TIDAK salah nak berfesyen, namun ini trik tepat yang diajar perunding imej jika mahu tampil elegan

Jika anda mahu berfesyen, sikap prejudis dalam pemilihan warna tidak perlu ada. Pun demikian, secara prinsipnya, rona yang tepat akan membuatkan si pemakai kelihatan lebih cerah, bergaya, lagi anggun.

Menurut Perunding Imej dan Konsultan, Natty Mohd Nordin, untuk mengetahui sama ada baju atau tudung yang dipakai sesuai dengan wajah, tipnya mudah. Kenali warna kulit masing-masing terlebih dahulu.

Perunding Imej dan Konsultan, Natty Mohd Nordin,

Sebagai contoh, tona coklat, hitam dan putih merupakan warna yang neutral. Ia mudah dipadankan dengan semua jenis pakaian tidak kira kasual, feminin atau formal.

“Kepada yang berkulit sedikit gelap, lebih selamat jika memilih warna-warna pastel dan lembut. Sebagai contoh, ungu lavender, biru awan, biru laut, merah jambu lembut dan kuning cair,“ ujarnya sambil menambah, tampil dengan warna yang cocok juga antara salah satu helah dalam berfesyen.

Baca  ni Gagal ‘padam’ semula tatu, wanita ini kongsi derita lebih setahun hidup dengan empat kening

Mahu nampak lebih muda daripada usia sebenar? Triknya juga senang. Pastikan kecondongan anda lebih kepada rona biru muda, merah jambu cair dan turquoise.

Tidak ketinggalan, warna kuning yang sifatnya melambangkan keceriaan, kehangatan, bersemangat, ceria dan optimis.

Sementara, opsyen warna hijau akan memperlihatkan si pemakai kelihatan lebih segar dan mendamaikan serta berkeyakinan.

Bagaimana pula dengan warna hitam? Bukankah tona warna itu sering melambangkan seseorang itu lebih menawan?

Jawab Natty: “Ya, warna tersebut yang paling selamat dan membuatkan wanita nampak langsing. Pun begitu, rona ini turut sinonim dengan kematian, misteri dan ketakutan.

“Secara peribadi, saya gemar memakai persalinan hitam jika pergi majlis formal makan malam, namun dipadankan dengan tudung warna emas atau perak yang akan membuatkan saya lebih terserlah di celah ramai tetamu,“ katanya yang berharap kaum Hawa bijak bergaya bagi mengelak menjadi mangsa fesyen.

JANGAN TAKUT
Selain aspek warna, pemakaian aksesori sebagai pelengkap dalam penggayaan seperti tali pinggang, rantai, anting-anting, jam tangan dan tas tangan tidak perlu terlalu sarat.

“Konsep bersederhana lebih ideal. Sebentuk cincin atau pemilihan kerongsang atau pin yang tidak terlalu extravaganza juga sudah memadai. Perkara paling penting yang saya mahu ingatkan, elakkan mencampur emas dan emas putih atau mutiara secara serentak.

Satu lagi, tidak salah memakai rantai kaki, namun pastikan bukan jenis yang berloceng,“ ulasnya.

Di sebalik ketelitian itu, Natty tidak mahu wanita di luar sana takut untuk mencuba sesuatu yang baharu atau sesuatu di luar kebiasaan. Tiada masalah untuk tukar mengikut cita rasa, mana tahu sesuai?

Iklan

“Janji penampilan anda tampak menawan tatkala busana tersebut membaluti tubuh badan, selain sesuai digayakan mengikut tema majlis yang dihadiri,“ katanya.

Antara kelainan yang boleh ditonjolkan adalah padanan baju kurung atau kebaya dengan shawl panjang.

Pesan Natty lagi, elakkan memakai busana berkenaan dengan blazer seperti yang banyak kita lihat di luar sana. Fesyen sebegitu katanya, merosakkan imej pakaian tersebut.

Sesuai dengan cuaca Malaysia, seleksi fabrik yang selesa perlu dititik beratkan. Selain kapas, lembaran linen, crep dan rayon amat dialu-alukan. Pun demikian, hindarkan memilih material spandex.

SinarPlus turut tidak melupakan mereka yang berbadan besar yang seringkali berasa rendah diri untuk tampil hebat.

Iklan

“Anda kena yakin dan jangan rasa malu atau segan. Jika anda dalam kategori ini, fabrik seperti kain kapas jadikan pilihan utama. Elakkan kain lycra kerana ia melekat pada badan.

“Usah pakai corak jalur melintang, bunga terlalu besar. Saya juga cadangkan warna yang serupa dipilih dari atas sehingga ke bawah,“ katanya.

Sekiranya mahu memakai skirt, pastikan blazer berada di bawah punggung, selain perlu ada belahan di belakang bagi menampakkan sisi yang lebih langsing.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan