MENOPAUS adalah sebahagian daripada proses penuaan yang normal untuk setiap wanita.

Apabila ia berlaku, ia akan menyebabkan seseorang mengalami beberapa perubahan tubuh badan.

Merujuk artikel Tempo.co, Pakar Kesuburan, India, Kshitiz Murdia berkata, risiko penyakit jantung dan osteoporosis meningkat ketika seseorang mengalami menopaus.

“Oleh itu, individu perlu kekal sihat dan mengenal pasti gejala yang berlaku. Ini juga boleh menjadi waktu yang tepat untuk memulakan atau terus mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Justeru, beliau berkongsikan lima tip kesihatan yang dapat membantu wanita ketika mengalami menopaus. Antaranya:

1. Catat kitaran haid

– Menggunakan kalendar bulanan boleh membantu wanita menentukan apa yang normal dan tidak normal dalam kitaran haid.
– Jika terdapat kitaran haid yang tidak teratur, wanita harus segera mendapatkan pemeriksaan lanjut.

2. Tambah kalsium dalam pemakanan

– Memandangkan risiko osteoporosis pada wanita meningkat semasa menopaus, salah satu makanan yang paling penting untuk wanita adalah kalsium untuk memastikan tulang menjadi kuat.

3. Jaga berat badan

– Sebahagian besar peningkatan berat badan wanita pertengahan umur disebabkan oleh faktor usia dan gaya hidup.
– Namun, semakin mendekati menopaus, pertumbuhan lemak perut akan terjadi jika mereka tidak memberi perhatian kepada diet dan senaman. Jenis lemak dikaitkan dengan risiko penyakit jantung yang lebih tinggi.
– Jadi, wanita menopaus harus mengekalkan berat badan mereka dengan diet yang betul dan senaman yang mencukupi.

4. Boleh hamil dengan bantuan teknologi

Iklan

– Jika seorang wanita ingin hamil pada masa menopaus, mereka mungkin perlu menggunakan kaedah teknologi pembiakan seperti persenyawaan in vitro (IVF), intracytoplasmic sperm injection (ICSI) dan permanian beradas (IUI).
– Walaupun tidak boleh menghasilkan telur, kehamilan dengan telur penderma masih boleh dilaksanakan.
– Pun begitu, merujuk laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, jumhur ulama dalam kalangan mu’asirin tidak membenarkan kaedah itu dilakukan orang Islam kerana penggunaan cara itu adalah haram bagi mendapatkan zuriat.
– Sumbangan sperma, ovum, embrio, rahim, oleh pihak ketiga adalah haram di sisi syarak.

5. Kenal pasti pencetus hot flashes (rasa panas badan)


– Hot flashes adalah salah satu tanda menopaus yang paling biasa. Menyimpan catatan diari boleh membantu mengenal pasti pencetus masalah itu seperti tekanan, kopi, cuaca panas dan alkohol.
– Apabila ia bermula, seseorang mungkin boleh berehat dengan menarik nafas perlahan dan dalam. Jika demam panas sangat teruk, berjumpa doktor dengan segera.

Baca juga 121 tahun, wanita Brazil dipercayai manusia tertua di dunia

Murdia menambah, wanita mempunyai tuntutan kesihatan yang berbeza daripada lelaki.

Iklan

Jadi, saringan untuk pelbagai gangguan perlu bagi membantu mengekalkan kesihatan umum pada sebarang peringkat umur.

“Menopaus bukanlah penyakit yang memerlukan rawatan perubatan. Bagaimanapun, berkomunikasi dengan doktor boleh melegakan banyak gejala tidak selesa,” katanya.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI