KEPADA mereka yang berdepan dengan masalah hati, tiada cara lain yang lebih berkesan selain menurunkan berat badan, kata Pakar Dietetik, Pusat Perubatan Pakar Tawau, Sabah Bebiyana Bidin.

Kata Bebiyana, proses penurunan tidaklah terlalu drastik sebaliknya secara berperingkat iaitu 0.5 hingga 1 kilogram seminggu.

Ujar beliau, keperluan kalori untuk penurunan berat badan ialah 1,200 hingga 1,500 kcal sehari bagi lelaki dan 1,000 hingga 1,200 kcal pula bagi wanita.

Namun begitu, bagi mendapatkan keperluan kalori yang spesifik, terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira seperti metabolisma tubuh, aktiviti fizikal individu, norma kerja dan rutin seharian serta jisim otot, lemak dan air di dalam tubuh.

“Pada masa sama, setiap individu juga digalakkan untuk melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana dalam seminggu atau sekurang-kurangnya 75 minit aktiviti fizikal berintensiti tinggi.

“Aktiviti fizikal berintensiti sederhana antaranya seperti berjoging, berjalan pantas dan latihan beban manakala aktiviti fizikal berintensiti tinggi pula seperti berlari, berbasikal, berenang, tekan tubi dan senamrobik,” jelasnya.

Selain itu, ujar Bebiyana, prinsip pemakanan yang paling senang dan mudah diaplikasikan oleh penghidap hati berlemak ialah Pinggan Sihat Malaysia yang menekankan:

i) ¼ porsi pinggan nasi, mi, bijirin atau apa-apa sumber karbohidrat yang lain. Pengambilan bijirin penuh adalah digalakkan.

Iklan

ii) ¼ porsi sumber protein seperti ikan, ayam, daging dan kekacang. Namun demikian, adalah digalakkan untuk mengurangkan kandungan lemak daripada sumber protein dengan membuang kulit ayam, memilih bahagian ayam yang kurang lemak seperti bahagian dada atau melebihkan pengambilan ikan dibandingakan dengan daging.

iii) ½ porsi buah-buahan dan sayur-sayuran.

Bukan itu sahaja, pesakit hati berlemak perlu melebihkan pengambilan air kosong dalam diet seharian, memilih susu rendah lemak atau susu skim

Iklan

“Kurangkan juga pengambilan gula tambahan seperti minuman bikarbonat, minuman dalam tin, jus buah komersial serta pencuci mulut dan makanan berkrim seperti donat berperisa.

“Orang ramai perlu tahu, kalori berlebihan yang tidak digunakan akan ditukarkan kepada lemak. Jadi, pengambilan gula itu perlulah dikawal dan jangan lupa kurangkan garam dalam masakan,” terangnya.