Spa inspirasi kafe kota London

A
A
A

BAGAIKAN berada di alam fantasi tatkala menjejakkan kaki di spa Pinkidia, Ukay Boulevard, Ampang, Kuala Lumpur.

Kehadiran pelanggan yang hadir untuk menjalani rawatan di pusat kecantikan tersebut disambut mesra kombinasi cat rona merah jambu terang dan rimbunan bunga material plastik.

Konsep dekorasi itu tidak terhad di daun pintu sahaja, malah diterapkan hampir di segenap ruang spa berkeluasan 1,700 kaki persegi itu.

spa pinkidiaSELAIN rawatan kuku, spa Pinkidia turut menawarkan rawatan badan dan wajah yang mana para pelanggan akan dilayan bak ratu.

Menurut pengasasnya, Nur Nadia Fatma Falaq atau mesra disapa Nadia, konsep itu menjadi pilihan utamanya memandangkan ia cukup sinonim dengan kaum Hawa.

“Ironinya, apabila sebut sahaja bunga atau warna merah jambu, pantas kita memikirkan sisi wanita yang sarat dengan kelembutan, manja dan feminin.

“Atas faktor itu, saya memilih stail sedemikian supaya para wanita yang berkunjung ke sini berasa tenang, apatah lagi mereka akan dilayan bak ratu dari hujung rambut hingga hujung kaki,“ katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

spa pinkidiaPINTU masuk spa Pinkidia sentiasa menjadi lokasi para pelanggan merakamkan gambar #OOTD. 

Bicara lanjut, anak sulung daripada enam beradik itu menyatakan, idea untuk menghias spa sedemikian rupa diinspirasikan dari London.

“Sebelum ini, saya gemar melancong. Pun begitu, antara destinasi yang saya kagum dan jatuh cinta ialah London yang terkenal dengan keindahan landskapnya termasuk sebahagian besar kafe di sana dihiasi dengan bunga-bungaan yang sangat cantik.

“Justeru, bagi menyuntik kelainan berbeza dari spa tema Bali, Indonesia dan Thailand, maka sebab itu konsep ala Inggeris menghiasi ruang di Pinkidia,“ jelasnya yang kini sedang menyempurnakan pengajian peringkat Doktor Falsafah dalam jurusan teknologi maklumat.

Tempah khas

Nadia menambah, bagi menyuntik keselesaan ketika pelanggan menjalani rawatan, ruang di dalam spa dibahagikan kepada beberapa bahagian utama.

Selain sudut merawat kuku, Pinkidia turut menyediakan bilik rawatan wajah dan badan serta salun rambut.

spa pinkidiaPaling menarik perhatian adalah sudut mandian yang menempatkan dua tab mandi berwarna putih. Ruang berkenaan dikelilingi langsir nuansa merah jambu polos, manakala panel silingnya pula diliputi bunga-bungaan.

“Boleh dikatakan dari segi kekemasan, perabot dan item hiasan yang digunakan adalah ditempah khas di kilang tertentu.

“Ini bagi memastikan sofa, panel kaunter, kerusi rawatan dan rak produk, misalnya dihasilkan mengikut signatur warna Pinkidia seperti merah jambu terang dan kuning keemasan,“ katanya yang hanya menggunakan flora material plastik untuk dekorasi manakala bunga segar untuk mandian spa.

spa pinkidiaPERABOT dan kelengkapan yang disediakan di spa Pinkidia ditempah khas bagi mendapatkan rona merah jambu terang dan kuning keemasan.

Uniknya mengenai Pinkidia, ia bukan sahaja berfungsi sebagai pusat kecantikan wanita, bahkan turut menjadi pilihan lokasi penganjuran majlis berskala kecil.

“Selain majlis hari jadi, ruang di sini juga pernah ‘bertukar‘ menjadi dewan mini untuk majlis pertunangan dan pernikahan buat mereka yang mengimpikan tema dalam taman.

"Biarpun hari ini sedang berdepan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi slot tempahan majlis tetap dibuka. Bagaimanapun, acara hanya berlangsung selepas PKP ditamatkan mengikut garis panduan,“ katanya.

spa pinkidiaCOMEL. Kaunter sajian untuk majlis skala kecil dan minuman juga hadir dalam warna merah jambu lembut.

PROFIL

Nur Nadia Fatma Falaq

Nama: Nur Nadia Fatma

Umur: 28 tahun

Karier: Pengasas Spa Pinkidia

Keluasan: 1,700 kaki persegi

Instagram: @pinkidia

Foto: @pinkidia

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca