Sedapnya bubur pedas resipi tradisi Sarawak guna 35 ramuan  

A
A
A

BAGI penduduk Semenanjung Malaysia, bubur hanya satu makanan biasa atau opsyen terakhir yang dipilih untuk dinikmati.

Ada pandangan nakal menyebut, bubur dimakan untuk orang sakit sahaja.

Namun, di Sarawak, sajian yang dinamakan bubur pedas merupakan hidangan tradisional yang istimewa dalam kalangan masyarakat Melayu di sana.

Pembuatan yang cukup teliti membuatkan resipi itu diperluaskan ke Kalimantan Barat, Indonesia.

Seorang penduduk Sarawak, Minah Mahlie, 66, yang arif memasak masakan berkenaan memberitahu SinarPlus, bubur pedas merupakan makanan yang lazimnya disajikan pada bulan Ramadan.

MINAH MAHLIE

"Namun, ada yang menjadikan ia sebagai hidangan tengah hari," katanya baru-baru ini.

Jujur penulis katakan, melihat senarai bahan menu itu yang panjang berjela, penulis dapat rasakan kepayahan memasak menu tersebut.

Rumit

Kalau pembaca bayangkan beras menjadi bahan utama untuk memasak bubur pedas, ternyata telahan itu kurang tepat.

Kata Minah, beras hanya dijadikan sebahagian ramuan dalam penyediaan bumbu atau perencahnya.

bubur pedas sarawak

Sebelum menjelaskan lebih lanjut, wanita itu memberitahu, penyediaan bubur pedas terbahagi kepada dua iaitu menghasilkan bumbu terlebih dahulu kemudian diikuti dengan memasak menu itu dengan tambahan 21 bahan lain.

Memulakan perincian untuk membuat bumbu, Minah berkata, selain beras, terdapat 13 bahan lain yang diperlukan. Antaranya ialah bawang merah, bawang putih, serbuk ketumbar, kulit kayu manis, kelapa parut dan lain-lain.

Artikel berkaitan: Resipi kek butter cheese blueberry mudah, lemak berkrim

"Selepas bumbu siap, proses seterusnya adalah mencampurkan bumbu tadi dengan 21 bahan lain. Antaranya udang, daging lembu, daun kesum, kulat hitam, kacang rebus, beberapa jenis sayuran, udang kering dan paling istimewa ialah sayur midin.

"Rasanya sangat enak kerana mengandungi bahan-bahan berkhasiat seperti sayur-sayuran. Itu menjadikan bubur pedas ini, hidangan yang berlainan daripada bubur-bubur yang biasa kita buat," katanya.

Tempoh masa

Jika dicongak, secara keseluruhannya terdapat 35 bahan yang perlu digunakan untuk menghasilkan bubur pedas yang enak dan asli.

bubur pedas sarawak

Situasi itu sekali gus menggambarkan tempoh masa yang lama perlu diambil untuk memasaknya.

Tidak menafikan andaian itu, Minah berkata, untuk rasa yang asli, bubur pedas perlu dimasak sekitar satu hingga dua jam menggunakan api yang perlahan agar kesemua bahan menjadi warna keemasan.

"Selepas itu, ia perlu disimpan di dalam bekas kedap udara," katanya.

Percaya atau tidak, jika perencah disediakan dengan rapi, ia boleh bertahan sehingga setahun lamanya!

Itu sebab kata Minah, bubur pedas disajikan hanya pada bulan Ramadan atau pada hujung minggu sahaja lantaran menu itu memerlukan tahap kesabaran dan ketelitian yang tinggi untuk memasaknya selain memerlukan bahan yang mencukupi.

Menjawab satu soalan, anak kelahiran Kuching itu berkata, resipi tersebut tiada pantang larang.

"Cuma lebih enak lagi jika mempunyai bahan-bahan yang cukup untuk membuat bubur pedas. Bahan yang cukup sahaja mempunyai aroma, kepadatan, kepekatan cukup untuk memastikan sajian itu cukup rasa," katanya.

Minah menambah, bubur pedas boleh dimasak oleh sesiapa sahaja.

bubur pedas sarawak

Namun terdapat kekurangan satu bahan iaitu sayur midin yang hanya terdapat di Bumi Kenyalang sahaja.

RESIPI BUBUR PEDAS SARAWAK

Bahan-bahan bumbu:

  • Beras
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Kunyit
  • Halia
  • Lada hitam & putih
  • Serbuk ketumbar
  • Kelapa parut
  • Bunga lawang
  • Bunga cengkih
  • Kulit kayu manis
  • Buah pelaga

Bahan-bahan bubur pedas:

  • Bumbu
  • Udang
  • Tendon daging lembu
  • Bawang Merah & Putih
  • Cili kering
  • Santan
  • Kacang panjang
  • Lobak merah
  • Kentang
  • Keledek
  • Rebung manis
  • Daun kesum
  • Daun kunyit
  • Kulat Hitam
  • Cendawan
  • Kacang rebus
  • Jagung Muda
  • Sayur midin
  • Udang kering
  • Garam
  • Gula
  • Minyak

Cara-cara untuk bumbu:

  1. Masukkan semua bahan ke dalam kuali dan goreng dengan api sederhana hingga semuanya berubah menjadi warna keemasan.
  2. Setelah selesai, kisar campuran bahan hingga halus dan sebati. Ketepikan dalam satu bekas.

Cara-cara untuk membuat bubur:

  1. Goreng bawang merah, bawang putih dan udang kering hingga keemasan dan wangi di dalam periuk. Kemudian masukkan bumbu bubur pedas (campurkan dengan air), kemudian gaul hingga pecah minyak.
  2. Masukkan udang dan daging lembu. Secara berperingkat, masukkan air hingga semua bahan mendidih.
  3. Kemudian masukkan semua sayur yang dihiris. Gaul rata semua bahan hingga berbau wangi. Akhir sekali masukkan santan, sedikit garam dan gula.

Nota: Jika tiada sayur midin, sebagai alternatif boleh digantikan dengan sayur lain seperti kubis.

Resipi asli berkenaan dibawakan oleh Sarawak Tourism Board.

PENULIS: MAZLINA ABDUL MAJID

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca