Jasa dikenang! 12 tahun bertugas guard sekolah 'naik pelamin', bawa pulang lebih 2,000 hadiah
PENUH makna dan sarat emosi, majlis persaraan seorang pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeli 2 mencuri perhatian apabila beliau diraikan bak raja sehari sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan sepanjang perkhidmatannya.
Dalam majlis baru-baru ini, pak guard' yang dikenali sebagai Wahab Deris, 64, tidak dapat menahan sebak selepas menerima lebih 2,000 hadiah daripada pelajar dan guru-guru.
Bayangkan, semua hadiah yang diterima terlalu banyak sehingga Wahab terpaksa membawanya pulang menggunakan dua buah kereta!

Tidak hanya itu, Wahab juga tersentuh kerana dalam majlis berkenaan beliau akhirnya ‘bersanding’ juga dengan isteri tersayang, Zauwiyah Abdul Rani, 59, selepas 43 tahun mendirikan rumah tangga.
Datuk dan nenek kepada 10 orang cucu itu tidak pernah bersanding sepanjang lebih empat dekad perkahwinan. Menurut Wahab, semasa berkahwin dulu mereka tidak bersanding kerana hidup susah dan tidak menyangka masih diberikan peluang untuk merasai pengalaman tersebut.

Artikel berkaitan:
"Alhamdulillah, terima kasih kepada guru besar, semua guru dan pelajar yang sudi meraikan saya sebegini meriah pada hari persaraan.
"Saya dan isteri juga sangat terharu apabila diraikan seperti pengantin baharu, malu pula apabila kena duduk bersanding di depan semua," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, bapa kepada empat cahaya mata dari Kampung Gemang, Jeli itu menganggap layanan istimewa yang diterimanya sebagai satu rezeki yang tidak ternilai.

Wahab turut menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada guru besar, barisan guru dan para murid yang bertungkus-lumus menjayakan majlis persaraannya dengan pelamin dan deretan hadiah tanda kasih.
Kata Wahab, usaha dan perhatian yang dicurahkan warga sekolah benar-benar menyentuh hati, apatah lagi apabila murid-murid sendiri tidak henti-henti mengucapkan selamat bersara sambil menghulurkan cenderamata kecil sebagai tanda ingatan.
Sumber: Sinar Harian (Hzelene Liana Kamarudin)
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

