Punca rasa berdebar, pening selepas ambil pil kurus
KEPADA mereka yang pernah atau sedang mengambil pil bagi menurunkan berat badan atau pil kurus, pasti akan berasakan simptom-simptom tertentu.
Tekanan darah menjadi tidak stabil, sakit kepala, jantung berdebar antara penangan ubat berkenaan.
Sekiranya sudah berhenti makan pil itu pula, kesan ubat tersebut masih ada.
Bagaimana hendak hilangkan kesan-kesan yang dirasakan itu. Tambah pula jika tidak tahan jantung selalu berdebar?
Mengulas persoalan itu, pengamal perubatan yang juga Penasihat Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad berkata, kebanyakan ubat kurus mengandungi bahan terlarang sibuteramine.
Itulah yang menyebabkan seseorang yang mengambil ubat ini tidak berasa lapar, kata beliau.
"Pengambilan ubat kurus ini harus mendapat pemantauan dari doktor. Jika mahu dibeli dari farmasi, haruslah mendapat preskripsi," katanya ketika menjawab persoalan berkaitan di Facebook beliau.
Pantauan pakar harus diambilkira sebelum mengambil ubat kurus kerana ubat-ubat kurus ini boleh memberikan kesan sampingan yang teruk seperti:
1. Mengalami rasa risau yang keterlaluan
2. Sukar untuk tidur sehingga boleh berjaga beberapa hari. Jika tidur pun hanya beberapa jam saja.
3. Rasa pening yang kuat
4. Mulut dan tekak terlalu kering
5. Mudah merasa marah dan membenci, termasuk anak-anak dan suami
6. Rasa sakit kepala yang teruk seperti migraine
7. Rasa sembelit dan kadang-kala cirit berit
8. Rasa berdebar-debar seperti baru berlari
Kesan sampingan ini pula adakalanya hilang apabila seseorang itu tidak lagi menggunakan ubat tersebut.
Namun begitu, menurutnya ada yang masih mengalaminya walaupun telah menghentikannya sejak beberapa hari atau beberapa minggu.
Malangnya, tidak ada ubat yang dapat menghilangkan kesan sampingan itu.
Apa yang boleh dilakukan ialah dengan menunggu sehingga kesemua bahan tersebut keluar dari tubuh melalui sistem perkumuhan tubuh seperti air kencing, najis atau air peluh.
Untuk itu Dr Zubaidi menasihatkan mereka mengalami masalah seumpamanya agar mendapat pemeriksaan doktor bagi mengelakkan kesan sampingan itu semakin teruk.
Bantuan doktor
Buat mereka yang terkesan, doktor akan membantu bagi memastikan seseorang itu tidak mengalami kemudaratan akibat jantung yang berdebar-debar teruk, tidak boleh tidur dengan lena berhari-hari, membantu mengawal rasa marah, serta mengurangkan rasa pening dan sakit kepala.
"Doktor akan memeriksa darah bagi menganalisa fungsi organ hati dan ginjal, kerana sibuteramine ini boleh menyebabkan kerosakan pada organ hati dan ketidakseimbangan eletrolite dalam tubuh.
Mereka berkenaan boleh mengambil air secukupnya 2L sehari bagi meningkatkan sistem perkumuhan puan. Dengan ini dapat mempercepatkan pembuangan baki bahan sibuteramine yang masih tertinggal dalam tubuh. Cuma mungkin akan merasa cepat berpeluh dan kerap buang air kecil kerana minum banyak air.
Selain itu elakkan minum minuman berkafein seperti kopi dan teh, merokok (jika puan perokok), mengambil ubat selsema dan makan makanan pedas.
Semoga bermanfaat!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang