Teh tarik jadi kegemaran budak darjah 1

A
A
A

“SETIAP kali kami sekeluarga keluar makan di luar, anak saya yang berusia tujuh tahun pasti akan pesan teh tarik sebagai minumannya.“

Itu pengakuan seorang ibu yang juga suri rumah sepenuh masa, Siti Nafira Mohd Nasir, 35, kepada SinarPlus baru-baru ini.

Kata Siti Nafira, anak tunggalnya, Arid Hadif Mustaqim Norhakizan memang peminat nombor satu teh tarik selain sangat gemar dengan makanan manis.

Tatkala ditanya bagaimanapun kesihatan Arid Hadif setakat ini, dengan nada tanpa kerisauan beliau berkata: “Dia okey, belum ada masalah kesihatan yang kronik, tetapi ada sejarah karies gigi saja. Sekarang beratnya sudah cecah 30 kilogram (kg).

Mendengarkan kenyataannya itu, penulis berkongsi pengetahuan tentang  berat ideal seorang kanak-kanak berusia 7 tahun adalah 23kg seperti  yang disyorkan Direktorat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Amerika Syarikat.

Siti Nafira lantas memberi respons. “Oh! Maknanya anak saya sudah terlebih berat badanlah. Mujur sekarang saya semakin mengawal makan dan minumnya sama ada di sekolah mahupun di rumah,“ katanya.

Pun demikian, kata wanita itu, kadangkala beliau ‘kalah‘ dengan permintaan anak kesayangannya itu.

“Ya lah, semua ibu tak sampai hati kalau anak minta itu dan ini, lebih-lebih bab makan dan minum. Nampaknya, dalam hal ini, saya perlu bertegas demi kesihatannya. Anak saya masih kecil. Lagipun lebih baik mencegah daripada mengubati,“ katanya.

Ujar Siti Nafira lagi, bukan sahaja beliau perlu menitikberatkan soal pemakanan Arid Hadif, beliau sendiri perlu menjaga dirinya. Masakan tidak, keluarganya mempunyai sejarah penyakit kencing manis.

“Gula merupakan musuh manusia nampaknya. Penting untuk saya jaga soal makan dan minum dan fokus saya semestinya pada anak yang semakin membesar,“ katanya.

APA KATA ORANG RAMAI

Dulu saya minum teh tarik hampir setiap hari, hasilnya berat badan saya naik secara mendadak iaitu 6 kilogram dalam masa satu bulan sahaja. Doktor suruh saya berjaga-jaga kerana sejarah keluarga saya juga ada yang menghidap kencing manis dan masalah jantung.

- Mohd Farhan Hariri, 27, Bekerja sendiri

Aroma dan buih teh tarik yang melimpah membuatkan saya ‘gila‘ dengan minuman itu. Jika disuruh pilih sama ada teh atau kopi, pastinya saya akan memilih teh. Saya memang peminat tegar teh kecuali teh herba. Sehari tidak dapat, ibarat tidak lengkap hari-hari saya.

- Siti Faireen Ahmadi, 37 , uri rumah

Saya suka sangat minum teh tarik dan makan bersama roti canai di kedai mamak. Selepas ramai tegur dan beritahu bahawa pengambilan susu secara berlebihan boleh sebabkan kencing manis, saya kini perlahan-lahan berubah minum teh o kurang gula saja.

- Mohammad Nor Anwar Mohd Sabri, 24, Peguam Syarie

Terus terang, saya sangat suka minum teh ais dan susah nak tukar air lain. Setiap kali bila pergi mana-mana kedai atau restoran, itulah menu pilihan saya. Saya tahu ia tak berapa okey, saya cuba kawal pengambilannya.

- Lim Zee Hui, 21, Pelajar

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca