PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) Mobile tidak lagi perlu diperkenalkan, malah judul berkenaan dianggap paling berjaya untuk platform mudah alih permainan video online.

Terbaharu, PUBG Mobile World League (PMWL) Season Zero, sebuah program e-sukan global PUBG Mobile yang baru diperkenalkan telah rasminya bermula 10 Julai 2020 lalu.

Akibat daripada penularan pandemik di seluruh dunia, PMWL telah diubah kepada format dalam talian dengan 20 pasukan menyertai Liga Timur Dunia dan 20 pasukan lagi menyertai Liga Barat Dunia.

Disokong oleh Mountain Dew sebagai minuman rasmi kejohanan, PMWL Season Zero bakal menyaksikan semua pasukan bertanding bagi merebut hadiah keseluruhan yang berjumlah AS$850,000 (RM3.63 juta).

Dalam satu kenyataan, PUBG Mobile memaklumkan, Liga Timur PUBG Mobile World League (PMWL) Season Zero bermula pada jam 8:00 malam waktu Malaysia, manakala Liga Barat pula dijadual bermula jam 2:00 pagi waktu Malaysia,  10 Julai 2020.

Untuk pengetahuan korang, Ia juga disiarkan secara langsung dalam 13 bahasa dalam saluran YouTube PUBG Mobile Esports.

Selepas Minggu Pembukaan PMWL Season Zero pada 10 hingga 12 Julai, pasukan-pasukan berkenaan akan dibahagikan kepada lima kumpulan yang terdiri daripada empat pasukan bagi setiap kumpulan.

Kumpul berkenaan akan bertanding sesama sendiri pada setiap Selasa dan Rabu, selama tiga minggu.

Sebanyak 16 kumpulan terbaik yang muncul dalam tempoh tiga minggu tersebut akan mara ke perlawanan Super Weekend yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 Julai 2020.

 

Iklan

Pada peringkat ini, pasukan-pasukan akan bertanding bagi mendapatkan World League Points dan merebut hadiah wang tunai.

Format ini akan berterusan selama tiga minggu lagi bagi Perlawanan Liga Timur dan Barat.

Sejumlah 16 pasukan terbaik dari setiap liga, yang akan ditentukan berdasarkan World League Points yang berjaya diperoleh semasa Super Weekend, akan mara ke peringkat Akhir PUBG Mobile World League pada 7 hingga 9 Ogos 2020, yang masing-masing akan diadakan untuk Timur dan Barat bagi menentukan siapakah yang layak untuk dinobatkan sebagai pasukan terbaik daripada setiap liga.

Iklan

PUBG Mobile adalah permainan video mudah alih yang berasaskan Player Unknown Battlegrounds (PUBG), satu fenomena ‘battle royale’ sejati yang menggemparkan dunia hiburan interaktif sejak 2017.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai berita e-Sukan PUBG Mobile yang akan datang, sila saksikannya di dalam laman Facebook rasmi PUBG Mobile.

Jadi, siapa bakal dinobatkan sebagai juara? Sama-sama kita nantikan.