PANTAI Chenang, lokasi tumpuan percutian pelancong di pulau bebas cukai ini mula menikmati tempias positif daripada keputusan kerajaan membenarkan pengoperasian pelancongan domestik seperti diumumkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila ia mula dikunjungi orang ramai.

Pengunjung datang merakam gambar kenangan dan berswafoto bersama ahli keluarga dan rakan di pesisir pantai yang sebelum ini sepi tanpa sebarang aktiviti hampir tiga bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Bagi seorang warga tempatan, Yasmin Abdullah berkata, dia bersama suaminya datang ke Pantai Chenang untuk beriadah di lokasi tersebut.

“Kami rasa seronok dapat bersiar-siar di Pantai Chenang hari ini setelah hampir tiga bulan tidak boleh keluar, dalam tempoh PKP kalau keluar kena tahan hari ini tak perlu takut lagi,” katanya yang bekerja di sebuah hotel di Langkawi.

Seorang pelancong warga Rusia yang hanya ingin dikenali sebagai Igor berkata, dia bersama isterinya memang merancang untuk datang ke Langkawi lebih awal, namun terkandas di Kuala Lumpur sepanjang tempoh PKP.

“Kami datang ke sini dari Kuala Lumpur, kami menaiki feri dari Kuala Perlis ke Langkawi, ia bukan mudah kerana feri penuh, kami tidak tahu perlu tempah secara dalam talian. Kami baru sampai dua jam lepas, Langkawi sangat cantik,” katanya.

Iklan

Tinjauan mendapati selain kawasan pesisir pantai, Jalan Pantai Chenang juga meriah dengan aktiviti perniagaan seperti kedai bebas cukai, gerai dan restoran serta tapak trak makanan dan hotel kembali beroperasi.

Menurut Pengurus Besar Hotel Nadias Damian Luke de Rozario, tempahan bilik hotel tiga bintang di Jalan Pantai Chenang itu mendapat sambutan menggalakkan berikutan pelbagai tawaran harga bilik yang menarik untuk penginapan tiga hari dua malam.

Iklan

“Tawaran ini sah bermula 10 Jun hingga 31 Ogos depan. Hotel Nadias beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) PKPP menjadi perhatian utama, arahan supaya tetamu hotel patuh SOP diletakkan di hampir semua lokasi strategik di hotel ini,” katanya.

— BERNAMA