KETIKA  kecil dulu, setiap kali dimaklumkan akan pulang ke kampung, Nurul Faizaa Sabani, 41, pasti melonjak keriangan.

Gembiranya bukan kepalang kerana dapat bertemu nenek kesayangannya, Hamidah Ahmad di Kampung Sri Gading, Batu Pahat, Johor.

“Saya antara cucu yang teruja apabila dapat pulang ke kampung. Masakan tidak, di kampung kami sekeluarga berpeluang menikmati pelbagai lauk-pauk air tangan arwah nenek.

“Keseronokan itu semakin berganda tatkala disajikan pula menu kegemaran iaitu botok-botok ikan tenggiri yang dinikmati bersama nasi panas. Itupun sudah memadai,” jelas Nurul Faizaa yang mula meminati botok-botok ikan tenggiri seawal usia 11 tahun.

Botok-botok merupakan sajian tradisional masyarakat Jawa berasaskan ikan segar dicampur dengan pelbagai ulam dan rempah-ratus.

botok-botok ulam
NURUL Faizaa (gambar kecil) yang gemar menikmati botok-botok seawal usia 11 tahun kini mengusahakan bisnes makanan tersebut menggunakan resipi warisan arwah neneknya.

Makanan yang dibalut menggunakan helaian daun pisang itu akan dikukus dalam tempoh satu jam.

Botok-botok dan pais ikan adalah dua menu berbeza. Botok-botok yang mengandungi ulam, ikan dan pelbagai rempah dikukus manakala pais ikan dibakar.

Bicara ibu kepada empat cahaya mata berkenaan, secara tradisinya, botok-botok menggunakan tujuh jenis daun ulam, namun beliau pula sebaliknya.

Bagi membangkitkan aroma dan rasa yang menyelerakan, Nurul Faizaa menggabungkan 12 jenis ulam kampung.

botok botok ulam
SELEPAS menuang rempah yang ditumis di atas ikan tenggiri dan ulaman-ulaman, botok-botok akan dikukus selama sejam.

Antaranya seperti daun kaduk, ulam raja, daun mengkudu, tenggek burung, daun putat, bebuas, pucuk gajus, kemangi, selasih, pucuk ubi, daun kunyit dan daun kesum.

“Ketika masih kanak-kanak, saya selalu mengikut nenek mencari ulam dan pucuk daun untuk membuat botok-botok. Kami akan meronda keliling rumah memetik daun pegaga, daun kesum dan kangkung kampung.

“Selesai memetik ulam, saya membantu membersihkan ulam-ulaman, sementelah nenek pula memasak rempah yang terdiri daripada santan, kerisik, cili kisar, gula merah dan asam jawa,” katanya yang kini mengusahakan bisnes botok-botok menggunakan resipi arwah nenek secara dalam talian @nexzeal_kitchen.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, keistimewaan botok-botok terletak pada khasiatnya yang tersendiri.

Beliau menyifatkan, jika sejenis ulam boleh membantu menyihatkan badan, maka lebih tinggi manfaatnya apabila menikmati 12 jenis ulam dalam satu hidangan.

botok botok ulam
SELEPAS rempah yang ditumis dituangkan di atas ikan dan ulam-ulaman maka botok-botok akan diikat lalu dikukus selama sejam.

“Tidak keterlaluan saya mengatakan botok-botok adalah makanan sihat kerana ulam-ulaman membekalkan sumber vitamin manakala ikan tenggiri kaya dengan protein. Ia juga sesuai diamalkan wanita ketika berpantang selepas bersalin termasuk mereka yang ingin menjaga penampilan diri baik luar mahupun dalaman.

“Selain membuang angin, ulam-ulaman pilihan ini membantu melancarkan peredaran darah, meredakan tubuh badan yang lenguh dan menambah susu ibu,” tutur Nurul Faizaa yang lebih cenderung memilih ikan tenggiri berbanding ikan lain.

ikan tenggiri
IKAN tenggiri segar menjadi pilihan utama hidangan botok-botok keluaran @nexzeal_kitchen.

Beliau memberitahu ikan tersebut tidak mempunyai tulang halus dan sesuai dimakan oleh semua peringkat umur khususnya kanak-kanak.

Tambahan pula, isinya yang tebal membuatkan perut cepat kenyang.

Iklan

RESIPI BOTOK-BOTOK IKAN TENGGIRI

Bahan-bahan A (ulam – ulaman)
– 5 helai pucuk ubi
– 2 helai daun kaduk
– 2 helai ulam raja
– 2 helai daun mengkudu
– 3 helai tenggek burung
– 3 helai daun putat
– 3 helai daun bebuas
– 2 helai pucuk gajus
– 5 helai daun kemangi
– 5 helai daun selasih
– hirisan daun kunyit
– hirisan daun kesum

Bahan-bahan B (dikisar)
– 3 biji bawang besar
– 3 biji bawang putih
– 1 inci halia
– 1 inci kunyit
– Cili kering

Bahan- bahan C
– 1 inci lengkuas (diketuk)
– Kerisik
– Kari Ikan
– Santan
– Asam jawa
– Gula melaka
– Garam

Cara penyediaan:
1. Tumis semua bahan dikisar sehingga pecah minyak.
2. Kemudian, masukkan kari ikan, kerisik dan santan lalu gaul sebati.
3. Asingkan bahan-bahan yang ditumis.

Iklan

Cara membungkus:
1. Alaskan dengan daun pisang.
2. Letakkan ulam-ulaman yang sudah dibersihkan.
3. Kemudian, letakkan ikan tenggiri dan tuang rempah yang ditumis sebentar tadi.
4. Bungkus botok-botok dengan kemas.
5. Kukus botok botok sejam.
6. Siap untuk dihidangkan bersama nasi putih.

Sumber: @nexzeal_kitchen