'Kritik boleh tapi fitnah perlu dielakkan' - Dilabel penunggang agama & tiada tauliah, PU Riz tuntut ganti rugi RM1 juta, permohonan maaf
PENDAKWAH selebriti, Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun laman sosial Threads susulan beberapa hantaran yang didakwa mengandungi tuduhan tidak berasas terhadap dirinya.
Menerusi satu sidang media, PU Riz memaklumkan antara dakwaan yang dibangkitkan termasuk dirinya tidak memiliki tauliah untuk mengajar agama selain dilabel sebagai penunggang agama.
"Dakwaan bahawa saya tidak mempunyai tauliah, itu teruk. Saya ada tauliah, saya telah mempunyai tauliah ini pada tahun 2020. Ia memang tauliah mengajar agama.
"Kedua, berhubung dengan kelayakan pendidikan yang dipersoalkan, ada juga yang tulis macam-macam.
"Saya memang ada. Pertamanya saya belajar di USA dan kemudian balik, buat ijazah di UIA. Dan Alhamdulillah minggu lepas saya baru habis sarjana pengajian Islam daripada OUM.
"Maknanya tidak lagi ada persoalan tentang kelayakan pendidikan dan juga tauliah negeri. Saya memang mempunyai dan memilikinya. Bahkan saya rasa benda itu boleh diakses di mana-mana platform-platform yang telah mengeluarkan keizinan itu.
"Kalau di universiti kelayakan pendidikan, kalau untuk berceramah atas kapasiti tauliah boleh search di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan," ujarnya.

Dalam pada itu, PU Riz juga mendedahkan acara di Johor Bahru baru-baru ini dibatalkan atas faktor kesihatan dan juga beberapa yang lain.
"Ada yang boleh dipercakapkan, ada yang tidak boleh. Saya mohon maaf atas kesulitan yang timbul.
"Seterusnya, ada sedikit punca masalah tentang pengetahuan umum. Acara di Johor itu bukanlah acara agama, tetapi ia adalah meet and greet session. Jadi yang diuar-uarkan adalah yang sebaliknya.
"Bahkan gambar tersebar itu tidak seiring dengan penceritaan yang disampaikan kepada umum.
"Sekali lagi saya tekankan, dua acara berbeza tetapi yang diviralkan itu adalah perkara yang tidak sama dan tidak sepatutnya," kongsinya,
Mengulas lanjut, PU Riz berkata, tindakan undang-undang diambil selepas mendapati dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya sudah melampaui batas, terutama apabila membabitkan reputasi dan maruah.
"Saya sudah mulakan tindakan sebab saya rasa apa yang disebutkan itu terlalu melampau. Ada wartawan yang telah datang, tetapi saya tak jawab lagi. Saya tunggu hari ini.
"Tindakan melalui peguam sudah bermula dan LOD sudah disampaikan dan sebagainya. Saya serahkan kepada peguam untuk beri jawapan dan juga perincian pada hal ini.
"Saya okay orang tak suka pun tak ada masalah, cuma jika orang kata tidak berkelayakan apatah lagi maruah
"Kalau orang mengajar dan dikatakan tiada tauliah, itu ajaran sesat dan boleh jatuh kepada benda-benda yang lain.
"Jadi, inilah tujuan kita adakan sidang media hari ini untuk menyampaikan yang benar. Saya rasa itu sahajalah. Kritik boleh, tetapi fitnah kita perlu elakkan," jelasnya.
TUNTUT GANTI RUGI RM1 JUTA

Sementara itu, peguam yang mewakili PU Riz, Faizal Rahman berkata, pihaknya sudah mengemukakan lima tuntutan kepada pemilik akaun Threads berkenaan, termasuk pampasan ganti rugi berjumlah RM1 juta.
Memetik Harian Metro, lima tuntutan dikemukan kepada pemilik akaun Threads berkenaan dengan pampasan ganti rugi bernilai RM1 juta atas kerosakan reputasi serta fitnah berpanjangan terhadap anak guamnya.
Menurut Faizal, tindakan diambil selepas mendapati jumlah tontonan hantaran berkenaan meningkat dengan mendadak dalam tempoh singkat.
"Dalam tempoh 48 jam sebab masa PU Riz ini datang kepada saya, capaian view itu baharu dua juta. Dalam tempoh tak sampai satu minggu, dah sampai 9.2 juta.
"Pergerakan itu sangat laju dan kami dapati ada juga yang dikongsikan di platform media sosial yang lain.
"Pada asalnya kami jangkakan kami nak buat sidang media ini pada minggu depan. Tapi bila kami tengok peningkatan berlaku begitu mendadak, daripada dua juta sampai 9.2 juta, dan saya rasa kami perlu segera," ungkapnya lagi.
Malah hantaran berkenaan dikatakan masih wujud. Difahamkan, pemilik akaun terbabit diberikan tempoh 48 jam untuk menurunkan hantaran berkenaan serta mengemukakan permohonan maaf.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
