SESETENGAH ubat titis mata memerlukan cara penyimpanan ubat dalam keadaan sejuk. Takatnya antara dua ke lapan darjah Celsius.

Oleh itu, kenalah baca pada label ubat titis mata untuk melihat informasi berkaitan suhu simpanan.

Jika tertulis suhu simpanan adalah seperti di atas, maka ubat titis mata berkenaan perlu disimpan dalam peti sejuk.

Tapi… bukan di bahagian sejuk beku pula tau!!

Korang kena tahu juga, jika dinyatakan pada label ubat suhu di bawah 28 ke 30 darjah Celsius, memadai ubat itu disimpan pada suhu bilik. Tidak perlu disejukkan.

Selain itu, pada label ubat titis mata juga ada tertulis informasi penting iaitu berkaitan jangka masa ubat titis mata itu boleh digunakan setelah ia dibuka.

Ada yang dua minggu dan ada yang sebulan.

Maka, penting untuk tahu informasi itu dan tulis tarikh korang buka ubat titis mata pada botol sebagai rujukan agar tidak guna ubat titis mata yang telah melebihi jangka masa yang telah disyorkan oleh pengilang.

Iklan

Perlu diingatkan bahawa ubat titis mata adalah steril yang membawa maksud bebas kuman.

Oleh itu, amat penting untuk patuh kepada arahan pada label ubat. Pastikan ubat titis mata yang ingin digunakan berada dalam keadaan baik, tidak rosak dan bebas kuman.

Iklan

Sekiranya tanda-tanda di bawah ini berlarutan selepas menitiskan ubat mata, segeralah berjumpa dengan doktor kerana barangkali pesakit mengalami kesan-kesan berikut:

  • Iritasi (rasa pedih atau gatal) pada bahagian mata
  • Pening atau sakit kepala
  • Pandangan menjadi kabur
  • Mata berair dan rasa tidak selesa

Pesakit perlu melaporkan kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya mengalami kesan seperti berikut:

  • Mengalami pendarahan atau mudah lebam
  • Sakit tekak
  • Demam
  • Keletihan luar biasa
  • Bengkak pada muka/ mata/ bibir mulut
  • Susah bernafas
  • Ruam pada seluruh badan

Semoga bermanfaat buat semua.

Sumber: @MedicalMythbustersMalaysia dan Jabatan Farmasi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).