MENGAJAR dan melatih anak-anak untuk bebas memakai lampin bukanlah tugas yang mudah Kesabaran yang tinggi amat diperlukan bagi memastikan anak-anak berjaya melakukannya dengan baik.

Tidak dapat dinafikan memang agak mencabar melatih anak-anak ‘melupakan’ lampin tidak kiralah lampin kain atau pun lampin pakai buang. Tidak semua anak-anak boleh melalui fasa latihan ini dengan cepat.

Melalui perkongsian ahli terapi cara kerja, Maryam Jamadi, banyak kebaikan diperolehi kanak-kanak yang sudah tidak lagi memakai lampin. Perkembangan emosi dan sosial mereka akan menjadi lebih baik.

Hasil kajian yang telah diterbitkan di dalam Journal of Pediatric Urology pada tahun 2002, kebanyakan anak yang lewat bebas lampin akan meningkatkan risiko mendapat masalah mengawal pundi kencing. Untuk kesan jangka panjang pula mereka berisiko mengalami masalah usus.

Baca juga: Bedak bayi talkum Johnson & Johnson dihenti jualan bermula 2023, 11 info ibu perlu tahu

Kredit foto: Pexels

Tanda-tanda anak sudah bersedia

Selalunya ibu bapa sudah boleh mula mengajar anak bebas lampin pada umur 2 hingga 3 tahun. Ada juga anak yang sudah menunjukkan kebolehan bebas lampin seawal 18 bulan.

Untuk mengelakkan kejadian lantai basah, tilam basah atau bau hancing seluruh rumah, lebih baik ibu bapa tahu dahulu tanda-tanda anak sudah bersedia untuk bebas lampin:

1. Boleh duduk, berdiri dan melangkah anak tangga di tandas dengan sendiri.

2. Mempunyai skil motor dan koordinasi yang baik untuk membuka pintu sendiri.

3. Berminat untuk ke tandas dan proses di dalam tandas (duduk, ambil paip air atau tisu, flush)

4. Mahu mengikut sesiapa sahaja ke tandas untuk melihat proses di tandas.

5. Sudah mempunyai keupayaan untuk menahan kencing atau berak selama lebih kurang dua jam.

6. Sudah pandai maklumkan mak ayah dengan bahasa tubuh atau beritahu nak “iyak”/ ‘poo poo” atau ‘kencing/cing”.

7. Tidak minat lagi memakai lampin dan mahu membuka sendiri lampin selepas ‘membuang.’

8. Pandai mengikut arahan.

9. Mempunyai masa yang sama untuk ‘membuang’ seperti selepas bangun tidur atau selepas makan.

Tanda-tanda di atas juga boleh digunapakai untuk anak berkeperluan khas, cuma umur sahaja berbeza. Jika anak mempunyai tanda di atas, sudah tiba masanya ibu bapa mengajar anak-anak bebas daripada memakai lampin.

Baca juga: Sebaknya, ibu meninggal dunia ketika bersalin, bayi 4 bulan naik pentas terima ijazah

Kredit foto: Pixabay

Persediaan ibu bapa

Ada banyak sangat cara untuk mengajar anak bebas lampin. Kalau ikut cara orang dulu-dulu ada yang buka sahaja baju anak. Jika hendak ‘membuang’ wajib beri tahu jika tidak, mereka akan didenda. Hasilnya dalam sehari dua, anak-anak tidak perlu lagi memakai lampin.

Berikut teknik yang selalu digunakan oleh ahli terapi cara kerja untuk anak berkeperluan khas, tetapi diolah sedikit untuk anak yang tipikal. Sebelum melatih anak bebas lampin, ibu bapa perlulah:

1. Pilih sama ada hendak melatih anak menggunakan tandas terus ataupun menggunakan ‘potty’.

Kedua-duanya ada kebaikan dan keburukan. Jika ibu bapa rajin gunalah ‘potty’ mungkin agak kurang menyeramkan untuk anak, mudah dibawa dan selamat. Kalau malas hendak membasuh, gunalah tandas terus. Kalau ada duit lebih, belilah tempat duduk tandas kecil yang dilengkapi tangga.

2. Latih anak menggunakan bahasa tubuh seperti pegang perut sambil cakap “berak/iyak”, “kencing/cing”, “pee/poopoo”. Pilihlah satu perkataan paling sesuai dan sebut setiap kali menukar lampin. Tunjukkan najis pada anak setiap kali anak ‘membuang’ dalam lampin.

3. Cerita sosial (social story)
Ceritakan kenapa kita ke tandas, apa yang dilakukan, proses di tandas dan sebagainya. Ibu bapa boleh juga cerita dengan memggunakan patung kesukaan. Contohnya,

“Setiap pagi, selepas Didi bangun tidur. Didi akan pergi tandas untuk “iyak/poopoo”. Mula-mula Didi buka seluar, duduk di atas tandas dan meneran (sambil buat muka meneran). Abang hendak jadi macam Didi?” Ibu bapa boleh bercerita mengikut kretiviti masing-masing sambil membuat ekspresi muka bagi menarik perhatian anak.

4. Perhatikan tingkah laku anak sebelum ‘membuang’ contohnya resah gelisah, ke hulu ke hilir, menyorok di belakang almari atau duduk di sudut bilik.

5. Catat masa setiap kali anak ‘membuang’ selama seminggu sebelum latih anak. Selalunya anak sudah ada pola masa yang sama seperti waktu pagi selepas bangun tidur, tengahari selepas makan dan sebagainya.

6. Pastikan anak makan makanan berserat seperti buah dan sayur dengan mencukupi. Proses melatih jadi lebih sukar sekiranya anak sembelit.

7. Pakaikan lampin jenis seluar (diaper pant) dan seluar bergetah yang longgar supaya mudah untuk dibuka.

Semua tip ini boleh mula dilakukan ketika umur anak setahun ke atas sebagai persediaan bebas lampin.

Ibu bapa boleh melatih anak bebas memakai lampin apabila sudah ada jadual masa, potty dan seluar dalam anak. Berikut langkah-langkah yang boleh dilakukan.

Iklan

Baca juga: Perut ibu 30kg ketika hamil, kembar 9 pecah rekod dunia bakal pulang ke Mali

Baca juga: Paling subur, wanita miliki 44 anak pada usia 36 tahun berhenti hamil

Kredit foto: Pexels

Tahap pertama (masih memakai lampin)

1. Bawa anak ke tandas 10 minit sebelum sebelum jadual pola masa, terutamanya sejurus selepas bangun tidur, selepas makan dan sebelum tidur. Boleh juga bawa setiap 2 jam. Lebih kerap lagi bagus.
2. Tekan sedikit di bahagian pundi kencing di bahagian bawah perut anak semasa duduk di tandas dan ajar anak untuk meneran.
3. Puji anak setiap kali anak berjaya ‘membuang’ di dalam tandas.
4. Jika anak terlepas ‘membuang’ di dalam lampin, tunjukkan lampin basah kepada anak sambil menegaskan tidak boleh ‘membuang’ dalam lampin
5. Disarankan ibu bapa untuk fokus dan melatih anak-anak secara berterusan selama lebih kurang seminggu.

Tahap Dua (pakai waktu tidur sahaja)

1. Ibu bapa boleh mula pakaikan anak seluar dalam kesukaan mereka untuk menggantikan lampin.
2. Pakaikan lampin waktu tidur siang dan tidur malam sahaja.
3. Tunjuk anak lampin basah sekiranya dia terlepas.
4. Bawa anak ke tandas sejurus bangun tidur. Jadikan rutin harian.

Tahap Tiga (100% bebas lampin)

1. Boleh mula kurangkan memakai lampin pada waktu malam.
2. Letak alas katil kalis air supaya katil tidak tercemar dengan bau hancing.

“Kunci utama untuk berjaya adalah kerapkan memuji anak. Pokok pun boleh mati kalau setiap hari kita datang marah-marah. Sabar, jangan terlalu memarahi anak sekiranya lambat kerana hendak berjaya perlukan masa, bukannya sekali ajar sudah pandai.

Iklan

“Ada yang seminggu sudah berjaya, ada yang sebulan malah ada yang setahun baru berjaya. Latihan ini perlu berterusan barulah cepat nampak kesannya. Kalau skip sehari buat, esok malas, mula balik tahun depan maka bertahunlah jawabnya.

“Ketika melatih anak bebas lampin, jangan lupa untuk melatih skil urus diri seperti pakai baju dan seluar. Tak adalah sampai umur 6 tahun masih lagi ibu baoa perlu bukakan seluar dan jirus setiap kali anak hendak membuang,” jelas Maryam.

Menurut Maryam, bagi anak berkeperluan khas seperti autisme, global delay development (GDD), sindrom Down dan sebagainya, teknik yang perlu dilakukan berbeza sedikit.

Baca juga: 315 helai lampin, 15kg susu seminggu, ibu cerita cabaran anak kembar 9, paling ramai di dunia

Sumber: Maryam Jamadi

Kredit foto utama: Pexels 

Oleh: Norhasliza Mohd Shafi

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi