SETIAP kali menjelang Ramadan, kurma sering menjadi juadah ‘wajib’ bagi umat Islam untuk berbuka dan bersahur.

Menurut Healthline, kurma adalah buah daripada pokok tamar yang banyak ditanam di kawasan tropika di seluruh dunia. Ia boleh diambil segar namun kebanyakan kurma yang dijual di pasaran adalah jenis kering. 

Sinonim dengan bulan puasa, ramai yang mengambil buah tersebut pada waktu sahur sebagai alternatif pengganti kepada makanan berat. 

Pun begitu, apakah yang terkandung dalam kurma? Adakah buah sunah itu baik untuk kesihatan?

Ini respon Pensyarah dan Dietitian, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof. 

“Jawapan ringkasnya, ya. Kurma terkandung banyak khasiat dan nutrien sehingga disebut sebanyak 22 kali dalam al-Quran,” katanya. 

Buah tamar kaya dengan karbohidrat yang membekalkan tenaga kepada tubuh.

Uniknya, walaupun glukosa dan sukrosa di dalam buah itu bersifat segera, nilai indeks glisemiknya adalah sederhana ke rendah menjadikan aras glukos darah tidak naik dan turun dengan mendadak.

 “Ia menstabilkan gula dalam darah sekali gus mampu memberikan rasa kenyang yang lebih lama berbanding gula ringkas biasa,” katanya. 

Tidak seperti buah-buahan lain, kurma mengandungi serat dan protein dengan asid amino yang hampir lengkap. Selain mempunyai kandungan kadar lemak yang rendah, tamar kering yang manis itu turut mengandungi potasium dan magnesium.

Ia juga membekalkan vitamin seperti vitamin B dan C serta mineral iaitu zat besi. Kata beliau, sesiapa sahaja boleh mengambilnya namun ia tidak digalakkan kepada bayi di bawah usia satu tahun sebagai makanan utama. 

Kurma tinggi nutrien dan jika dibandingkan dengan biskut, roti kosong dan kuih manis, menjadikannya sebagai pengganti yang lebih bagus.

Cukup air

Meneruskan hujah, kata Dr Barakatun Nisak, bagi individu yang sihat dan tidak mengambil sebarang ubat, memakan tiga hingga empat biji kurma semasa bersahur tanpa makanan lain adalah mencukupi. 

Pun begitu, ujarnya, paling penting seseorang perlu memastikan tubuhnya mendapatkan cukup air.

“Ketika bersahur, bukan soal kuantiti makanan yang diambil tetapi kualiti makanan yang dipilih.

 “Hidangan yang hendak dimakan untuk membantu seseorang bertenaga sepanjang hari ketika berpuasa mestilah mengandungi zat yang lengkap dan padat,” jelasnya.

Serat, protein dan karbohidrat yang lambat diserap boleh memberikan rasa kenyang yang lama. 

Justeru, pakar tersebut berkata, memakan dua hingga tiga biji kurma sudah cukup namun menambahnya dengan segelas susu atau minuman bercoklat yang kurang gula adalah lebih baik. 

Bagaimanapun, bagi seseorang yang perlu makan ubat, mereka tidak boleh bersahur semudah itu. Beliau sarankan supaya sahur golongan itu dirancang sebaiknya dan adalah lebih baik berjumpa doktor mendapatkan nasihat sebelum berpuasa. 

“Ramai yang ingin menjalani ibadah walaupun sakit, justeru hidangan sahur hendaklah lebih lengkap supaya tubuh mampu bertahan selama tempoh berpuasa,” tuturnya.

Tambah beliau, walaupun buah berkenaan adalah makanan yang disarankan Rasulullah SAW, ia tidak boleh diambil secara berlebihan. 

“Pesakit buah pinggang tahap akhir atau mereka yang sedang menjalani dialisis perlu berbincang dengan doktor dan dietitian terlebih dahulu sebelum memakan tamar. 

“Hal ini kerana aras potasium dalam darah pesakit lazimnya tinggi dan mengambil buah yang tinggi kandungan nutrien itu boleh membahayakan kesihatan.

Menyentuh sama ada kurma boleh diambil oleh penghidap kencing manis, Dr Barakatun Nisak berkata, mereka boleh makan buah berkenaan namun dalam jumlah yang disarankan. 

“Gula ringkas dalam tamar yang lambat diserap dan indeks glisemik kurma yang rendah tidak akan menaikkan aras gula secara mendadak.

 “Jadi bagi pesakit diabetes, mereka tidak boleh makan sebanyaknya. Ambil sebiji buah kurma bersaiz sederhana atau tiga biji saiz kecil sudah memadai,” katanya.

Kata pakar dalam bidang dietetik itu, jumlah tersebut bersamaan dengan segenggam nasi atau sekeping roti. 

Oleh yang demikian, pesakit tidak disarankan mengambil kuih atau buah manis lain kerana tamar turut digolongkan dalam kategori buah-buah. 

Meningkatkan kesuburan

Tidak terhad sekadar itu, nutrien yang tinggi dalam kurma juga bagus untuk kesuburan. 

Ujar Dr Barakatun Nisak, ada penerbitan yang mencadangkan penggunaan debunga pokok kurma mengandungi hormon seks iaitu astrogen dan sterol yang mana ia boleh menggalakkan kesuburan.

baca juga: Waspada ambil kurma campur butter, boleh undang mudarat kepada kesihatan

baca juga: Berkhasiat untuk otak, gigi & usus, kurma buah terbaik ibu boleh ajar anak makan

Iklan

Sementara itu, SinarPlus turut menemubual Pakar Klinikal Perubatan Keluarga dan Pensyarah Kanan, International Medical School, Management and Science University (MSU), Dr Haslina Mukhtar Aajamer. Ujar beliau, nutrien dalam kurma penting untuk proses kesihatan dan kesuburan manusia. Ia turut dibuktikan melalui beberapa kajian.

 “Kandungan antioksidan dalam kurma membantu mengoptimumkan paras hormon dan meningkatkan kualiti sperma kepada golongan lelaki.

 “Pada kaum Hawa pula, buah tersebut membantu menyihatkan ovum, mengimbangi hormon dan menguatkan kandungan ibu hamil,” ujarnya.

Menyambung hujah, kata beliau, faktor pemakanan mempengaruhi kesuburan lelaki dan wanita tetapi ia turut bergantung kepada parameter lain.

Pakar itu memberitahu selain genetik, faktor berat badan, tabiat merokok, tidur yang mencukupi dan pengurusan tekanan turut memainkan peranan.

“Antara nutrien yang diperlukan untuk membantu proses kesuburan lelaki dan wanita adalah zinc, selenium, asid lemak omega 3, vitamin E dan beta karoten. 

“Kesemua nutrien ini boleh didapati dalam buah kurma,” jelas beliau.

Tambah Dr Haslina, rejim pemakanan yang baik untuk kesuburan adalah diet yang kaya sumber makanan semula jadi terutamanya protein dan lemak sihat. “Seseorang juga perlu mengambil buah-buahan, sayur-sayuran dan karbohidrat kompleks.

 “Paling penting, elakkan makanan proses dan ringkas yang terbukti tidak baik untuk kesihatan,” katanya. 

Berkenaan dengan cara pengambilan terbaik untuk makan buah kurma, Dr Barakatun Nisak kembali menyatakan pendapatnya. 

Iklan

Katanya, ia sebaiknya diambil dalam bentuk kurma asal. 

“Sekiranya ada pertambahan asing seperti mentega atau coklat, ia akan mencairkan zat dan menambah kandungan kalori yang diperlukan,” tegas beliau.

Dalam pada itu, pakar tersebut turut berkongsi kesan sampingan untuk pengambilan tamar secara berlebihan. Antaranya: 

Pesakit diabetes akan mengalami kenaikan aras gula dalam darah. 

Mereka yang ingin mengawal berat badan akan menyebabkan kalori terlalu tinggi apabila makanan lain diambil seperti biasa. 

Penghidap buah pinggang kronik dan sedang menjalani terapi gantian dialisis pula akan berdepan aras potasium yang meningkat mendadak.

Justeru, Dr Barakatun Nisak menasihatkan orang ramai supaya makan buah tersebut secara bersederhana.

“Apa juga makanan yang diambil secara berlebihan akan memudaratkan kesihatan,” katanya mengakhiri perbualan.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!