SECARA mata kasar, penampilan merupakan refleksi kepada personaliti seseorang. Sama ada pemilihan gaya, warna atau corak, segalanya memainkan peranan penting dalam berpakaian.

Seandainya seseorang artis itu tersalah langkah, maka berminggu-minggu ‘tentera bawang’ akan tidak henti-henti membidas di media sosial.

Bagaimanapun, beberapa nama seperti Aina Abdul, Sherry Alhadad, Awal Ashaari, malah Hael Husaini memiliki pandangan berbeza dalam menterjemahkan ‘sisi tersembunyi’ dalam berfesyen.

Pun begitu, lebih ramai yang lebih selesa memilih konsep santai dan bersahaja. Biarpun tiada istilah extravaganza, namun pembawakan mereka tetap menarik perhatian lebih-lebih lagi apabila memilih rona terang seperti jingga ketika berbusana.

Tidak dinafikan, segelintir individu tidak menjadikan warna tersebut sebagai pilihan kerana bimbang ‘tindak balas’ mata yang memandang tidak menyenangkan.

Bagaimanapun, kebijaksanaan asimilasi dan padanan warna dapat membantu
menyerlahkan pesona, meskipun apa yang dipakai tidak terlalu sarat.

Untuk kolum Indeks Fesyen minggu ini, SinarPlus mengetengahkan enam BBNU atau Budak Baru Nak Up yang tampil berani memilih warna jingga sebagai senjata utama dalam mempamerkan gaya fesyen masing-masing.

Artis: Tuah Adzmi
Umur: 24 tahun
Tema: Denim dan hoodie


BERSESUAIAN dengan tangga usia beliau yang berumur 24 tahun, Tuah Adzmi yang popular dengan lagu Insan Kau Cinta selesa memilih gaya santai seperti street wear
sebagai pilihan.

Bagi beliau, stail tersebut sesuai untuk digayakan ke mana sahaja tanpa mengira sama ada pada acara rasmi atau tidak. Paling utama, ia selesa dan mengikut cita rasanya yang gemar memakai jaket denim.

Berdasarkan foto, Tuah mengenakan sweatshirt berwarna jingga di bahagian
dalam, sebelum menyarung jaket putih yang dipadankan dengan warna seluar.
Memang beliau nampak menyerlah.

Artis: Ajoi Zainal 
Umur: 23 tahun
Tema: Santai 

Semakin menyerlah selepas menyertai pertandingan nyanyian, All Together Now Malaysia pada tahun lalu. Jiwa anak muda itu saling tidak tumpah seperti penyanyi popular, Akim.

Memilih untuk tampil dengan gaya santai, Ajoi mengakui dirinya tidak begitu mahir dalam berfesyen, tetapi tetap berusaha untuk memberikan yang terbaik.

Pemilihan warna putih dengan padanan jaket berona jingga menyerlahkan perwatakan beliau yang kelihatan seperti bintang rock muda. Selain menganggap rona tersebut sebagai lambang ceria, warna itu turut dikatakan boleh membawa tuah kepada pemakai.

Artis: Lia Aziz
Umur: 20 tahun
Tema: Superwomen

LAGU Kuca Kuca telah menaikkan nama Lia Aziz sekali gus menjadi antara BBNU yang cukup dekat dengan peminat. Disebabkan alunan lagu beliau yang mesra pendengar, dirinya dikenali dengan sekelip mata.

Meskipun single artis muda itu lebih menjurus kepada rentak remaja dan memiliki ciri-ciri manja, namun ironinya Lia lebih memilih kepada penampilan sebagai wanita matang.
Busana berwarna jingga yang digayakan beliau daripada Sola Wedding Couture diakui sesuai dengan keinginan dirinya.

“Saya ingin tampil sebagai wanita matang, tetapi tetap dengan gaya feminin. Paling utama baju ini memenuhi kriteria menutup aurat dan tidak terlalu menonjol. Saya akan berusaha untuk kekal tampil dengan penampilan sebegini pada masa akan datang,” ujar Lia.

Melihat kepada busana yang dipakai, pakaian tersebut memiliki tiga bahagian iaitu seluar, kain labuh paras lutut potongan separuh bulat dan mantel di bahagian belakang.

Artis: Yasmin Aziz
Umur: 21 Tahun
Tema: Ranggi

GADIS kacukan Melayu-Filipina, Yasmin Aziz memiliki perwatakan yang gemar berjenaka dan aktif. Lihat sahaja video yang dikongsikan di TikTok. Setiap daripadanya pasti akan diselitkan dengan elemen komedi, selain mempamerkan kredibiliti beliau dalam nyanyian.

Pemilihan jaket labuh berwarna jingga dan dipadankan dengan sut putih membuatkan penampilan beliau kelihatan menarik. Tidak dinafikan, peserta yang menyertai pertandingan Big Stage itu suka dengan warna terang.

Iklan

Seiring dengan minat beliau, penyanyi tersebut berusaha untuk menampilkan kelainan agar kelihatan lebih ranggi, namun masih mempunyai unsur feminin.

“Kebiasaan wanita akan memakai gaun labuh, tetapi saya tidak. Saya lebih sukakan sesuatu yang kelihatan sedikit lasak seperti gaya Dua Lipa,” luah Yasmin yang menyifatkan warna jingga sebagai ‘vitamin C’ buatnya.

Artis: Megat Rahim
Umur: 20 tahun
Tema: Ala Bruno Mars

SEKIRANYA dibelek-belek, wajah Megat Rahim boleh dikatakan mempunyai iras bintang antarabangsa, Bruno Mars dan Rami Malek.

Selain bercakap soal pelanduk dua serupa, penampilan Megat yang mengenakan rantai mutiara sedikit sebanyak mencuri perhatian. Kemeja-T jingga muda yang dipadankan dengan sut putih bersaiz besar membuatkan beliau jauh lebih matang daripada usia.

Bercerita tentang fesyen, Megat akui beliau menjadikan beberapa nama seperti Bruno, Micheal Jacksons dan Chris Brown sebagai rujukan.

“Sejujurnya saya tidak mengetahui makna di sebalik mutiara itu sendiri, tetapi apa yang pasti elemen mutiara itu sendiri telah menarik perhatian. Pada masa akan datang, saya juga merancang untuk memiliki label fesyen dan menjadi pereka,” terang Megat mengenai rencana masa depannya.

Artis: Sofiaa Marieylla
Umur: 22 tahun
Tema: Ranggi

Iklan

KEMUNCULAN Sofiaa Marieylla atau lebih dikenali sebagai Mummy Jerung bersama ahli Jerung Merah mendapat reaksi luar biasa daripada khalayak. Biarpun penampilan beliau kelihatan seperti seorang yang terbuka, ironinya empunya diri memiliki sisi berbeza.

Hal itu apabila Sofiaa diminta untuk menggayakan busana berwarna jingga ‘senada’ dengan baju lengan panjang dan seluar palazzo. Beliau mengakui bimbang dengan reaksi khalayak.

“Namun, demi mencuba sesuatu yang baharu, saya lakukan sahaja. Pada masa sama, saya turut bertanyakan pendapat dengan individu terdekat mengenai pemilihan gaya dan tata rias,” katanya yang meminati warna terang seperti merah.

Sofiaa juga berpendapat bahawa memakai baju berwarna terang seperti jingga dapat menambahkan keyakinan dan menjadikannya lebih yakin.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI