‘Dibunuh atau tak, faktanya dia dibuli’ - Mimi Lana mahu keadilan buat Zara Qairina
PEMERGIAN Zara Qairina Mahathir, 13, yang dipercayai meninggal dunia akibat dibuli terus menimbulkan persoalan dan menjadi perhatian masyarakat termasuk selebriti tanah air.
Salah seorang selebriti terkenal yang juga pelakon, Mimi Lana juga tidak terkecuali tampil bersuara bagi menuntut keadlian terhadap kematian remaja itu di salah sebuah sekolah di Papar pada Julai lalu.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin dengan tegas meluahkan kemarahannya terhadap sistem yang dipercayai lemah.
Menurutnya, sistem sedia ada gagal melindungi Zara Qairina meskipun sudah berkali-kali memberi bayangan dan isyarat mengenai penderitaan yang dihadapi.
“Kita perlu keadilan untuk adik Zara, SEKARANG! Adik Zara, seorang murid sekolah berulang kali menyuarakan penderitaan dia, menyebut satu persatu nama pembuli yang menyeksa dia secara fizikal dan mental.

“Dia dah minta tolong, dah bagi petunjuk tapi suara dia tak pernah benar-benar didengari sehingga akhirnya dia pergi. Zara patut hidup tapi sistem gagal lindungi dia.
“Sekarang, sistem kena betulkan semula. Tunjukkan muka budak yang dia sebut dan siapa biarkan semua terjadi. Keadilan untuk Zara mesti ditegakkan,” tulisnya.
Tambah pelakon filem The Experts itu, meskipun punca kematian Zara Qairina masih menjadi tanda tanya, namun ia tidak dapat menyangkal fakta bahawa gadis itu dibuli.
“Sama ada dia dibunuh atau tidak, faktanya dia dibuli dan pembuli itu masih bebas di luar sana. Apa lagi yang kita tunggu? Sampai ada lagi budak yang terkorban baru nak bertindak?

“Semua yang terlibat mesti disiasat dan ditangkap termasuk ibu bapa yang masih lindungi anak mereka walaupun tahu mereka pembuli.
“Kamu sedang rosakkan anak kamu sendiri, kita tidak boleh diam lagi. Benda ini dah jadi barah dalam masyarakat.
“Budaya buli di sekolah bukan hal biasa, ia bunuh jiwa, harapan dan kali ini bunuh nyawa,” katanya.
Dalam pada itu, isteri kepada pelakon Syafiq Kyle itu turut menitipkan doa buat Zara Qairina dan berdoa agar kedua ibu bapanya diberikan ketenangan hati serta kekuatan dalam menghadapi ujian tersebut.

Sekadar info, Zara Qairina ditemui pada kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE 1), Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, pelajar tingkatan satu dari salah sebuah sekolah di Papar, Sabah itu meninggal dunia di hospital berkenaan keesokan harinya dengan laporan awal mengatakan dia terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.
Dilaporkan, polis juga tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kes terbabit.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
