Potong kuku terlalu pendek, pakai kasut terlampau ketat punca berlaku cagu

A
A
A

CAGU atau di sesetengah tempat dikenali sebagai cengkam adalah keadaan yang mana kuku jari menumbuh ke sisi dan menekan tisu pada bahagian tepi jari.

Sebagai tindak balas, tisu pada sisi kuku mengalami keradangan dan menjadi tebal.

Pegawai Perubatan, Klinik Ajwa Shah Alam, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman melalui Facebooknya berkata, keadaan itu paling kerap berlaku pada ibu jari kaki.

“Kerap kali pula ia dijangkiti kuman dan mengeluarkan nanah sehingga menyebabkan pesakit mengalami kesakitan yang amat sangat,” katanya.

Pun demikian, lebih parah lagi keadaan itu juga akan mengakibatkan gangguan emosi terhadap pesakit akibat bau yang kurang menyenangkan dan pesakit tidak boleh memakai kasut akibat kesakitan.

“Sebenarnya, cagu atau onychocryptosis sangat berbeza dengan paronychia.

“Paronochia pula jangkitan kuman pada jaringan tisu kulit tepi kuku (soft tissue infection) manakala cagu ini adalah masalah jangkitan kuman bakteria,” terang Dr Arisman.

Kongsi pakar itu, berikut antara penyebab terjadinya cagu iaitu:

i. Potong kuku terlalu pendek (improper grooming and trimming of the nail).

ii. Pakai kasut yang ketat dihujungnya.

iii. Traumatik.

iv. Kuku yang besar untuk jari kaki disebabkan penyakit daripada lahir atau congenital abnormality.

Bagaimanapun, mengikut pengamatan Dr Arisman, paling kerap penyebab cagu adalah masalah potong kuku yang terlalu pendek (terutama pada bahagian tepi kuku) dan memakai kasut yang ketat.

Memperincikan mengenai gejala dan tandanya, beliau memberitahu cagu akan menyebabkan bengkak yang sakit, kemerah-merahan, bernanah dan demam (jarang sekali berlaku).

Oleh yang demikian, saran pegawai perubatan itu, berikut antara rawatan yang boleh membantu pesakit yang berhadapan masalah itu:

1. Berjumpa dengan doktor untuk dapatkan ubat makan antibiotik, krim antibiotik dan ubat tahan sakit jika perlu.

2. Lakukan prosedur partial nail avulsion (buang kuku separuh pada bahagian yang dijangkiti) dan buang nanah (drainage).

3. Pastikan anda menjaga kebersihan kaki setiap hari.

4. Rendamkan kaki dalam air suam antara 3 ke 4 kali sehari dan biarkan kering selepas itu.

5. Jangan pakai kasut bertutup sementara waktu (dalam rawatan) dan elakkan pakai kasut ketat dihujungnya.

Oleh itu, tegas Dr Arisman sekali lagi, cegahlah masalah cagu dengan tidak memotong kuku dengan ada lekuk (rounding the corners) pada hujung tepi kuku dan pastikan kasut yang dipakai sedikit longgar.

Apa-apapun yang paling penting adalah kita mengetahui cara-cara memotong kuku dengan betul.

Ingat, hujung kuku kaki perlu dipotong secara lurus mulai daripada sisi kuku dan elakkan daripada memotong kuku secara menyerong pada bucu kuku kerana ia boleh menyebabkan cagu berlaku.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca SinarPlus.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca