhatikan

Pada kali ini, pihak persatuan bekerjasama dengan laman aplikasi video mudah alih berdurasi pendek, TikTok dalam menganjurkan kempen #KasihiAutism.

Iklan

Menurut Presiden NASOM, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin, inisiatif itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mengumpul dana bukan sahaja melibatkan pengguna TikTok di Malaysia, malah semua khalayak melalui ciri-ciri khas yang tersedia di aplikasi TikTok secara global.

“Sehubungan itu, NASOM dan TikTok akan menganjurkan siri rangkaian aktiviti menarik, antaranya video kandungan pendidikan mengenai autisme dan Karnival Amal TikTok LIVE.

“Ia mendapat sokongan daripada pengamal perubatan, pempengaruh, selebriti, termasuk rakan media strategik. Kesemua hasil dana yang diperoleh menerusi inisiatif ini akan disalurkan kembali kepada NASOM dan komuniti autisme di Malaysia,” ujar beliau.

Kata Megat Ahmad lagu, pihaknya amat teruja untuk memulakan kerjasama bersama TikTok bagi mendidik masyarakat Malaysia tentang kepentingan mewujudkan ruang yang selamat untuk komuniti autisme.

SUMBER Pixabay daripada PEXELS.

Pada masa sama, dapat mendekati pelbagai lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa yang mempunyai permata hati yang menghidap permasalahan berkenaan.

Jadi, ayuh apa lagi? Tunjukkan sokongan padu anda.

Iklan

Kongsikan kreativiti anda dengan menggunakan pelbagai alatan dalam aplikasi TikTok dengan warga komuniti dan menjemput pengguna untuk menyertai perbualan bagi menyemarakkan lagi kempen #KasihiAutism.

Untuk pengetahuan semua, NASOM merupakan sebuah persatuan yang ditubuhkan pada tahun 1987 oleh sekumpulan ibu bapa dan profesional dengan matlamat untuk menyampaikan perkhidmatan sepanjang hayat kepada komuniti penghidap autisme.

Ia telah didaftarkan pada 3 Mac 1987 sebagai pertubuhan amal kebangsaan yang berusaha untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan untuk membantu komuniti autisme, terutamanya kanak-kanak dan ahli keluarga terdekat mereka.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi 03-7832 1928.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.