‘ALLAH tahu niat saya hanya untuk pengajaran’ - Ellie Suriaty

A
A
A

AKTRES Ellie Suriaty tidak menafikan berasa bimbang membawakan watak pengamal ajaran sesat dalam drama bersiri berjudul Ibu Aji, namun pelakon berusia 55 tahun itu tetap menggali kekuatan dengan berserah diri kepada ALLAH SWT.

Bagi mengatasi kerisauan tersebut, pemilik nama penuh Ellie Suriaty Omar memaklumkan dia akan memohon ampun setiap kali sebelum memulakan penggambaran.

“Sebelum mula penggambaran, saya akan berdoa dan minta ampun pada ALLAH banyak-banyak. Doa itu saya mulakan sejak masuk ke dalam van untuk ke lokasi sehingga tiba di set.

“Saya juga memohon agar ALLAH mempermudah penyampaian, pemikiran serta kelancaran kata-kata ketika berlakon. Kalau tidak berdoa, akan rasa tersekat dan tidak lepas untuk melontarkan dialog,” katanya.

Ellie berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana drama Ibu Aji yang berlangsung di Aurum Theatre, The TRX Exchange, pada Selasa.

Dalam pada itu, diminta mengulas kemungkinan berdepan kecaman kerana watak berkenaan, ibu kepada dua orang cahaya mata tersebut berharap penonton menilai mesej sebenar yang cuba disampaikan menerusi naskhah tersebut.

“Penonton perlu melihat dari sudut lebih luas. Sebagai pelakon, bila kita bawakan watak antagonis, ia sebenarnya adalah cerminan kepada apa yang berlaku di luar sana. 

“Contohnya, ajaran sesat seperti yang pernah dibawa Ayah Pin. Pengikutnya datang daripada pelbagai lapisan, termasuk golongan profesional, sedangkan mereka ada pegangan agama. Jadi bagaimana mereka boleh terpesong? Itulah mesej yang ingin disampaikan,” jelasnya.

Drama Ibu Aji arahan Amor Rizan ini mengangkat kisah benar mengenai seorang wanita pengamal ajaran sesat yang menyebarkan dakyah kepada penduduk kampung.

Karya terbaharu terbitan Erma Fatima itu akan ditayangkan secara eksklusif menerusi aplikasi Karya Reels. Selain naskhah ini, beberapa lagi hasil karya Erma turut boleh ditonton dengan bayaran sebanyak RM10 setiap satu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang