“KROHHH… krohhhh….” dengar orang sebelah berdengkur. Bagi sesetengah kita, ada yang hanya ‘pejam sebelah mata’ mendengarnya kerana merasakan ia perkara biasa.

Ramai juga yang ingat ‘bunyi raksasa’ itu kononnya tanda tidur yang lena, hingga tidak perlu diganggu, malahan situasi tersebut dibiarkan sahaja.

Bagaimanapun, ketahuilah wahai pembaca SinarPlus… terlebih dengkur adalah sesuatu yang tidak normal!

Tidur berdengkur yang keterlaluan sememangnya tanda kepada masalah Obstructive Sleep Apnoea (OSA). Begitupun, ada kaedah untuk membantu mengurangkan masalah itu.

Pakar Perunding Perubatan & Paru-paru, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa berkongsi, bagaimanapun antara jalan penyelesaian kepada masalah tersebut adalah mengaplikasikan teknik bola tenis.

“Teknik tersebut dilakukan dengan meletakkan bola tenis di bahagian belakang baju tidur pesakit.

“Jadi, setiap kali posisi badan menjadi menelentang, bola tenis tersebut akan menyebabkan tubuh menjadi tidak selesa dan secara automatik tubuh kita akan kembali kepada posisi mengiring. Tidak kisahlah sama ada ke kanan atau ke kiri,” jelas Dr Nurul Yaqeen kepada SinarPlus baru-baru ini.

Tidak perlu gusar, teknik tersebut boleh dilakukan dengan sendiri atau membeli secara online baju T yang boleh diletakkan bola tenis.

Ketahuilah rawatan berkenaan sememangnya boleh menggalakkan pesakit untuk tidur mengiring kerana tidur secara menelentang boleh menyebabkan apnea menjadi lebih teruk.

Iklan

“Namun begitu, tidak semua penyakit tidur berdengkur memerlukan rawatan mesin terapi tekanan saluran udara positif berterusan (CPAP). Ada penyakit tidur berdengkur yang tidak memerlukannya dan boleh dirawat dengan kaedah lain. Berbincanglah dengan doktor pakar paru-paru berkenaan masalah tidur berdengkur,” ujarnya.

Pada masa yang sama, katanya, masalah itu juga dapat diatasi dengan mengelak pengambilan alkohol dan ubat-ubatan seperti pil tidur, ubat penenang yang boleh memperlahankan kadar pernafasan selain menjaga diet serta bersenam dan cuba dapatkan berat badan unggul.

Jadi, buat orang ramai, jika berhadapan masalah tidur berdengkur yang melampau bolehlah cuba teknik bola tenis ini ya. Moga bermanfaat!

Iklan

ANEKDOT

Tahap keterukan penyakit OSA:

  • Ia bergantung kepada kekerapan gangguan pernafasan dan boleh ditentukan dengan mengadakan ujian tidur “Sleep Study” (Polysomnography).
  • Anggaran di bawah boleh digunakan sebagai panduan:
  1. Normal- kurang daripada lima dalam setiap jam
  2. Ringan- 5 ke 14 gangguan pernafasan dalam setiap jam
  3. Sederhana- 15 ke 30 gangguan pernafasan dalam setiap jam
  4. Teruk- lebih 30 gangguan pernafasan dalam setiap jam

Sumber: myhealth.gov.my