BARU-BARU ini, tular seorang pelayar Facebook berkongsi cara beliau memasak tomyam dengan menambah satu sudu susu pekat sebelum dihidangkan.

Tindakan itu telah mencetus pelbagai persoalan terutamanya kuantiti gula ‘tersembunyi’ sehingga mendapat perhatian Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim.

Tulisnya di Facebook, susu pekat manis merupakan susu yang dihasilkan daripada membuang lebih daripada 60 peratus kandungan air dalam susu lembu dan kemudiannya ditambahkan gula (45 peratus) dan ditinkan agar tahan lama.

“Kebanyakan susu pekat manis yang berada di pasaran juga ditambah dengan lemak kelapa sawit untuk mengurangkan penggunaan susu lembu dan boleh dijual dengan harga yang lebih murah (biasanya dilabel ‘filled milk’).

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“Setiap 1 Oz (30 mililiter) susu ini mengandungi sekitar 15 gram (g) gula (sukrosa dan laktosa), 2.5g lemak (lebih separuh lemak tepu) dan 2.2g protein. Ia juga mengandungi kalsium, natrium, fosforus, selenium, riboflavin, vitamin B12 (biasanya ditambah vitamin A dan D3) dan choline,” terang Dr Fatimah.

Jika diamati, susu pekat manis sangat popular digunakan dalam pelbagai jenis minuman dan makanan.

Sebenarnya, pengambilan susu pekat manis secara kerap dan berlebihan boleh membawa kepada pelbagai risiko kesihatan seperti diabetes yang menjadi pemangkin kepada penyakit kronik lain.

“Disebabkan tinggi kandungan gula, alternatif yang lebih bagus adalah dengan menggantikannya dengan susu sejat.

“Ini kerana susu sejat juga dibuat daripada pepejal susu namun tiada penambahan gula,” jelasnya.

Iklan

Pada masa sama, Dr Fatimah turut berkongsi cara untuk menghasilkan susu pekat manis sendiri di rumah.

“Caranya, campurkan satu bahagian susu sejat dengan 1 1/4 bahagian gula. Kemudian, panas dan kacau di atas api sehingga gula cair (susu bertekstur pekat dan sejukkan). Selain itu, boleh juga didihkan susu dengan gula sehingga ia menjadi pekat (60 peratus kandungan air meruap),” ujarnya.

Baca juga: 5 kebiasaan punca kadar gula meningkat

Iklan

ANEKDOT

  • Susu pekat manis yang sudah dibuka perlu disimpan dalam peti sejuk kerana jangka hayatnya berkurangan sekitar dua minggu.
  • Krimer manis/sejat berbeza dengan susu pekat manis/sejat. Ini kerana krimer diperbuat daripada lemak minyak kelapa sawit yang sangat minima atau tiada langsung kandungan susu.

Oleh itu, buat semua pembaca SinarPlus, sebaik-baiknya baca label pada bungkusan luar produk terlebih dahulu sebelum membeli.

Semoga bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Instagram!