ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

Bersama:

Pakar Urologi,

Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Prof Madya Dr Ong Teng Aik.

SOALAN 2:

DOKTOR, saya ada terbaca artikel di internet yang menyatakan kononnya, jika kita sering melakukan onani, ia antara punca kepada masalah kanser prostat. Namun demikian, ada juga penulisan yang bercanggah dengan pendapat itu. Apakah ia benar doktor? Soalan kedua, mengapakah kanser itu sering menyerang mereka yang berumur 50 tahun dan ke atas?

– INSAN CAKNA, MOHAMMAD ZUHRI MOHAMMAD HUZAIMI, 51, JELI, KELANTAN

JAWAPAN:

ONANI boleh menyebabkan kanser prostat adalah mitos semata-mata. Ia juga hanyalah berita palsu dan tidak benar sama sekali.

Perlu diketahui, onani adalah satu tindakan untuk merangsang badan dengan menyentuh atau mengurut organ-organ kelamin.

Onani bukan sahaja tidak menyebabkan kanser prostat malah ia juga tidak memberi kesan kepada masalah kesihatan lain seperti dimomokkan oleh orang ramai seperti buta, gila dan muka berjerawat.

Iklan

Terdapat kajian yang menyatakan berkemungkinan kesan buruk onani yang akan berlaku adalah pembengkakan zakar yang disebabkan oleh pembentukan cecair.

Namun demikian, beberapa kajian lain menunjukkan bahawa ia sebenarnya dapat mengurangkan risiko kepada barah prostat.

Bagaimanapun, ia tidak dapat disahkan dengan tepat dan masih memerlukan penelitian dan kajian lebih terperinci lagi.

Iklan

Menjawab soalan kedua, ya, memang benar. Risiko kanser prostat meningkat seiring dengan peningkatan usia, lebih-lebih lagi selepas berumur 50 tahun.

Penting untuk diketahui, lebih daripada 80 peratus kanser prostat didiagnosis pada lelaki berumur 65 tahun ke atas.

Oleh sebab punca sebenar kanser prostat belum dapat ditentukan dan kadangkala ia tidak menunjukkan gejala, adalah lebih baik untuk berunding dengan pakar perubatan dalaman.

Pemeriksaan lanjut juga sangat penting bagi sama ada wujud kanser atau sebaliknya.