KALAU bulan Ramadan popia antara menu pilihan utama untuk berbuka puasa. Sedap, rangup dan yang pasti pedas-pedas sedikit menambahkan lagi kelazatannya.

Bagi yang nak mencuba untuk buat, anda bolehlah gunakan resipi ini.

Bahan-bahan untuk buat inti popia goreng inti sayur:

  • 1 paket kulit popia
  • 1 batang timun sederhana besar
  • 1 batang lobak merah sederhana besar
  • 1 biji sengkuang cina
  • Satu genggam udang kering
  • 3 biji bawang merah
  • 2 biji bawang putih
  • 2 biji telur
  • Minyak untuk menumis

Cara buat inti popia goreng inti sayur:

1)Sagat timun, lobak merah dan sengkuang

2)Kisar atau tumbuk bawang merah, bawang putih dan udang kering.

3)Kemudian, panaskan minyak dan masukkan bahan yang ditumbuk atau kisar tadi. Lagi sedap kalau tumbuk sebab rasa bawang itu lebih asli bila kita masukkan dalam minyak.

4)Kalau dah naik bau bawang yang ditumis, masukkan segala sayur yang disagat tadi. Kalau nak inti yang rangup bila kita makan, tak perlu goreng lama-lama.

5)Masukkan gula, garam dan perasa.

6)Pecahkan telur dan gaul sebentar. Tutup api.

7)Letak inti sayur yang sudah siap digoreng tadi dalam bekas bertapis supaya air lebihan dalam inti sayur tadi dapat ditoskan. Senanglah nanti anda nak gulung popia, kalau tak toskan inti sayur ni, jadi lembiklah popia anda tu dan tak jadi rangup.

8)Gulung popia anda sehingga siap satu paket.

9)Lekatkan kulit popia dengan air masak atau putih telur supaya tak terbuka masa anda goreng nanti.

Bahan-bahan untuk buat sos cicah popia goreng:

Iklan
  • 2-3 ulas bawang putih
  • 2 biji tomato (dikisar)
  • 1 sudu besar cili kering kisar
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara menyediakan sos cicah popia goreng:

1)Tumbuk kasar bawang putih.

2)Panaskan minyak dan tumis bawang putih sehingga naik bau.

3)Masukkan 1 sudu besar cili kisar ke dalam kuali. Kacau dan tunggu sehingga pecah minyak.

Iklan

4)Masukkan tomato yang sudah dikisar ke dalam kuali. Kacau rata.

5)Masukkan garam dan gula secukupnya. Tunggu sehingga tomato masak dan sebati.

Senang kan? Boleh siap dihidang untuk berbuka nanti. Selamat mencuba resipi popia goreng inti sayur yang rangup dan sedap!

PENULIS: NURUL ADRIANA
FOTO: FACEBOOK