MASALAH senggugut atau kesakitan haid bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi kebanyakan wanita tanpa mengira usia selagi sistem reproduktif masih aktif.

Kejang perut, kembung, sakit pinggang dan pelbagai lagi kesakitan adalah antara gejala yang dialami. Tahap kesakitannya juga berbeza.

Tiada siapa yang dapat nafikan, senggugut yang teruk boleh mengganggu kualiti kehidupan seseorang wanita. Malah, menurut pakar obstetrik dan ginekologi, terdapat sesetengah mereka yang perlu mengambil ubat tahan sakit setiap kali haid.

Secara umumnya, kesakitan haid  disebabkan oleh masalah pada sistem peranakan. Paling biasa ialah fibroid pada uterus dan adenomiosis, dua ketumbuhan benigna yang ditemukan pada rahim atau uterus.

Selain pengambilan ubat tahan sakit yang hanya memberi kelegaan sementara, sebenarnya terdapat kaedah rawatan lain yang boleh membebaskan wanita daripada senggugut.

Antaranya seperti miomektomi dan adenomiomektomi iaitu dua prosedur yang melibatkan pembedahan, namun berisiko menyebabkan komplikasi semasa hamil. Selain itu, alternatif yang lebih drastik adalah melalui histerektomi iaitu satu prosedur membuang uterus.

Pun demikian, tidak ramai wanita yang sanggup menjalani prosedur tersebut. Justeru, apa lagi pilihan yang ada?

Rawatan terkini

Baru-baru ini, Mahkota Medical Centre (MMC) melancarkan kaedah rawatan berasaskan ultrabunyi yang pertama di Malaysia yang dikenali sebagai High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU) khusus untuk menangani masalah ginekologi terutamanya adenomiosis dan fibroid.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi MMC, Dr S Selva ketika dihubungi Bernama berkata, HIFU merupakan kaedah rawatan tidak invasif yang menawarkan tempoh pulih lebih singkat, selain tidak menjejaskan kesuburan wanita.

Menurutnya, tidak seperti prosedur lain, pesakit tidak perlu menunggu uterus mereka pulih sepenuhnya sebelum mencuba untuk hamil.

HIFU juga jelas Dr Selva, merupakan penyelesaian terbaik yang dapat mengurangkan impak terhadap kesuburan dan risiko komplikasi yang dihadapi oleh wanita yang menjalani rawatan tipikal bagi fibroid dan adenomiosis.

“Menerusi teknologi HIFU, MMC mengubah landskap rawatan bagi wanita dengan opsyen rawatan tidak invasif dan canggih, namun terbukti memberikan hasil positif secara klinikal, selain mengekalkan tahap kesuburan mereka,“ katanya.

Mengulas lanjut, pakar itu memberitahu, teknologi HIFU menggunakan tenaga bunyi tertumpu untuk memanaskan dan memusnahkan tisu sasaran.

“Ia juga digunakan bagi merawat pelbagai masalah kesihatan seperti batu karang, katarak, gangguan neurologi, nodul tiroid benigna, penyakit prostat, tumor pepejal dan digunakan dalam terapi paliatif.

“Dalam bidang ginekologi, teknologi HIFU boleh digunakan untuk merawat fibroid uterus dan adenomiosis,“ katanya.Cepat sembuh

Menyambung penerangannya, ujar Dr Selva, HIFU menggunakan transduser ultrabunyi berintensiti tinggi yang menumpukan gelombang bunyi di lokasi khusus, meningkatkan suhu setempat tisu daripada 60 kepada 80 darjah Celsius dan menghasilkan nekrosis koagulatif tisu.

“HIFU dijalankan dengan berpandukan sama ada pada Pengimejan Resonans Magnetik (MRgFUS) atau Ultrabunyi (USgHIFU) sebagai modaliti pengimejan bagi menyasarkan rawatan di kawasan fokus pada tisu dan pada masa sama mengelakkan kerosakan tisu-tisu lain.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“Kelebihan utama USgHIFU berbanding MRgFUS adalah kaedah tersebut menawarkan pengimejan pada masa sebenar, sekali gus membolehkan doktor melihat tisu yang berkenaan semasa prosedur dijalankan.

“Kaedah itu juga menggunakan transduser yang lebih besar dan lebih berkuasa, sekali gus memendekkan tempoh serta meningkatkan keberkesanan rawatan,“ jelasnya.

Pada masa sama, USgHIFU turut menawarkan akses lebih baik kepada pesakit, selain memberi fleksibiliti dalam posisi pesakit. Justeru, mereka akan berasa lebih selesa, sementelah kaedah berkenaan juga lebih murah.

Memandangkan HIFU melibatkan  prosedur tidak invasif, pesakit tidak memerlukan anestesia am semasa menjalani proses berkenaan.

Menariknya lagi, rawatan juga tidak meninggalkan kesan parut pada pesakit dan kaedah tersebut mempunyai tempoh pulih yang lebih singkat berbanding miomektomi dan histerektomi.

Iklan

“Rawatan HIFU juga lebih sesuai bagi wanita yang berhasrat untuk hamil kerana prosedur berkenaan tidak menjejaskan otot dan tisu lain pada uterus,“ ujar Dr Selva lagi.

Disebabkan teknologi berkenaan tidak meninggalkan parut yang banyak pada dinding uterus, pengembangan rahim semasa kehamilan dan kontraktiliti ketika proses melahirkan dapat dikekalkan.

Baca juga: Jangan ambil mudah cengkaman senggugut, masalah kebanyakan wanita setiap bulan

Kepada satu soalan, beliau berkata, sesi rawatan HIFU berdasarkan ultrabunyi berlangsung selama satu hingga empat jam. Dalam kebanyakan kes, rawatan boleh dilakukan dalam satu sesi sahaja.

“Pesakit dengan jumlah fibroid yang banyak atau bersaiz besar mungkin memerlukan beberapa sesi. Prosedur ini juga tidak menyebabkan pesakit kehilangan darah, bermakna pemindahan darah tidak perlu,“ jelas beliau.

HIFU juga kata Dr Selva, boleh mengurangkan risiko komplikasi berpotensi yang mungkin berlaku semasa pembedahan membuang adenomioma atau fibroid.

Paling penting, pesakit yang berhasrat untuk hamil tidak perlu menunggu sehingga rahim mereka pulih sepenuhnya sebelum cuba mengandung.

Pesakit juga boleh melakukan  hubungan seks selepas kitaran haid yang seterusnya berakhir, memandangkan beberapa kajian terkini menunjukkan pesakit berjaya hamil dalam tempoh beberapa bulan sahaja selepas menjalani rawatan HIFU, sama ada mengandung secara semula jadi atau dibantu melalui rawatan reproduktif.

Peningkatan permintaan

Iklan

Sementara itu, Operator MMC, HMI Group menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Chin Wei Jia berkata, rawatan tersebut turut ditawarkan di Singapura dan Hong Kong.

“Bagaimanapun, kos rawatan adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. Apabila sempadan antarabangsa dibuka dan pelancongan dibenarkan semula, kami menjangkakan peningkatan permintaan daripada pesakit di seluruh rantau Asia Tenggara untuk mendapatkan rawatan HIFU di MMC.

“Ia pastinya memberikan impak positif ke atas industri pelancongan di Malaysia, merentasi pelbagai sektor seperti hospitaliti dan perkhidmatan.

“Selain itu, sebagai ahli Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), MMC bekerjasama secara aktif dengan MHTC bagi mempromosikan ketersediaan rawatan HIFU dan manfaatnya kepada negara-negara tetangga.

“Ini akan berupaya memacu pertumbuhan industri pelancongan perubatan kita,“ katanya.

Wei Jia menambah, sebagai antara pusat perubatan yang mengutamakan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi, MMC sentiasa berusaha mencari kaedah baharu untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik demi kepentingan pesakit.

“Penawaran perkhidmatan HIFU mendekatkan lagi kami kepada matlamat memberikan hasil rawatan yang lebih baik kepada pesakit.

“Kami juga memastikan sentiasa mengikuti trend terkini dalam industri dengan membawa masuk kemudahan lebih canggih yang menawarkan penjagaan terbaik kepada pelanggan,“ katanya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!