'Teringin nak jumpa, wajahnya persis mak. Mahu lepas beban dosa saya galas...'Lelaki ini luah hasrat ingin bertemu Wan Maimunah

Setiap kali melihat wajah pelakon veteran Wan Maimunah, hati seorang lelaki ini terusik. Bukan kerana kagum dengan lakonannya, tetapi kerana ada satu rasa yang sukar diungkap, rindu yang bertahun-tahun terpendam buat arwah ibunya. Sudah 19 tahun ibunya pergi, tetapi bayangan itu masih jelas.
Dan kini, dia memasang satu impian kecil tetapi cukup bermakna, mahu bertemu Wan Maimunah untuk melepaskan beban rindu yang lama bersarang dalam hati.

Kisah ini dikongsikan oleh pengguna akaun Thread, syukriesufian, yang menulis dari hati tentang impiannya untuk bertemu pelakon tersebut. Malah, di bio akaunnya sendiri tertera satu harapan yang membuat ramai sebak: 'Mudah-mudahan raya tahun ini dapat jumpa Wan Maimunah.'
Dengan penuh emosi, dia menulis di hantaran tersebut:
"Assalamualaikum, tahun ini saya nak tebal muka sikit. Saya tahu Wan Maimunah ada di Terengganu niaga ayam bakar, tapi agak-agak raya tahun ni beliau ada dekat mana ye?"
"Saya teringin nak jumpa dia sebab wajah dia persis arwah mak. Arwah mak meninggal 19 tahun lepas tapi perasaan bersalah tu masih saya simpan sampai sekarang."
"Cuma berharap tahun ini... saya boleh lepaskan beban, masalah, dosa yang saya galas selama 19 tahun ini," luahnya penuh harapan.

Hantaran itu menyentuh hati ramai orang. Di ruangan komen, ramai yang memberikan kata-kata semangat serta mendoakan agar impian lelaki ini dipermudahkan. Ada yang berharap Wan Maimunah membaca kisah ini dan dapat bertemu dengannya pada Syawal nanti.
"Semoga dipermudahkan urusan abang ni. Besar betul kasih sayang dia pada arwah ibu."
"Moga tercapai hajat dan segala rasa bersalah yang dia tanggung selama ini dapat dileraikan."
Setiap orang ada cara sendiri untuk mengenang insan tersayang yang telah pergi. Bagi lelaki ini, bertemu Wan Maimunah mungkin satu bentuk penawar yang mampu meredakan rindu yang tidak pernah padam. Semoga pertemuan yang diimpikan ini menjadi kenyataan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang