Teknik memasak daging dan kesannya terhadap purine, penyebab gout

July 31, 2020
Azimah

PADA Hari Raya Aidiladha memang lazimnya kita akan mendapat sedekah daging korban bukan?

Begitupun, bagi sesetengah orang terutama berpenyakit gout atau mereka yang menyediakan juadah berkaitan akan berasa khuatir untuk makan daging atau memasak juadah itu.

Ramai risau penyakit gout pada diri atau memberi makan makanan berasaskan daging kepada insan tersayang boleh menjejaskan golongan terbabit.

Bagaimanapun, ketahuilah sebenarnya ada teknik tertentu bagi memasak daging. Itu yang dikongsikan bekas Timbalan Pengarah & Saintis Utama di Pusat Penyelidikan Makanan dan Teknologi MARDI, Dr Suri Roowi ini. Berikut perkongsian beliau:

Memandangkan Hari Raya Korban menjelang tiba, dikongsikan di sini teknik memasak yang sesuai bagi pesakit gout.

Bagi pesakit gout, kandungan purine yang tinggi dalam makanan boleh sebabkan gout. Bahan ini hadir dalam makanan dan kuantitinya bergantung kepada teknik memasak. Contohmya;

a. Teknik Memotong Daging

Daging yang dipotong kecil-kecil atau daging hancur (minced meat)  lebih rendah kandungan purine berbanding daging yang dipotong besar-besar.

b. Membilas

Teknik membilas diikuti dengan memasak makanan akan kurangkan jumlah purine.

 

Kajian menunjukkan membilas daging lembu menggunakan air dan daging pada nisbah 5 : 1 selama 5 minit diikuti dengan alirkan dengan air mengalir akan turunkan kandungan purine sebanyak 25%.

c. Teknik Memasak

Merebus makanan lebih baik berbanding kukus dan memasak gelombang mikro.

Kajian menunjukkan bahan purine dalam ikan tilapia menurun daripada 46% kepada 25% setelah direbus dan dikukus selama lebih 30 minit.

Sebaliknya,  hanya 17% purine telah hilang jika dimasak dengan microwave selama 7 minit. Bahan purine dalam ikan yang digoreng pula didapati lebih tinggi (Anna Ellington).

d. Masa Memasak

Masa memasak juga mempengaruhi kandungan bahan purine. Kajian memunjukkan memasak sup cendawan pada masa lama akan hasilkan bahan purine lebih banyak.

#DrSuriRoowi KMN
Ph.D in Natural Product and Human Nutrition
Principal Scientist

Sumber: FB Dr Suri Roowi

ANEKDOT:

Perkongsian MyHealth tentang GOUT

Tahukah anda bahawa penyakit gout ini sering terjadi kepada kaum lelaki yang berada dalam lingkungan umur tiga puluhan dan keatas, dan perempuan juga boleh mengalami masalah ini terutamanya selepas putus haid atau menopause?

Dan tahukah anda bahawa walaupun penyakit Gout dianggap sebagai penyakit keturunan, terdapat ramai pesakit Gout yang tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit ini?

Gout sebenarnya dikelaskan sebagai penyakit Artritis yang berpunca daripada pengumpulan asid urik pada sendi dan tisu lembut di sekeliling sendi, terutama pada kaki.

Gout menyebabkan keradangan, kebengkakan dan kesakitan yang datang secara tiba-tiba pada sendi, terutamanya sendi-sendi yang besar, langsung membataskan pergerakan pesakit itu.

Biasanya, serangan Gout hanya akan membabitkan satu sendi pada satu ketika.

Punca Gout

Penyakit Gout ini terjadi akibat dua faktor iaitu akibat asid urik yang berlebihan di dalam badan dan akibat asid urik yang tidak dibuang dengan berkesan daripada badan.

Asid Urik yang berlebihan ini menyebabkan pembentukan kristal berbentuk jarum pada sendi, iaitu punca sakit Gout. Ia juga boleh terbentuk di bahagian lain, dan akhirnya boleh menyebabkan batu karang dalam buah pinggang.

Asid urik biasanya akan mendap pada sendi ibu jari kaki. Tetapi ia juga boleh terkumpul pada sendi lain seperti belakang kaki, buku lali, lutut, pergelangan tangan, siku dan jejari tangan.

Pengumpulan asid ini boleh menyebabkan bonjolan kecil pada kulit, dipanggil
(to-fai). Pada keadaan yang lebih serius, tophi menjadi terlalu besar dan boleh pecah, serta mengeluarkan bahan seperti kapur.

Ketidakseimbangan asid urik ini kemungkinan disebabkan faktor keturunan, pengambilan makanan yang kaya protein dengan lebih, obesiti, pengambilan alkohol yang berlebihan, kerosakan buah pinggang, pengambilan ubatan tertentu seperti diuretik dan aspirin. Kekurangan air di dalam tubuh yang serius boleh memburukkan keadaan.

Tanda-tanda Gout

Tanda-tanda atau simptom yang menunjukkan yang anda mungkin didatangi Gout ialah apabila anda rasa sakit pada sendi terutamanya di sendi ibu jari kaki, lutut dan pergelangan kaki.

Sendi itu akan rasa sakit apabila disentuh, dan boleh ikuti oleh demam yang menggigil akibat kesakitan yang teruk.

Dialog : Abang rasa macam nak demam, lain macam je rasa: sakit ke abang ?

Serangan secara tiba-tiba boleh menjadi lebih ketara pada waktu tengah malam.

Ingatlah, hanya rawatan yang sesuai boleh mengurangkan sakit dan kekerapan serangan yang seterusnya.

Tahap-tahap Gout

Mengikut kajian, Gout boleh dibahagikan kepada empat peringkat:

1. Asimptomatik – yang tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda

2. Akut – Dalam kes ini, tanda-tanda Gout muncul dengan cepat dan secara tiba-tiba, biasanya pada tisu lembut beberapa sendi, dan sakit akan hilang dengan kadar yang cepat.

3. Interkritikal – ini adalah fasa di mana tiada serangan gout dan ini boleh berlangsung selama beberapa bulan atau juga bertahun lamanya.

4. Kronik – bagi peringkat kronik pula, serangan boleh berlaku berulang kali, dipanggil ‘Polyarticular Gout’. Pesakit akan berasa amat sakit, kejang dan kaki mungkin berubah bentuk, bengkak, merah, dan panas, termasuk demam. Kategori kronik yang sudah teruk pula, boleh berlaku kerosakan ginjal, hipertensi, dan batu karang.

Hiperurisemia

Kebanyakan pesakit Gout mempunyai kadar asid urik yang tinggi. Keadaan ini dipanggil ‘hiperurisemia’.

‘Hiperurisemia’ berlaku apabila buah pinggang gagal menyingkirkan asid urik secara secukupnya atau apabila badan menghasilkan terlalu banyak asid urik.

Rawatan

Ubatan pilihan untuk Gout  ialah  ‘Nonsteroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs)’, Colchicine( kol-chi-sin), atau ‘Glucocorticoids’.

Rawatan jangka panjangnya pula ialah terapi ‘Anti-hyperuricemik’.

Walau bagaimanapun, amalan pemakanan yang betul mampu membuat perubahan kecil dalam mengurangkan aras plasma asid urik.

Adakah anda rasa anda juga mungkin mengidap Gout? Berusahalah membuat perubahan melalui diet pemakanan yang rendah protein.

Elakkan makanan tinggi purin yang berasal daripada sumber protein. Hadkan pengambilan sardin dan ikan bilis. Pengambilan daging hendaklah di hadkan kepada satu hidangan sehari dan jangan makan organ dalaman seperti buah pinggang, hati dan otak.

Sayuran seperti asparagus, kekacang, pis, cendawan, bunga kobis, dan bayam boleh diambil secara berhemah.

Banyakkan minum air kerana ini dapat membantu penyingkiran asid urik.

Juga, elakkan pengambilan alkohol.

DIAGNOSIS

Untuk mengenalpasti Gout secara tepat, ujian mikroskopi dijalankan bagi bendalir yg disedut daripada sendi.

Walau bagaimanapun, janganlah anda risau. Jika anda mengalami tanda-tanda Gout diatas, dapatkan rawatan yang sebaiknya dengan segera supaya tidak berpanjangan dan menimbulkan kesan yang lebih serius.

Pada peringkat awal, dengan rawatan yang sewajarnya, hidup anda mampu pulih seperti sediakala. Rawatan awal adalah penghilang sakit Gout.

Mulakan dengan pemakanan yang sesuai serta gaya hidup yang lebih sihat dan positif.

Gratitude yummi.club

About Azimah

Biodata Penulis