Ajak Shiro hadiah meja gerai untuk Tauke jambu buat ramai sebak. 'Bukan semua saudara kena sedarah'
KEIKHLASAN seorang sahabat sering kalib ukan teruji ketika susah, tetapi apabila sudah berjaya. Penyampai radio dan usahawan terkenal, Ajak Shiro, menyentuh hati ramai apabila tampil menyokong perniagaan sahabatnya, Tauke Jambu, yang kini mengusahakan gerai lempeng di Kuala Selangor, Selangor.
Menerusi perkongsian di TikTok, Ajak atau nama sebenarnya Mohd Hanaffi Razak meluahkan rasa terhutang budi terhadap Tauke Jambu yang pernah menghulurkan bantuan tanpa berkira ketika dirinya masih bertatih dalam industri.
"Tauke Jambu, terima kasih dari hati yang paling dalam. Waktu aku masih bertatih, belum tahu arah dan belum jadi siapa-siapa, kaulah antara orang yang menghulur tangan tanpa berkira.

"Budi yang kau tanam waktu itu bukan kecil nilainya. Malah jadi tempat aku berpaut, jadi teduh waktu panas, jadi payung waktu hujan.
"Bukan semua saudara kena sedarah, kadang-kadang kita jadi saudara kerana budi.
"Semoga Jambu yang kau tanam ni akan berbuah manis satu hari nanti. Sama-sama kita sokong sahabat kita ini," titip Ajak.

Sebagai tanda penghargaan, Ajak menghadiahkan meja dan kerusi baharu buat gerai tersebut sekali gus sebagai simbol sokongan yang lahir daripada persahabatan penuh makna.
Pelawak berusia 39 tahun itu turut dilihat memeluk Tauke.
“Bawa meja sendiri makan kat kedai Tauke, macam hari raya, hari-hari sentiasa ramai orang.
"Alhamdulillah, kalau ALLAH sudah izinkan tiada yang mustahil, yang lain jangan lupa datang.
"Aku doakan kau terus berjaya dengan kau punya karier baru, insya-ALLAH,” katanya lagi.

Hantaran penuh emosi itu dibalas Tauke dan menyifatkan ilmu yang dicurahkan selama ini adalah daripada ALLAH.
"Audionya buat aku tenyeh mata. Teringat bahawa walaupun kita guru. Kita mengajar tapi pelajaran sebenar bukan daripada seorang guru.
"Semoga ALLAH memperluaskan rezekimu sekeluarga dan semua yang berjuang melaksanakan tanggunjawab," titip Tauke.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji sikap pemilik rangkaian restoran Bumbu Babah itu yang disifatkan tidak lupa daratan dan sentiasa mengenang jasa sahabat.
Malah, tidak kurang juga yang mengakui menitiskan air mata melihat keakraban persahabatan kedua pelawak itu dan mendoakan agar ukhuwah berpanjangan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
