Sharifah Rose anggap status influencer bukan jalan pintas jadi pelakon. 'Pengalaman lalu, guru saya hari ini'
MENITI perjalanan sebagai seorang pempengaruh yang kemudiannya terjun ke dunia lakonan, nama pelakon cantik manis Sharifah Rose semakin dikenali.
Mewarisi darah kacukan Arab dan Melayu-Jawa, sedikit sebanyak memberi kelebihan buat dirinya untuk muncul sebagai model dalam memperagakan hijab.
Duta produk kecantikan Wardah itu mengakui kecintaan dalam dunia seni bermula selepas dirinya aktif sebagai pempengaruh.
“Waktu itu, saya baru berusia 18 tahun dan sedang melanjutkan pengajian ijazah. Muncul peluang untuk saya pergi uji bakat.
Ketika itu, tidak terfikir atau cita-cita nak jadi pelakon, namun betul lah orang kata, tak kenal maka tak cinta. Daripada situ, saya mula mengorak langkah sebagai anak seni sehinggalah sekarang.” ujar beliau yang mula mencipta nama menerusi drama Kekasih Hati Mr Bodyguard.
Pada masa sama, timbul pelbagai kecaman dan pandangan negatif terhadap bakat si gadis berusia 25 tahun itu.
“Memang banyak kecaman yang diterima, namun saya kuatkan semangat. Sementelah, ketika itu drama tersebut sedang ditayangkan dan masih dalam pembikinan.
Jadi, saya cuba jadikan ia (kritikan) yang konstruktif dengan memperbaiki apa yang patut. Saya tidak terfikir untuk tarik diri daripada bidang lakonan, sebaliknya pilih untuk berikan yang terbaik,” ungkap beliau yang mesra disapa Rose.
Menjawab persoalan tentang status pempengaruh yang disandang sebagai ‘jalan singkat‘ untuk memasuki bidang seni, ini jawapan tuan punya badan.
“Benar, ramai yang menganggap sedemikian, namun kita kena pandang daripada sudut positif. Dengan perkembangan teknologi masa kini, mudah untuk seseorang itu mencari peluang.
“Malah, stesen televisyen juga menggunakan platform yang sama untuk mendapatkan bakat-bakat baharu,” jelas anak sulung daripada dua beradik itu lagi.
Jalan pintas
Katanya, kesempatan yang ada itu memudahkan diri memasuki bidang seni.
“Kalau dulu selain pergi uji bakat, seseorang itu boleh terjun dalam dunia lakonan jika ada orang tengah (perkenalkan). Sekarang lebih mudah dengan adanya Instagram, TikTok dan sebagainya.
“Pada saya, jalan pintas yang diperkata segelintir pihak itu seharusnya dipandang daripada sudut positif bukan negatif,” ulas beliau.
Beliau bagaimana pun mengakui sehingga kini masih aktif sebagai pencipta kandungan atau influencer biarpun sudah bergelar pelakon.
“Saya bermula dengan influencer, justeru kerjaya ini tetap di jiwa saya.
“Untuk bidang lakonan, buat masa sekarang saya sedang menantikan untuk memasuki set penggambaran bersama Khai Bahar bagi satu drama bersiri Akasia,” ujar Rose lagi.
Mengungkap perasaan beliau dalam mengatur langkah sebagai anak seni, pasti tidak dapat lari daripada cabaran yang hebat.
Akui empunya diri, sebagaimana pelakon lain, beliau juga mengalami situasi yang sama iaitu untuk memastikan termometer kerjaya seni kekal relevan sehingga kini.
Kongsi Rose, pengalaman ibarat ‘guru‘ terbaik untuknya terus meredah onak duri sebagai anak seni.
“Melihatkan situasi sekarang yang mana bakat-bakat baharu muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Jadi, saya perlu fikirkan kaedah untuk pastikan masih boleh bersaing secara sihat dan tetap diingati oleh pihak penerbit dan pengarah.
“Pada masa sama, saya juga tidak mahu peluk tubuh dengan berlakon semata-mata. Saya perlu pandang ke hadapan kerana bidang ini tidak menjanjikan seseorang itu kekal selama-lamanya,” ujar anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu lagi.
Beralih kepada sisi peribadi graduan Ijazah Perniagaan (Pemasaran) di UOW Malaysia (sebelum ini dikenali Kolej Universiti Damansara Utama) itu, pengasas kepada koleksi jenama Harirose berkenaan mendedahkan sudah tiga tahun bergelar usahawan wanita.
“Hakikatnya untuk terus utuh dalam bidang ini (lakonan), tidak boleh terlalu selesa bertapak dalam satu bidang sahaja. Saya rasa ramai yang berpandangan yang sama lebih-lebih lagi pada zaman sekarang.
“Pun demikian, saya tidak meletakkan had dalam berlakon, selagi masih diterima dan mendapat tawaran, maka ada rezeki saya akan teruskan,” ungkap pemilik nama sebenar, Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira itu lagi.
Perbualan kami kemudiannya beralih kepada persoalan hijab dan fesyen. Beliau yang pernah muncul antara lima peserta rancangan realiti Master In The House Malaysia mendedahkan, seawal usia 15 tahun dirinya sudah mula mengenakan hijab.
“Saya masih ingat, ketika itu baru sahaja akil baligh dan rata-rata kawan perempuan semuanya bertudung.
“Kebetulan tamat belajar dan memasuki universiti, saya aktif dalam peragaan yang mana rezeki menjadi model hijab semakin hari semakin murah.
“Kalau ditanya berapa banyak koleksi tudung memang tidak terkira bahkan ada yang belum dipakai kerana setiap kali lepas shooting saya akan mendapat banyak tudung. Alhamdulillah, rezeki, kan,” Kata pelakon drama bersiri Dua Darjat terbitan TV3, arahan Shuhaimi Lua itu lagi.
Beliau pada masa sama mengakui suka mencuba pelbagai gaya fesyen mengikut kreativiti dan minatnya. Yang penting keselesaan, kemas dan sopan,” ulas si manis dengan ketinggian 158 sentimeter itu.
Landasan cinta
Pada kesempatan itu juga, penulis sempat mengusik kembali kolam hatinya yang suatu ketika dahulu ‘dikocak‘ oleh seorang anak kenamaan, namun hubungan itu putus di tengah jalan.
Timbul tanggapan negatif segelintir pihak kononnya beliau mendampingi demi memudahkan diri untuk mendapat ‘job‘. Namun hakikatnya kata Rose, ia tidak seperti yang orang sangkakan.
“Jujurnya, kalau ditanya bagaimana pilihan hati untuk ‘Mr Right‘, saya pilih si dia atas landasan cinta tak kiralah anak orang kenamaan ataupun insan biasa.
“Lebih-lebih lagi sekarang yang banyak memperlihatkan isu kecurangan pasangan. Jadi, saya berdoa semoga diberikan pasangan yang setia, yang saya sayang dan disayangi. Itu sudah memadai,” jelas Rose sambil tersenyum manis.
Menyingkap perancangan si gadis ayu untuk lima tahun akan datang, beliau mengakui ketika itu pastinya sudah punya keluarga sendiri, selain menumpukan perhatian bisnes dan berlakon masih diteruskan andai ada masa terluang dan naskhah terbaik.
Sebelum menutup perbualan, sempat penulis lontarkan persoalan tentang penampilan diri terutama dalam soal kecantikan dan kesihatan.
“Ya! Saya pernah berisi suatu ketika dahulu, cuma tidaklah terlalu gemuk cuma ‘chubby‘. Manakan tidaknya, bila stres asyik makan sahaja. Sehinggalah bila bergelar pelakon, bila terlebih makan mula lah nampak bulat dalam tv.
“Daripada situ saya mula jaga makan. Kalau orang lain suka bersenam atau ke gim, tetapi saya ini ada masalah arthritis dan badan lemah, tak sesuai aktiviti sedemikian,” kata yang lebih gemar lepak di rumah sambil menonton tv.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang