Foto KOLEKSI NURIDAYU MUHAMMAD

KIRA-KIRA 40 tahun lalu, jika masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang mahu mendapatkan kuih putu halba, hanya ada satu tempat sahaja boleh dituju.

Untuk ke sana juga, orang ramai juga terpaksa berbasikal atau menaiki beca roda tiga. Lokasi yang dimaksudkan itu adalah di Wakaf Che Yeh yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.

Pada era tersebut, kuih putu halba dijual pada harga 10 sen sahaja. Kisah di sebalik sajian tradisional berkenaan juga memang unik. Pertama, selain dikenali sebagai kuih putu halba, ia turut dipanggil sebagai kuih dalam kain.

Menjejaki salah seorang pengusaha kuih dalam kain itu, Nuridayu Muhammad atau Idayu berkata, sebenarnya pembuatan sajian berkenaan menggunakan bahan berasaskan ubi kayu.

”Namun demikian, nama ubi kayu itu sendiri tenggelam. Sebaliknya, nama halba iaitu sejenis rempah pula dipilih sebagai nama penuh kuih ini.

”Hakikatnya, penggunaan halba dalam proses pembuatan kuih berkenaan sedikit sahaja iaitu sekadar untuk mendapat aroma baunya,” katanya  yang mewarisi perniagaan secara kecil-kecilan menjual kuih yang terkenal di Kelantan itu daripada ibunya.

Mengenai cara membuat kuih dalam kain itu kata Idayu, cukup mudah.

”Seperti yang saya katakan tadi, ia menggunakan 100 peratus tepung ubi kayu yang dibuat sendiri. Kemudian ia dikukus dan dihidangkan dengan kelapa parut,” katanya.

Wanita itu memberitahu, kuih berkenaan akan laku keras terutamanya pada musim banjir iaitu sekitar bulan Oktober hingga awal Januari.

”Ini kerana halba yang digunakan dikatakan dapat membantu memanaskan badan,” katanya.

Graduan Universiti Malaysia Kelantan itu berkata, seiring dengan peredaran masa, kuih putu halba dijual pada harga 50 sen sekeping.

PROFIL

Iklan
  • Nama penuh: Nuridayu Muhammad
  • Umur: 24 tahun
  • Asal dan menetap: Pasir Mas, Kelantan

RESIPI PUTU HALBA

Bahan-bahan

  • 1 kilogram ubi kayu (diparut dan dikeringkan)
  • 1 sudu halba
  • 2 batang serai
  • 1 inci halia
  • Gula Melaka secukupnya
  • Gula pasir secukupnya
  • Kelapa parut

Cara penyediaan:

  1. Panaskan air dalam periuk kukusan.
  2. Campurkan halba, serai dan halia yang telah dikisar dan dapatkan air perahan lalu dimasukkan ke dalam bekas yang diisi ubi kayu bersama secubit garam.
  3. Masukkan separuh ubi kayu ke dalam acuan dan letakkan gula Melaka dan gula pasir sebagai inti (di tengah).
  4. Tutup semula lapisan atas dengan ubi kayu.
  5. Balut dengan kain dan telengkupkan ke dalam periuk pengukus dan kukus sehingga masak.
  6. Akhir sekali, hidangkan putu halba bersama kelapa parut.

Sumber: Nuridayu Muhammad

Iklan

RESIPI KUIH CAKAR AYAM

Bahan-Bahan

  • 300 gram gula merah
  • 1 kilogram keledek (dikupas kulitnya)
  • 1 sudu kecil kapur makan
  • Sedikit air
  • Minyak masak

Cara penyediaan:

  1. Kukur keledek hingga halus dan berbentuk seperti tali. Masukkan keledek tadi ke dalam air kapur selama 1 jam.
  2. Setelah cukup 1 jam, keluarkan keledek dan toskan sehingga kering. Setelah kering, gorengkannya di dalam minyak yang panas.
  3. Sementara itu, campurkan gula merah dan air di dalam kuali yang berasingan. Biarkannya sehingga gula merah tersebut cair dan larut di dalam air tersebut.
  4. Kemudian, masukkan keledek yang digoreng tadi ke dalam gula merah. Gaulkan sehingga rata dan sebati.
  5. Setelah sebati, angkat dan masukkan ke dalam acuannya yang berbentuk bulat. Jangan lupa untuk menekannya sehingga padat.
  6. Akhir sekali, sejukkannya. Kuih perlu disimpan di dalam bekas yang kedap udara kerana dikhuatiri akan menjadi lemau (jika dibiarkan terdedah).

Sumber: resipibonda.com