Tiada istilah fesyen ketinggalan zaman, asalkan wanita bijak mengolah gaya

A
A
A

DALAM dunia penggayaan tiada istilah fesyen ketinggalan zaman. Setiap individu bebas memilih konsep penampilan untuk mengekspresikan personaliti tersendiri.

Lagipun gelombang fesyen itu sentiasa berputar menjengah zaman ke zaman, tetapi dalam stail dan olahan yang berbeza.

Sebelum ini segmen Sihat Cantik pernah memaparkan bintik polka, warna terang dan neon serta nuansa kuning Marigold antara trend utama menghiasi pentas fesyen 2020.

Artikel berkaitan: Top 3 trend fesyen popular 2020

Pun begitu, dalam carta fesyen tahun ini turut terdapat beberapa elemen sampingan khas buat golongan pencinta fesyen. Antaranya ialah:

Kot dres stailo

Mungkin segelintir wanita menyifatkan kot dres hanya sesuai digayakan di negara beriklim sejuk kerana menggunakan fabrik tebal. Sebenarnya, di Malaysia pun korang berpeluang menyarungkan busana tersebut ke acara tertentu khususnya yang berlangsung di dalam dewan berhawa dingin.

Jika tidak percaya, cuba singgah ke laman sosial Instagram penyanyi popular Dayang Nurfaizah @dayangsayangkamu. Membelek satu persatu kepingan foto dimuat naik, Dayang antara selebriti yang bijak menggayakan kot dres mengikut kesesuaian acara dan majlis.

fesyen

 

Meskipun menyarungkan kot dres berwarna hitam atau putih polos, tetapi anak kelahiran Kuching, Sarawak itu kekal stailo apabila dirias dengan konsep solekan dan dandanan rambut bersesuaian.

Percikan flora

Wanita dan bunga sukar dipisahkan. Sang pujangga pernah mengungkapkan bahawa wanita ibarat sekuntum bunga yang berseri dan kembang mewangi.

Berikutan simbiosis indah tersebut, semarak gaya flora antara yang menduduki carta trend fesyen 2020. Biarpun bunga-bungaan tampak klise dan sering digunakan untuk busana tradisional, namun jika bijak mengolah dan memilih, wanita mampu mencipta penampilan menawan.

fesyen

Cuba perhatikan gaya pengacara dan usahawan, Noor Neelofa Mohd Noor ketika menghadiri majlis jenama kosmetik Lancome 2020.

Dres motif bunga hitam yang menghiasi fabrik rona merah jambu terang menyerlahkan gaya pengacara program bual bicara, Next To Neelofa itu.

Potongan puff ekstravaganza

Lengan puff (gelembung) dalam potongan ekstravaganza dan longgar juga menjadi trend fesyen tahun ini.

Pemilihan eleman puff sedemikian memberikan nilai tambah menarik, anggun, romantis dan memukau pada lengan blaus atau gaun polos.

Pada masa sama, konsep tersebut bakal menjadi titik tumpuan orang sekeliling. Hos dan pelakon komedi, Jihan Muse misalnya, antara yang kerap tampil dalam persalinan blaus atau dres potongan puff pada bahagian lengan.

fesyen

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca