Puasa mendidik disiplin diri. Pakar ini kongsi kaedah berpuasa dengan berkesan

A
A
A

SETIAP rakyat Malaysia dari pelbagai kepercayaan agama sudah biasa dengan bulan Ramadan.

Tidak kira Muslim atau bukan, ramai yang ternanti-nantikan senario dan aroma bazar yang menjual hidangan lazat untuk berbuka puasa.

Menurut Pakar Diet di Jabatan Pemakanan dan Dietetik International Medical University Malaysia (IMU), Nur Adila Samingan,  tujuan berpuasa adalah untuk membentuk disiplin diri.

Namun, terdapat beberapa aspek praktikal yang perlu dipertimbangkan.

“Untuk memahami apa yang berlaku kepada badan semasa berpuasa, adalah penting untuk memahami terlebih dahulu bagaimana tubuh bertindak balas kepada makanan.

“Ringkasnya, badan kita menukar makanan menjadi tenaga dan sebarang lebihan akan bertukar menjadi glikogen yang kemudiannya disimpan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Proses tersebut dikawal oleh insulin yang dihasilkan tubuh semasa seseorang makan.

Lebih banyak makanan diambil, lebih banyak insulin yang terhasil dan semakin banyak tenaga yang disimpan.

Sebaliknya, kata pakar tersebut, ketika berpuasa, badan akan menggunakan dahulu tenaga daripada makanan terakhir yang dimakan sebelum ia bertukar menjadi glikogen disimpan.

Dengan berlalunya hari, badan akan memecahkan protein dan lemak yang tersimpan untuk tenaga.

Jelas Nur Adila, bagi melindungi diri, badan meningkatkan penghasilan hormon tumbesaran manusia untuk mengurangkan kehilangan otot.

Selain itu, berpuasa turut mengurangkan penghasilan tekanan oksidatif dan meningkatkan aktiviti enzim antioksidan.

"Oleh itu, ia mengurangkan proses keradangan yang dikaitkan dengan jangka hayat yang lebih panjang dan sihat.

"Biarpun begitu, realiti berpuasa daripada makan dan minum bermula terbit sehingga terbenam matahari adalah sesuatu yang mencabar, terutama kepada orang muda dan mualaf yang berpuasa untuk kali pertama," katanya.

Berpuasa dengan berkesan

Berpuasa di bulan Ramadan adalah kewajipan untuk semua Muslim dewasa, kanak-kanak pula hanya mula berpuasa ketika mereka mencapai usia akil baligh.

"Bagi orang yang sudah biasa berpuasa selama bertahun-tahun, beberapa hari pertama tetap merupakan tempoh penyesuaian kerana badan menyesuaikan diri dengan jadual pemakanan yang berbeza.

"Untuk mereka yang baharu mula berpuasa, ingatlah yang badan kita cepat menyesuaikan diri," ujarnya.

Ia sama seperti ketika seseorang mula bersenam yang menyebabkan otot terasa sakit sebelum menjadi lebih kuat.

Penting sekali ibadah itu tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

Oleh itu, atas sebab kesihatan, wanita sedang haid, hamil atau menyusukan bayi, pesakit kronik dan warga emas dikecualikan daripada berpuasa.

Sebagai ganti, golongan berkenaan dianjurkan untuk melakukan amal kebajikan.

Walaupun begitu, ramai orang Islam tetap memilih untuk memenuhi kewajipan tersebut.

Justeru, Nur Adila berkata, mereka hendaklah mengikuti nasihat doktor jika masih mahu berpuasa.

"Bagi penghidap diabetes, mereka hendaklah berbincanglah dengan doktor untuk mengetahui cara terbaik menguruskan pengambilan ubat dan makanan.

"Ia bagi mengelakkan paras gula dalam darah menjadi terlalu tinggi atau terlalu rendah," katanya.

Jelas beliau, dalam kalangan pesakit diabetes, kencing yang kerap adalah petanda gula darah yang tinggi, manakala peluh sejuk atau pening-pening merupakan gejala gula darah yang rendah.

Sekiranya rendah, pesakit dinasihatkan untuk segera berbuka puasa kerana dalam kes yang melampau, keadaan begitu boleh menyebabkan koma diabetik.

 

Sementara itu, katanya, individu yang menghidap gastrik perlu mengelak daripada mengambil makanan yang biasanya boleh menjadi pencetus kepada keadaan itu.

Antaranya seperti makanan tinggi lemak, pedas, berlada, jus sitrus, minuman bergas dan kafein.

"Namun begitu, setiap individu mempunyai reaksi berbeza terhadap makanan berbeza.

"Jadi, sebaiknya rujuklah doktor anda sebelum mengambil sesetengah makanan,"ujarnya.

Pengamal perubatan boleh menasihati  berdasarkan tahap keterukan keadaan dan kawalan pesakit.

Baca juga: Fungsi sistem pencernaan terganggu. Pakar ini kongsi penyakit sering timbul ketika puasa

Baca juga: Kalau berpuasa sebab tak mahu ganti puasa, betulkan niat itu. Ini bahana yang mungkin menimpa

Baca juga: Kurma kaya nutriens. Awas! Jangan ambil bersama mentega atau coklat. Ada mudaratnya

Pertama kali berpuasa

Bagi membantu memudahkan anak-anak menikmati pengalaman berpuasa pula, Nur Adila menyarankan ibu bapa memperkenalkan puasa secara beransur-ansur sebelum mereka mencapai usia dewasa.

"Untuk menyiapkan si kecil menghadapi masa hadapan apabila sudah diwajibkan berpuasa penuh, ibu bapa boleh mulakan dengan menggalakkan anak-anak berpuasa setengah hari atau berpuasa makan tetapi membenarkan minum.

"Akhir sekali, pastikan anda meraikan pencapaian mereka supaya mereka terus bermotivasi," kata beliau.

Seterusnya, bagi golongan mualaf, Nur Adila menambah, penting untuk diingatkan bahawa berpuasa pada bulan Ramadan melibatkan lebih daripada menahan diri daripada lapar dan dahaga.

Seseorang perlu berdisiplin menahan diri daripada mengikut kemahuan diri.

Usaha itu secara kolektifnya bertujuan untuk mengukuhkan hubungan rohani dengan Tuhan.

Justeru, Nur Adila menyarankan mereka agar cuba berlatih berpuasa sebelum Ramadan iaitu pada bulan Rejab dan Syaaban sebagai salah satu cara untuk mengamalkan disiplin diri.

Mengulas lanjut, ujar pakar tersebut, semasa bulan Ramadan, adalah penting untuk menguruskan pengambilan makanan dengan baik dan melakukan pertimbangan teliti bagi memastikan nutrien dan tenaga mencukupi untuk berpuasa sepanjang hari.

Sebagai contoh, pilihan baik untuk sahur termasuklah:

  1. Makanan tinggi serat dan karbohidrat kompleks seperti nasi dari beras basmati, bijirin gandum penuh dan oat yang direndam semalaman.
  2. Lemak sihat seperti kekacang, bijian dan minyak yang baik.
  3. Protein seperti telur, daging tanpa lemak, lentil, legum, susu dan yogurt.
  4. Sayur-sayuran dan buah-buahan yang tinggi kandungan air seperti tembikai, timun dan nanas.

Kata beliau lagi, makanan sedemikian mengandungi kandungan serat tinggi, kaya dengan protein dan mengambil masa yang lebih lama untuk dicernakan.

Oleh itu, seseorang akan berasa kenyang lebih lama dan ini akan memberikan tenaga berterusan, sementara buah-buahan membantu penghidratan, terang Nur Adila.

Beliau turut menasihati supaya mengambil makanan dan minuman berikut secara minimum:

  1. Minuman berkafein seperti teh dan kopi yang menyumbang kepada dehidrasi.
  2. Makanan tinggi kandungan sodium yang akan menyebabkan rasa dahaga.
  3. Makanan bergula tinggi yang mengakibatkan peningkatan mendadak gula dalam darah dan diikuti dengan merosotnya tenaga.

Pada penghujung hari ketika tiba waktu untuk berbuka puasa, beliau menyarankan supaya mengambil makanan ringkas terlebih dahulu iaitu hidangan yang mudah dihadam, bukannya banyak makan menu berat yang boleh membebankan sistem pencernaan.

Pilihan terbaik adalah air, kurma dan makanan ringan seperti bubur lambuk, agar-agar, puding dan buah-buahan yang menghidratkan badan.

Kesimpulannya, Nur Adila menganjurkan hidangan lengkap dengan adanya protein, bijirin, buah-buahan, sayur dan lemak sihat yang mencukupi untuk memberi nutrien penting kepada tubuh badan.

"Melalui pemilihan pemakanan bijak, setiap individu dapat meningkatkan pengalaman berpuasa, menerima manfaat dan keberkatannya secara lebih menyeluruh," katanya.

 

#koresponden

Pendedahan awal sebelum latih anak berpuasa

MELATIH anak kecil berpuasa bukan suatu yang mudah.

Pendedahan tentang makna puasa dan kewajipan amalan tersebut bagi setiap Muslim perlu diterapkan lebih awal bagi menyiapkan si manja sebelum mula berpuasa.

Itu perkara pertama yang diterapkan Nur Zulraihan Zulkafli sebelum beliau melatih anaknya berpuasa setiap kali tibanya Ramadan.

“Apabila anak memahami tentang tuntutan rukun Islam ketiga itu, mereka tidak rasa susah untuk menahan lapar dan dahaga sepanjang hari.

“Malah, anak-anak teruja untuk berpuasa pada setiap tahun,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata lelaki yang masing-masing berusia 10 dan 7 tahun.

Ujar usahawan dan pempengaruh TikTok tersebut, beliau awalnya melatih zuriatnya berpuasa secara berperingkat.

Mereka akan berpuasa selama separuh hari dahulu sebelum mula berpuasa penuh.

Nur Zulraihan juga akan benarkan anak-anaknya berbuka jika tidak mampu.

“Sekarang ini musim panas, jadi atas nasihat doktor, saya tidak paksa anak kedua berpuasa di sekolah kerana bimbang terkena strok haba,” tambahnya sambil memberitahu anaknya itu sudah mula melaksanakan ibadah tersebut sejak usia empat tahun.

Ujar wanita berusia 35 tahun itu, beliau juga akan memasak makanan kegemaran anak-anaknya semasa bersahur setiap hari.

Dengan itu, si kecil kesayangannya akan lebih berselera untuk makan.

Begitu juga dengan waktu berbuka, beliau akan pastikan anaknya mengambil makanan yang berkhasiat dan minum banyak air.

“Untuk mengelakkan alami dehidrasi, saya akan pastikan mereka minum setengah liter air sebelum tidur.

“Saya juga memberi anak-anak makan buah-buahan termasuk kurma supaya dapat membekalkan tenaga untuk terus berpuasa,” tutur Nur Zulraihan.

Beritahu wanita yang kini menetap di Balakong, Selangor itu, anak-anaknya juga akan tidur awal sekitar pukul 9 malam setiap hari bagi memudahkan mereka bangun  sahur.

Tambah anak kedua daripada empat adik-beradik itu, beliau tidak pernah menjanjikan apa-apa habuan sekiranya anaknya berpuasa penuh.

“Ada ibu bapa yang memberikan galakan kepada anak dengan menawarkan duit raya atau bawa bercuti jika puasa penuh sebulan.

“Pun begitu, saya memilih untuk memberi pendedahan supaya anak tahu mereka berpuasa kerana ALLAH dan bukan untuk mendapatkan habuan yang dijanjikan,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca