KALAU kita pulang ke kampung halaman terutama di ceruk kampung yang berhutan, mak kita mesti nyalakan ubat nyamuk lingkarankan?

Apa kata, selepas membaca artikel ini, kita nasihatkan mereka supaya menghentikan amalan itu.

Mengapa? Ini kerana asap daripada ubat nyamuk berkenaan boleh memberi impak buruk pada kesihatan kita.

Terdapat banyak kajian telah menunjukkan bahawa hampir keseluruhan jenis ubat nyamuk yang terdapat di negara ini memberi kesan sampingan yang merbahaya.

Baru-baru ini, SinarPlus terbaca mengenai berita tular yang mengaitkan sejenis ubat nyamuk yang dikatakan cukup berkesan membunuh serangga itu dengan pantas.

Namun, apa yang ditakuti adalah jenama hebat yang diuar-uarkan itu didapati tidak berdaftar dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak!

Hal tersebut menarik perhatian Facebook Public Health Malaysia (PHM).

PHM antara lain berpesan kepada semua rakyat Malaysia agar jangan berani untuk gunakan produk tidak berdaftar secara sesuka hati kerana ia mungkin mengandungi bahan beracun yang mendatangkan bahaya kepada kesihatan khususnya kepada kanak-kanak.

Ujar PHM lagi, ubat nyamuk Zenden Micro-Smoke yang diimport dari China, misalnya dikesan mengandungi bahan Class 1A carcinogen yang boleh menyebabkan kanser.

“Begitu juga dengan Tian Hong Mosquitos Coil, Lengen Mocro-Smoke 12 Hours, Jianbao Mosquito Coil yang masih dijual secara berleluasa.

“Mana-mana premis atau individu yang didapati menjual produk tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 20 (3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974 yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” kata PHM menerusi entri yang dimuat naik baru-baru ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan, terdapat dua produk lingkaran nyamuk yang dilarang penjualannya di pasaran tempatan.

Iklan

Ia terdiri daripada ubat nyamuk jenama Zenden Micro-Smoke dan Jianbao Mosquito Coil keluaran negara China.

ALTERNATIF LAIN HALAU NYAMUK

Sebenarnya, terdapat cara lain untuk menghalau nyamuk di rumah.

Antara kaedah yang disarankan oleh laman web infosihat.gov.my adalah pastikan tiada air bertakung yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Iklan

Selain itu, terdapat juga pelbagai jenis tanaman yang bersifat mampu mencegah nyamuk seperti serai ataupun daun selasih.

Oleh yang demikian, anda boleh cuba pelbagai cara lain selain menggunakan ubat nyamuk jenis lingkaran.

Marahkan Nyamuk, Kesihatan Tergadai..

Baru baru ini telah tular sejenis ubat nyamuk yang dikatakan cukup berkesan…

Posted by Public Health Malaysia on Sunday, March 7, 2021

Mencegah lebih baik daripada merawat. Persekitaran yang bersih boleh mengelakkan kesan buruk yang bakal menimpa anda dan keluarga.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca.