Rumit rupanya buat nasi ulam, guna lebih 15 jenis ulam-ulaman

January 24, 2021
Oleh Farah Eliani

Foto KOLEKSI SUZIETA MOHAMAD NOOR

JIKA pembaca SinarPlus mengandaikan untuk membuat nasi ulam ibarat petik jari sahaja, sangkaan itu meleset sama sekali.

Iklan

Menurut seorang pembikin menu berkenaan, Suzieta Mohamad Noor, 49, atau mesra dipanggil Makcik Netti, meskipun berkebolehan memasak nasi ulam namun beliau jarang sekali melakukannya.

“Bukan apa, sajian ini agak rumit. Untuk mendapatkan kesedapan asli, ia memerlukan lebih daripada 10 jenis ulam-ulaman yang kadangkala sukar untuk diperoleh,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Antara ulam-ulaman tersebut seperti daun selom, daun kaduk, daun selasih, daun kemangi, daun putat, pucuk gajus, daun bebuas dan daun pegaga.

Selain itu, daun kesum, daun kunyit, daun cekur, bunga kantan, daun limau purut, daun mengkudu, daun ulam raja, daun sekentut, daun goncar dan pucuk samak.

Iklan

“Untuk menaikkan aroma dan rasa, bahan-bahan lain seperti lengkuas, serai, kacang panjang dan kacang botol lazimnya saya akan gunakan sekali. Hasilnya, memang sedap,” ujar suri rumah sepenuh masa itu.

Pun demikian, ujar beliau, nasi ulam stail utara air tangannya sebenarnya tidak memerlukan kesemua ulam yang disenaraikan itu.

“Berapa pun jenis ulam-ulaman yang ada, menu itu masih boleh dihasilkan. Namun, selalunya saya akan buat tidak kurang daripada 10 jenis ulam-ulaman yang mudah didapati di sekitar rumah sahaja,” jelasnya yang mempelajari memasak kulinari itu daripada neneknya, Rahmah Abu Seman.

Ujar Makcik Netti, di utara Semenanjung, nasi ulam jarang boleh didapati pada hari-hari biasa kecuali ketika bulan Ramadan sahaja.

Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, nasi ulam ada ditawarkan di kafe-kafe hipster di sekitar Lembah Klang, namun harganya mencecah RM25 hingga RM28 sepinggan.

Makcik Netti berkata, jika bercerita tentang manfaat nasi ulam, ia sangat bagus untuk membantu membuang angin dalam badan dan melancarkan peredaran darah.

Sebelum berundur diri, wanita itu berkongsi tips menghasilkan nasi ulam yang enak.

“Sebaik-baiknya gunakan kerisik kerana aroma dan bau nasi ulam akan lebih ‘terangkat’. Ada juga yang menggunakan kelapa sangai bagi menggantikan kerisik, namun bergantung kepada resipi masing-masing,” tambah beliau.

Bagi pemilihan jenis ikan kering pula, beliau lebih gemar menggunakan ikan kurau masin atau ikan talang masin yang mempunyai isi yang tebal.

Tutur Makcik Netti, nasi ulam stail utara selalunya dimakan bersama sayur keladi pedas.

PROFIL

  • Nama penuh: Suzieta Mohamad Noor.
  • Umur: 49 tahun.
  • Asal: Jitra, Kedah.
  • Menetap: Kuala Kangsar, Perak.

RESIPI NASI ULAM

Bahan-bahan

  • Nasi putih
  • Ulam-ulaman (lagi banyak jenis ulamnya lagi sedap)
  • Sedikit kerisik
  • 7 ulas bawang merah
  • Sesudu kecil lada hitam (ditumbuk)
  • 2 batang serai
  • Lengkuas
  • 7 biji cili merah
  • Secubit garam
  • Ikan kering

Cara penyediaan:

  1. Semua ulam-ulaman dimayang halus.
  2. Bakar ikan kering dan biarkan sejuk seketika sebelum ditumbuk halus.
  3. Sangai(tumis) seketika serai, lengkuas, bawang merah dan cili merah sebelum ditumbuk.
  4. Masukkan nasi ke dalam mangkuk dan gaul bersama serai, lengkuas, bawang merah, cili merah yang telah ditumbuk tadi bersama kerisik dan lada hitam.
  5. Masukkan ulam-ulaman, gaul rata dan akhir sekali masukkan isi ikan kering yang telah ditumbuk.

Sumber: Suzieta Mohamad Noor

ANEKDOT

RESIPI NASI GAUL

Bahan-bahan

  • 1/2 kilogram beras
  • 5 ulas bawang kecil
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 sudu minyak sapi
  • 1 ekor ayam (dipotong 12 ketul)
  • 1 cawan sos tomato
  • 5 cawan air
  • Sedikit garam
  • Rempah tumis (4 sekawan)

Cara penyediaan:

1) Rebus ayam menggunakan 5 cawan air. Kemudian, masukkan sos tomato, rempah tumis dan garam.

2) Rebus hingga ayam empuk. Apabila ayam sudah empuk, angkat ayam dan ketepikan. Air rebusan tadi jangan dibuang.

2) Seterusnya, hiris bawang kecil dan bawang besar. Panaskan kuali dan cairkan minyak sapi. Tumis bawang bersama minyak sapi hingga warnanya bertukar menjadi kekuningan.

3) Basuh beras dan toskan. Masukkan bawang dan minyak sapi. Kemudian, gaul rata bersama beras.

4) Masukkan air rebusan ayam dan tunggu sehingga nasi masak.

Bahan-bahan acar

  • 1 biji timun (diracik kasar)
  • 2 biji tomato (diracik kasar)
  • 3 biji lada merah
  • 3 biji lada hijau
  • 1 biji bawang besar (dimayang halus dan digaul bersama 1 sudu kecil garam)
  • 1/2 cawang sos tomato
  • Sedikit belacan (dibakar terlebih dahulu)
  • 1 cawan air panas

Cara penyediaan:

1) Hancurkan belacan dengan menggunakan air panas ke dalam mangkuk.

2) Kemudian, masukkan timun, tomato, cili merah, cili hijau dan bawang besar.

3) Masukkan sos tomato dan gaul rata kesemua bahan-bahan tersebut.

4) Acar siap dihidangkan bersama nasi gaul dan menu lauk-pauk pilihan.

Sumber: yaniskitchen-ilyani.blogspot.com           

Iklan