Syamsul sedia lafaz cerai, terpaksa tangguh Ira Kazar tak hadir ke mahkamah
WAKIL Syamsul Yusof memberitahu Mahkamah Rendah Syariah bahawa sutradara popular itu bersedia untuk melafazkan cerai terhadap isterinya, Ira Kazar.
Pun demikian, menurut peguam syarie, Azmi Rais yang mewakili Syamsul, lafaz berkenaan tidak dapat dibuat berikutan Ira tidak hadir ke ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat, Selangor hari ini bagi sebutan kes perceraian.
Susulan ketidakhadiran Ira atau nama penuhnya Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, Azmi menasihati anak guamnya sebagai plaintif, supaya mengambil pendekatan yang sama.
Semasa prosiding di hadapan Hakim Syarie, Maizatul Aliza Chee Din, peguam syarie itu berkata, defendan baharu sahaja melantik peguam syarie, iaitu Muhammad Fadhil Abd Razak.
"Plaintif dimaklumkan mengenai lantikan peguam bagi pihak Ira pada malam Isnin dan mereka memberitahu Ira tidak akan datang dalam prosiding ini.
"Anak guam saya sudah bersedia untuk melafazkan cerai tetapi tidak pasti sama ada Ira bersetuju atau sebaliknya," kata Azmi ketika sebutan kali pertama permohonan Syamsul untuk bercerai dengan izin mahkamah, di hadapan Hakim syarie, Maizatul Aliza Chee Din.
Dalam pada itu, pembantu perundangan, Ahmad Fuad Borhan yang hadir bagi pihak Muhammad Fadhil, mengesahkan pelantikan itu.
"Kami telah memfailkan wakalah iaitu surat lantikan peguam, pada tengah hari tadi beserta notis pemakluman kepada peguam plaintif," kata Ahmad Fuad.
Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula permohonan cerai itu pada 25 September depan.
"Hari ini mahkamah akan bagi tarikh baharu untuk sebutan yang kedua. Andai kes cerai ini Ira tak setuju, pasangan tersebut perlu melalui prosedur Jawatankuasa Pendamai (JKP)," kata Azmi.
Syamsul dan Ira yang juga anak kepada pelakon Kazar Saisi bernikah di Thailand pada 6 Januari 2023. Difahamkan perkahwinan mereka didaftarkan di Perlis pada 20 Januari tahun sama.
Pemilik nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof itu sebelum ini bercerai talak satu dengan pelakon Puteri Sarah Liyana pada 23 Jun 2023 selepas berkahwin pada 8 Mac 2014.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata Syaikul Islam, 7, dan Summayah, 5.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang