BUKAN semua orang ‘cinta’ kepada durian. Begitupun, bagi penggemar durian, ia dianggap buah paling sedap yang pernah dimakan.

Masakan tidak, durian kan ‘raja’ kepada semua buah…

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis durian dan setiap satu daripadanya mempunyai tekstur warna, saiz dan rasa yang berbeza.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri Ketari, Young Syefura Othman ada memuat naik beberapa gambar durian Musang King di laman Twitternya yang sudah tersedia di dalam bekas.

Pasti ramai terliur kan?

Namun begitu, perlu diketahui fakta memakan durian berkaitan kesihatan dan nikmatnya.

Merujuk drzubaidi.com, durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus dikategorikan sebagai buah tempatan enak dan bernutrisi.

Ramai makan durian kerana rasanya yang manis dan berlemak tanpa mengetahui manfaat dan keburukannya.

“Secara amnya durian mengandungi 65 peratus air, 27 peratus karbohidrat termasuk empat peratus serat, lima peratus lemak dan satu peratus protein.

“Dalam satu cawan 250 gram isi durian (dua atau tiga ulas durian) mempunyai 360 kilokalori (kCal) yang kebanyakannya daripada lemak dan karbohidrat,” tulisnya.

Bagi pesakit diabetes, mereka tidak digalakkan mengambil durian dalam jumlah yang banyak. Ini kerana durian mengandungi karbohidrat iaitu gula dalam bentuk glukosa dan fruktosa yang tinggi.

Iklan

Ia memberikan tenaga yang agak banyak dan menyebabkan tahap gula dalam darah meningkat sekali gus memberi kesan buruk kepada organ tubuh.

“Bagi pesakit ginjal dan jantung pula, pengambilan durian secara berlebihan menyebabkan tahap potasium menjadi tinggi dan mengganggu fungsi ginjal.

Berbeza mereka yang mempunyai darah tinggi, pengambilan durian secara sederhana tidak memudaratkan dan mungkin dapat membantu menurunkan tekanan darah,” tulis Dr Zubaidi.

Iklan

Jadi buat mereka yang mempunyai masalah kronik, Dr Zubaidi turut mengingatkan agar cubalah mengambil pendekatan ‘merasa’ dan bukan ‘makan’ dalam kuantiti yang sederhana.

Paling penting, buat orang ramai, boleh cuba makan durian pada waktu malam dan minumlah air kosong secukupnya bagi mengurangkan rasa panas dalam badan dan mengelak tahap gula terlalu tinggi.

Foto: @youngsyefura