Saloma Kuala Lumpur santuni insan seni veteran, anak yatim. Gabung seni kulinari dan warisan Melayu di bawah satu bumbung

No Image Caption
A
A
A

JANGAN jadi seperti kacang lupakan kulit.

Peribahasa yang bermaksud jangan sesekali lupa jasa orang yang pernah membantu atau menceriakan hidup kita.

Sama juga dengan pelakon-pelakon veteran negara. Dulu, merekalah yang menghiasi hari-hari kita dengan karya hebat di kaca TV. Walaupun kini ada pelakon generasi baharu, yang lama tetap perlu kita hargai.

Dalam usaha membantu golongan seni yang memerlukan, Saloma Kuala Lumpur mencatur langkah bagi melancarkan beberapa inisiatif bermakna untuk meringankan beban mereka.

Salah satu langkah utama ialah mewujudkan tabung khas untuk membantu insan seni yang menghadapi kesempitan hidup atau masalah kesihatan.

Apa yang menarik, tabung khas itu turut dibuka kepada pengunjung restoran, memberi peluang kepada semua untuk bersama-sama menyumbang dan menyokong mereka yang telah banyak berjasa kepada dunia seni tanah air.

No Image Caption

Presiden Kumpulan Saloma Kuala Lumpur Datin Hjh Rosmariza Dato Hj Che Umar berkata, dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), inisiatif prihatin untuk insan seni ini telah menyemarakkan lagi semangat setiakawan yang menjadi pegangan artis-artis lama.

“Inisiatif ini juga merupakan penghormatan kami kepada legenda seni dan budaya negara dan diharapkan nama-nama besar ini akan terus hidup dalam ingatan generasi akan datang, bukan sahaja melalui seni tetapi juga melalui usaha menyantuni mereka yang masih ada bersama kita,” kata beliau ketika ditemui semasa majlis doa Selamat “Malam Naungan Rahmat,Limpahan Berkat” yang diadakan baru-baru ini.

Antara artis veteran yang menerima sumbangan adalah Zaiton Sameon, Isma Aliff, Sofia Ibrahim, Mak Jah, Shuib Freedom serta golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim dan pelajar tahfiz. Antaranya, Rumah Anak Yatim Al-Haq Malaysia, Maahad Tahfiz Darul Hikmah, Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah, Madrasah Al-Quran An Nageeb.

Pikat selera

Sekadar makluman, Saloma Kuala Lumpur salah satu destinasi wajib singgah buat anda yang ingin menikmati gabungan seni kulinari dan warisan Melayu. Restoran ini membawa vibe klasik yang diinspirasi dari zaman kegemilangan Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

No Image Caption

Masuk saja ke sini, anda akan rasa seolah-olah melangkah ke era seni tanah air yang penuh kenangan. Dekorasi klasiknya yang cantik ditambah lagi dengan muzik latar lagu-lagu ikonik, memang cukup untuk buat hati terbuai nostalgia.

Kalau bab makan, jangan risau, Saloma Kuala Lumpur tahu cara pikat selera! Menu istimewa seperti Rendang Istimewa, Sup Ekor Goreng, Aneka Laksa Saloma, dan pelbagai kuih-muih tradisional pasti buat anda teringat-ingat. Gabungan resipi Melayu tradisional dengan sentuhan moden ini memang tak boleh dilepaskan.

Bukan sekadar tempat makan, Saloma Kuala Lumpur adalah gabungan suasana klasik, hidangan enak, dan usaha murni menyokong golongan seni. Pendek kata, ini bukan sekadar restoran 24 jam yang biasa, ia adalah penghormatan kepada warisan seni dan budaya Melayu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang